Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sering dianggap sebagai penentu utama hala tuju masa depan seseorang pelajar. Namun hakikatnya, laluan pendidikan selepas SPM tidak terhad kepada satu pilihan semata-mata.
Hari ini, lepasan SPM mempunyai pelbagai alternatif untuk menyambung pengajian mengikut minat, kemampuan akademik serta perancangan kerjaya masing-masing, termasuk di luar institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Secara keseluruhan, terdapat sekurang-kurangnya sembilan laluan pendidikan lepasan SPM yang boleh dipilih untuk melangkah ke peringkat lebih tinggi.
Foto Via Kosmo
1. Program Asasi
Program asasi bertujuan menyediakan pelajar dengan asas akademik yang kukuh sebelum melangkah ke peringkat ijazah sarjana muda.
Bagi pelajar yang memilih program foundation di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), perancangan kesinambungan pengajian ke peringkat ijazah di institusi sama amat digalakkan kerana peluang berpindah ke universiti awam adalah terhad. Di universiti awam pula, program asasi ditawarkan secara terbuka atau tertutup bergantung kepada bidang dan institusi.
2. Kolej Matrikulasi
Kolej Matrikulasi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merupakan antara laluan pendidikan lepasan SPM paling popular.
Program matrikulasi menawarkan lima jurusan utama dan pelajar akan ditempatkan di kolej-kolej matrikulasi di seluruh negara. Laluan ini diminati kerana tempoh pengajian yang singkat serta peluang luas untuk melanjutkan pengajian ke universiti awam.
Foto: Dept of SPM
3. Institut Pendidikan Guru (IPG)
Bagi lepasan SPM yang berminat dalam bidang pendidikan, Institut Pendidikan Guru (IPG) menjadi antara laluan terbaik untuk bergelar pendidik.
IPG menawarkan program seperti Program Pelajar Cemerlang (PPC), Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) serta Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Pendidikan Islam (PISMP) yang melayakkan graduan berkhidmat sebagai guru di sekolah di bawah KPM.
Ads
4. Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)
STPM atau Tingkatan Enam merupakan laluan akademik yang diiktiraf tinggi dan terkenal dengan kandungan pembelajaran yang menyeluruh.
Kini, STPM bukan sahaja ditawarkan di Kolej Tingkatan Enam dan pusat Tingkatan Enam, malah di kampus universiti terpilih seperti Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Walaupun mencabar, laluan ini menyediakan asas akademik kukuh untuk kemasukan ke universiti tempatan dan luar negara.
5. Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM)
Bagi pelajar aliran agama, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) menjadi pilihan utama untuk mendalami pengajian Islam.
Program ini sering dijadikan batu loncatan untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian Islam di Timur Tengah seperti Mesir, Jordan dan Maghribi.
Ads
6. Diploma
Program diploma ditawarkan oleh universiti awam, politeknik serta IPTS dalam pelbagai bidang.
Politeknik di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) khususnya memberi fokus kepada bidang teknikal dan profesional. Tempoh pengajian sekitar tiga tahun menjadikan diploma antara laluan pendidikan lepasan SPM paling ramai menerima tawaran, selain membuka peluang menyambung ke peringkat ijazah.
7. Laluan Profesional
Selain akademik konvensional, lepasan SPM juga boleh memilih laluan profesional mengikut minat dan kebolehan.
Antaranya bidang penerbangan, di mana pelajar boleh mengikuti latihan di akademi penerbangan bagi memperoleh lesen juruterbang komersial walaupun kosnya tinggi. Dalam bidang perakaunan pula, laluan profesional seperti ACCA dan ICAEW membolehkan pelajar memulakan program asas sebelum ke peringkat kelayakan profesional.
Ads
8. Pra Universiti Antarabangsa
Program pra universiti antarabangsa seperti A-Level, International Baccalaureate (IB), Australian Matriculation, Canadian Pre-University dan American Degree Transfer Program (ADTP) turut menjadi pilihan.
Program ini biasanya ditawarkan di kolej swasta dan sekolah antarabangsa dengan silibus yang diiktiraf secara global, sesuai untuk pelajar yang merancang menyambung pengajian ke luar negara.
9. Program Sijil
Laluan sijil pula sesuai untuk pelajar yang cenderung kepada kemahiran praktikal dan teknikal.
Terdapat pelbagai sijil kemahiran dari tahap satu hingga tiga dalam bidang seperti kulinari, penjagaan kanak-kanak, elektrik, pembinaan dan bidang teknikal lain yang menawarkan peluang kerjaya stabil serta kemasukan pantas ke dunia pekerjaan.
Kesimpulan
Secara keseluruhan, lepasan SPM mempunyai pelbagai pilihan laluan pendidikan yang boleh diterokai bergantung kepada keputusan akademik, minat peribadi dan hala tuju kerjaya jangka panjang.
Bagi calon SPM 2025 khususnya, keutamaan utama adalah menduduki peperiksaan dengan sebaik mungkin. Walau apa pun keputusan yang diperoleh, peluang untuk menyambung pengajian sentiasa terbuka dan keputusan tersebut akan membantu menentukan laluan pendidikan ke peringkat seterusnya.
Keterujaan bercuti bersama keluarga bertukar menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakan buat penyanyi dan influencer terkenal, Syasya Rizal apabila secara tidak sengaja termakan daging babi ketika menjamu selera di sebuah restoran di China.
Dalam satu video yang dimuat naik di TikTok sebelum dipadam beberapa jam kemudian, Syasya atau nama penuhnya Norsyasya Afiqah Shahrizal, 24, berkongsi detik mengejutkan itu yang berlaku ketika dia, suami dan anak mereka bercuti di wilayah Yunnan, baru-baru ini.
“Ingat Label Halal Untuk Semua Menu…”
Menurut bekas anggota kumpulan Dolla itu, kekeliruan berlaku kerana menyangka label halal yang tertera di restoran tersebut merujuk kepada kesemua hidangan, sedangkan ia hanya merujuk kepada satu jenis makanan sahaja.
“Itulah, ingat label halal untuk semua makanan dekat situ. Rupa-rupanya spesifik untuk satu makanan sahaja. Pengajaran, selepas ini kena periksa betul-betul,” jelas Syasya dalam video tersebut.
Insiden itu hanya disedari selepas suaminya, Nasrullah Mohd. Sapie, bertanyakan kepada cef restoran mengenai status makanan yang mereka ambil. Malangnya, jawapan yang diterima mengejutkan – makanan yang diambil Syasya sebenarnya mengandungi daging khinzir.
Trauma & Hilang Selera
Bukan sahaja terkejut, malah Syasya mengakui dirinya terus hilang selera untuk menikmati makanan lain walaupun ada yang disahkan halal.
“Lepas tahu, terus tak berselera nak makan benda lain dekat situ walaupun ada label halal. Trauma,” luahnya.
Suaminya kemudian meminta Syasya menggunakan pinggan dan peralatan makan yang lain sekiranya mahu meneruskan makan hidangan halal di restoran itu sebagai langkah berjaga-jaga.
Ramai Simpati, Ada Yang Jadikan Iktibar
Walaupun video tersebut telah dipadam, kisah itu sempat meraih perhatian ramai pengguna media sosial. Rata-rata netizen meluahkan simpati dan memahami situasi yang menimpa Syasya, malah ramai yang turut berkongsi pengalaman sama ketika berada di luar negara.
Namun tidak kurang juga yang mengingatkan pentingnya melakukan penyemakan terperinci sebelum makan di negara bukan Islam, lebih-lebih lagi apabila wujud kekangan bahasa dan perbezaan budaya.
5 Tip Elak Makanan Tidak Halal Ketika Travel
Pengalaman Syasya ini wajar dijadikan peringatan penting buat remaja Muslim yang gemar melancong. Berikut 5 langkah yang boleh diamalkan:
Jangan Ambil Mudah Label Halal
Pastikan label halal merujuk kepada keseluruhan operasi restoran, bukan hanya satu hidangan.
Guna Aplikasi Pencari Restoran Halal
Muat turun aplikasi seperti Halal Navi, Muslim Pro, HappyCow untuk semak tempat makan yang diyakini.
Belajar Istilah Makanan Dalam Bahasa Tempatan
Ketahui terjemahan perkataan seperti pork, lard, alcohol dalam bahasa negara yang dilawati.
Utamakan Restoran Komuniti Muslim
Di China, komuniti seperti Hui atau Uyghur biasanya menyediakan makanan halal.
Sediakan Makanan ‘Backup’ Dari Malaysia
Bawa bekalan seperti mi segera, roti, biskut atau makanan ringan halal sebagai pilihan selamat.
Ingat, niat kita bukan sekadar nak ‘explore’ dunia, tapi juga nak kekalkan identiti dan akidah sebagai Muslim walau di mana kita berada.
Bila sebut Republik Rakyat Demokratik Korea Utara, kita selalu mendengar negara ini cukup terkenal dengan rejim kuku besinya, dengan menyekat segala bentuk kebebasan kepada rakyatnya.
So, kita sebagai remaja Malaysia harus bersyukur dan beruntung tau, di lahirkan dalam negara yang mementingkan kebebasan dan hak kesamaan. Dan ini termasuklah kebebasan untuk meminati dan fanatik terhadap industri K-Pop.
Berbeza bagi remaja di Korea Utara, apabila pemimpinnya Kim Jong Un baru-baru ini berkempen menentang genre muzik yang berasal dari Korea Selatan itu. Kim Jong Un menyifatkan K-Pop sebagai kanser dan mampu memberi ancaman kepada anak muda di negaranya.
Melalui media Korea Utara, Kim menyatakan bahawa generasi muda di negaranya telah meniru budaya jiran dan musuh mereka, Korea Selatan. Menurut Kim, gaya rambut, gaya bercakap, cara berpakaian, dan tingkah laku anak muda Korea Utara “diracuni” oleh Korea Selatan.
Kim menegaskan bahawa jika mereka membiarkan keadaan ini berlanjutan, Korea Utara akan runtuh seperti “dinding lembab”, lapor The New York Times.
Dia dilaporkan takut dengan pengaruh barat yang “meresap” ke dalam orang muda di negara Korea Utara, di mana katanya ia mampu menjatuhkan rejim Korea Utara.
The New York Times turut melaporkan bahawa Korea Utara meluluskan undang-undang baru Disember tahun lepas yang membolehkan hukuman 15 tahun dijatuhkan ke atas seseorang kerana menonton hiburan dari Korea Selatan.
Bukan itu sahaja, baru-baru ini, rejim Kim Jong-un telah menjatuhkan hukuman mati seorang lelaki di hadapan 500 orang, termasuk keluarganya sendiri hanya kerana menjual filem dan muzik dari Korea Selatan. Fuh…
Untuk pengetahuan korang semua, bukan hanya muzik, Korea Utara sangat terkenal dengan propaganda dan kaedah brainwash’ menerusi bahan bacaan, majalah, siaran media dan juga poster.
Sudahlah bahan bacaan dikawal selia, siaran televisyen juga dikawal sama. Rakyat Korea Utara hanya memiliki empat siaran rasmi dan siaran tersebut sahaja yang boleh mereka tonton serta yang dibenarkan oleh kerajaan mereka. Adoi…seksanya hidup macam tu!
Baru-baru ini, impian duo beregu campuran negara, Chen Tang Jie (26) -Toh Ee Wei (24) untuk melakar sejarah menjadi wakil pertama negara muncul juara Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) di China tidak kesampaian.
Pasangan nombor lapan (8) dunia itu terpaksa akur tewas kepada nama besar, juara Sukan Olimpik Paris 2024 dari China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong dalam aksi final di Gimnasium Olimpik Hangzhou, malam tadi.
Walau bagaimanapun, usaha Tang Jie-Ee Wei wajar diberikan pujian wajar diberikan apabila memberi tentangan sengit sebelum menyerahkan mahkota kejuaraan kepada pasangan berstatus nombor tiga dunia itu.
Kredit: Badminton Association of Malaysia – BAM (Raphael Sachetat)
Dalam pada itu, pasangan tuan rumah dibantu sokongan padu ribuan penyokong memulakan set pertama dengan langkah kanan apabila menang 21-18, biarpun ditentang hebat gandingan negara.
Pada permainan kedua, Tang Jie-Ee Wei memperkemaskan corak permainan mereka dan ia membuahkan hasil sebelum menang 21-14 untuk mengheret saingan ke set penentuan.
Gandingan harapan negara itu turut cuba meneruskan momentum positif menerusi aksi bertenaga, namun pengalaman memisahkan mereka yang terpaksa akur tewas 17-21 kepada Si Wei-Huang Ya Qiong dalam tempoh 75 minit permainan.
Keputusan tersebut melebarkan jurang kemenangan Si Wei-Ya Qiong kepada 4-0 ke atas Tang Jie-Ee Wei.
Kredit: Badminton Association of Malaysia – BAM (Raphael Sachetat)
Menerusi kemenangan itu, Si Wei-Ya Qiong meraih wang tunai AS$210,000 (RM934,553), manakala Tang Jie-Ee Wei membawa pulang AS$100,000 (RM445,025). Difahamkan, saingan tersebut juga menjadi pentas final terakhir buat Si Wei-Ya Qiong.
Walaupun baru berusia 27 tahun, Si Wei sebelum ini mengumumkan akan bersara selepas berakhir saingan WTF tahun ini.
Sementara itu, Tang Jie-Ee Wei mengesahkan kemaraan ke final buat kali pertama selepas menewaskan rakan senegara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie 21-15, 21-12 pada aksi separuh akhir.
Si Wei-Ya Qiong pula mara juga hasil kemenangan ke atas rakan senegara, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 21-11, 21-18 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Sumber: Sinar Harian
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!