Berita

Bahasa Isyarat Malaysia Bakal Jadi Subjek Tambahan Di Sekolah Bermula 2027

Share

Baru-baru ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027) bakal memberikan peluang kepada murid aliran perdana untuk mempelajari Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) sebagai subjek tambahan. Langkah ini dijangka menyokong pendidikan inklusif dan meningkatkan kefahaman terhadap golongan kurang upaya di peringkat sekolah.

Memetik laporan Bernama, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh menjelaskan bahawa inisiatif ini melengkapkan usaha KPM sejak 2011 melalui subjek Bahasa Isyarat Komunikasi (BIK) dan Pendidikan Asas Individu Kurang Upaya Penglihatan (PAIKUP) dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah Pendidikan Khas (KSSRPK). Pelaksanaan BIM menerusi Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) juga membolehkan murid berkeperluan pendidikan khas dan murid aliran perdana belajar bersama.

“Penyertaan daripada murid aliran perdana dapat meningkatkan kefahaman serta toleransi terhadap golongan orang kurang upaya,” katanya.

Menurut beliau, ini bukan sahaja membantu murid berinteraksi dengan rakan sekelas yang berkeperluan khas, malah memupuk persekitaran pembelajaran yang inklusif. Pada masa yang sama, ia turut menekankan bahawa KP2027 memberi peluang kepada murid aliran perdana di sekolah yang mempunyai kelas PPKI untuk mempelajari BIM sejak dari peringkat awal sekaligus membentuk masyarakat yang lebih peka dan memahami cabaran yang dihadapi oleh golongan OKU.

Sementara itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus memperluas usaha membantu kanak-kanak kurang upaya daripada keluarga berpendapatan rendah, termasuk sokongan kebajikan dan pendidikan sehingga mereka mencapai usia dewasa.

Difahamkan, usaha ini merangkumi lima keutamaan utama kerajaan seperti bantuan kewangan, pendidikan inklusif, pemulihan awal, latihan kemahiran, serta perlindungan dasar dan undang-undang.

Kredit foto: IG Hua Xia International School

“Kami mahu memastikan setiap kanak-kanak kurang upaya daripada keluarga miskin tidak ketinggalan dari segi pembangunan dan peluang pendidikan bermula dari alam kanak-kanak sehingga dewasa,” ujar Menteri KPWKM, Datuk Seri Nancy Shukri.

Selain itu, beliau juga menjelaskan bahawa pendidikan inklusif diperkasakan melalui Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan geran intervensi awal untuk TASKA OKU bagi memupuk kemahiran sosial murid. Dari segi pemulihan, Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) menyediakan latihan kemahiran asas dan aktiviti sosialisasi, lengkap dengan elaun bulanan RM300. Selain itu, pemegang kad OKU juga menikmati pengecualian yuran perubatan dan manfaat pengangkutan.

Sehubungan itu, semua inisiatif ini disusun berdasarkan Dasar OKU Negara dan Akta Orang Kurang Upaya 2008 untuk memastikan golongan OKU mendapat akses kepada pendidikan, peluang pekerjaan, perlindungan kebajikan, dan penyertaan dalam masyarakat. Intervensi awal serta jaringan sosial yang inklusif diharap menjadi jambatan kepada kanak-kanak kurang upaya untuk menghadapi alam dewasa dengan lebih yakin.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE