
Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Ke-16 diselubungi suasana hiba apabila Naib Canselor UMK, Dato’ Prof. Ir. Ts. Dr. Arham Abdullah menyampaikan ucapan takziah kepada salah seorang bakal graduan yang kehilangan kedua-dua ibu bapanya.
Graduan berkenaan, Saudari Husna Syakira binti Abd Halim yang bakal menerima ijazah Sarjana Muda Keusahawanan (Logistik dan Perdagangan Pengedaran) daripada Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP), yang kehilangan kedua-dua ibu bapanya, al-Marhum Abd. Halim bin Bakar dan al-Marhumah Siti Sarah binti Abd Rahman.

Menurut Dato’ Prof. Ir. Ts. Dr. Arham, berita pemergian tersebut bukan sahaja menjadi kehilangan besar buat Husna Syakira, malah turut mengundang kesedihan dalam kalangan seluruh warga universiti yang bersimpati dengan nasib graduan berkenaan.
UMK Hulurkan Bantuan Kebajikan Kepada Keluarga
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa pihak universiti sentiasa mengambil berat terhadap kebajikan dan keperluan para pelajarnya, termasuk ketika berdepan situasi sukar seperti ini.
Susulan kejadian tersebut, sepasukan pegawai UMK bersama wakil Majlis Perwakilan Pelajar UMK telah mengambil tindakan segera sejak semalam dengan bergegas ke Hospital Gerik, Perak bagi membantu urusan pengurusan jenazah serta menyalurkan bantuan kebajikan kepada keluarga terbabit.

Malah, Naib Canselor UMK turut menyampaikan ucapan takziah dan menitipkan kata-kata semangat buat Husna Syakira sekeluarga agar terus tabah menghadapi dugaan berat tersebut.
“UMK melahirkan rasa dukacita kepada anakanda Husna Syakira sekeluarga. Kami hulurkan salam takziah yang setulusnya. Ketahuilah bahawa duka anakanda ialah luka kami bersama, dan di dewan keramat ini, doa seluruh warga universiti turut mengiringi pemergian ini.
“Semoga roh ayah dan ibu dicucuri rahmat Ilahi, serta anakanda Husna Syakira sekeluarga dikurniakan kesabaran yang tinggi dalam mendepani ujian yang teramat berat ini,” jelasnya.

Hadirin Bertafakur Dan Sedekahkan Al-Fatihah
Untuk rekod, Husna Syakira dijadualkan menerima skrol ijazah pada sidang kelima Istiadat Konvokesyen UMK Ke-16 yang berlangsung hari ini.
Sejurus pengumuman mengenai kehilangan kedua-dua ibu bapanya dibuat, para hadirin yang berada di Dewan Tuanku Canselor (DTC), UMK Bachok turut sama bertafakur dan menyedekahkan bacaan surah Al-Fatihah sebagai tanda penghormatan serta doa buat kedua-dua Allahyarham.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: FB UMK
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!







