Hiburan

Ha-young Akui Malu, Mohon Maaf Susulan Kontroversi Sejarah Moyang Dikaitkan Pro-Jepun

Share

Pelakon Korea Selatan, Ha-young baru-baru ini menyatakan permohonan maaf selepas timbul dakwaan mengenai sejarah moyangnya yang dikaitkan dengan aktiviti pro-Jepun ketika Korea berada di bawah pemerintahan kolonial Jepun antara 1910 hingga 1945.

Menerusi sebuah perkongsian di Instagram, Ha-young atau pemilik nama sebenar Ahn Ha-young (33) berkata, selama ini beliau hanya mengetahui serba sedikit mengenai kehidupan moyangnya berdasarkan cerita yang disampaikan oleh ahli keluarga. Beliau turut mengakui berasa malu kerana pernah menganggap moyangnya sebagai antara sumber kebanggaan keluarga tanpa mengetahui sepenuhnya sejarah tersebut.

“Ketidaktahuan saya tentang perkara ini bukan alasan untuk mengabaikan atau memandang ringan sejarah tersebut. Sebagai keturunannya, saya benar-benar memohon maaf,” katanya dalam surat tulisan tangan yang dimuat naik di media sosial.

Difahamkan, kontroversi berkenaan tercetus selepas Ha-young berkongsi mengenai latar belakang keluarganya ketika muncul dalam rancangan bual bicara KBS, ‘Problem Child in House’ minggu lalu.

Dalam episod tersebut, pelakon itu menceritakan bahawa moyangnya pernah melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan Barat di Jepun, selain menyebut bahawa kerjaya dalam bidang perubatan telah diwarisi keluarganya sehingga empat generasi.

Perkongsian tersebut kemudiannya mengundang perhatian orang ramai yang mula meneliti latar belakang Ahn Sang-ho (1872-1927). Berdasarkan rekod sejarah, nama moyangnya itu dikaitkan sebagai anggota sebuah organisasi pada 1916 yang didakwa terlibat dalam aktiviti pro-Jepun ketika era penjajahan.

BACA: Apa Dalam Drama Kini Jadi Realiti! Korea Selatan Tubuh Agensi Khas Untuk Guru

Pada awalnya, pihak agensi Ha-young menafikan dakwaan berhubung hubungan pro-Jepun tersebut dan menyifatkannya sebagai hal yang tidak berasas. Bagaimanapun, agensi itu kemudian mengubah pendirian dengan mengesahkan kewujudan rekod sejarah berkenaan, selain menyampaikan permohonan maaf kerana isu tersebut telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang ramai.

Moyang Ha-young yang dikenali sebagai An Sang-ho dalam sebuah monumen yang didedikasikan kepadanya dan diklasifikasikan sebagai fasiliti pro-Jepun.

Dalam pada itu, Ha-young berkata beliau akan mengambil masa untuk memahami sejarah keluarganya dengan lebih mendalam dan menjadikan perkara tersebut sebagai satu pengajaran. Pelakon itu turut menyatakan komitmen untuk menghormati serta mengenang jasa mereka yang pernah berjuang demi pembebasan Korea.

Susulan kontroversi yang berlaku beberapa hari sebelum sambutan Hari Pembebasan Korea pada 15 Ogos, episod Problem Child in House yang memaparkan perkongsian Ha-young mengenai keluarganya serta beberapa video iklan yang menampilkan dirinya bersama jenama seperti Samsung Electronics dilaporkan telah ditetapkan kepada mod peribadi.

Untuk rekod, Ha-young sebelum ini mencipta nama menerusi drama Doctor Prisoner (2019) sebelum muncul dalam beberapa siri popular termasuk

The Trauma Code: Heroes on Call (2025), Boyfriend on Demand (2026), Teach You a Lesson (2026) dan Our Sticky Love.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE