
Terbaru, rangkaian kedai serbaneka, KK Mart di sekitar Kuala Lumpur berpotensi dijadikan sebagai ‘safety point’ untuk orang awam yang memerlukan tempat berlindung sementara ketika berdepan situasi kecemasan.
Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, cadangan tersebut merupakan sebahagian daripada kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak swasta bagi memperkukuh usaha pencegahan jenayah serta meningkatkan keselamatan komuniti di ibu negara.
“Konsep safety point sebelum ini pernah dilaksanakan bersama stesen minyak, namun kali ini kita mahu memperluaskannya melalui rangkaian KK Mart,” katanya.
“Pihak polis berhasrat untuk melaksanakannya dalam masa terdekat sebaik sahaja segala proses teknikal dan kelulusan dimuktamadkan,” jelasnya lagi.
Difahamkan, menerusi cadangan itu, premis KK Mart boleh digunakan sebagai lokasi perlindungan sementara bagi individu yang berdepan ancaman atau gangguan sebelum bantuan polis tiba. Selain itu, cawangan terpilih juga berpotensi menjadi lokasi persinggahan anggota ketika menjalankan rondaan dan operasi.
Kerjasama berkenaan turut membuka ruang untuk penggunaan sistem kamera litar tertutup (CCTV) di premis KK Mart sebagai maklumat tambahan dalam membantu siasatan kes jenayah.
Dalam pada itu, rangkaian kedai serbaneka KK Mart kini mempunyai lebih 1,100 cawangan di seluruh negara, dengan setiap premis dilengkapi kira-kira 16 kamera CCTV yang dipantau secara berpusat. Teknologi pengecaman wajah dan identiti juga berpotensi membantu pihak berkuasa mengesan pergerakan individu yang disiasat dengan lebih pantas.
Walau bagaimanapun, pelaksanaan cadangan itu masih perlu diperincikan bersama pihak KK Mart dan agensi berkaitan, termasuk dari segi aspek keselamatan, privasi serta pematuhan undang-undang sebelum ia boleh dilaksanakan sepenuhnya.
Sumber: Sinar Harian
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.