Setiap pasangan suami isteri pastinya teruja menantikan kelahiran cahaya mata. Namun, apa yang dirasai oleh finalis Hero Remaja 2017, Safwan Nazri dan isterinya hanya sebentar kerana menerima ujian terbesar dalam hidup apabila kandungan pertama Fathin Nur Amalina mengalami keguguran.
Berita ini disahkan sendiri oleh Safwan di laman instagramnya yang menjelaskan rezeki mereka untuk dapat cahaya mata yang pertama hanya sampai disini sahaja. Safwan turut memberi nama anak lelakinya itu sebagai Muhamad Kaif yang brmaksud Semangat Yang Kuat!
“Kita jumpa di Syurga nanti ye Kaif! Teruskan doa untuk mummy dan Daddy okay! Dia dah cukup sifat, dah nak masuk 4 bulan, comel, sempurna tapi Allah lebih sayangkan dia,” luah Safwan.
Safwan dan isteri tidak pernah mengumumkan tentang kandungan itu kepada umum, namun baru-baru ini di majlis perkahwinan Harris Annuar, kami seakan boleh meneka bahawa isteri kepada finalis Hero Remaja itu telah mengandung.
Apa yang lebih menyedihkan lagi, disaat ditimpa ujian ini Safwan tidak berada disisi isterinya kerana berada di Turki bagi menjalani penggambaran filem Bakara. Safwan sempat mengucapkan terima kasih kepada Lyna dan mengatakan bahawa dia seorang isteri yang hebat dan kuat.
Safwan Nazri bersama pasangan, Fathin Nur Amalina selamat diijab kabulkan pada 5 Mac lalu dengan hanya sekali lafaz. Perkenalan bermula sejak 9 tahun lalu sewaktu mereka sama-sama menuntut di universiti.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Sesi pertama bagi pusingan akhir uji bakat pencarian Hero Remaja 2021 telah pun berjalan dengan lancar dengan kehadiran peserta yang rata-ratanya menetap di Kuala Lumpur dan Selangor. Disebabkan rentas negeri masih lagi tidak dibenarkan, maka kali ini kebanyakan peserta uji bakat adalah yang tinggal di Lembah Klang.
Seperti tahun-tahun yang lalu, pencarian Hero atau Dewi Remaja sentiasa menerima penyertaan daripada selebriti media sosial atau lebih popular dengan gelaran instafamous. Malah, ada yang menganggap bahawa jika instafamous menyertai sesi uji bakat ini pasti akan diterima masuk menjadi finalis.
Kali ini, Muhammad Aniq Syafiq Jemain atau Nick Syaf dan Baihaqi Abdul Majid turut menyertai uji bakat Hero Remaja 2021. Bagi Nik sendiri, tidak ada isu sama ada instafamous atau orang biasa yang datang mencuba nasib dalam pertandingan seperti ini kerana apa-apa pun perkara utama yang diambil kira adalah bakat mereka.
“Bak kata orang, tiada yang lama, tiada yang baru. Bagi saya, perkara seperti ini sebenarnya tidak mendatangkan masalah pun kerana ini semua adalah rezeki yang sudah tertulis. Semua orang ingin belajar untuk menjadi yang terbaik, jadi tidak salah sekiranya kami juga ingin mencuba nasib,”
Nik Syaf antara peserta yang berjaya ke peringkat ketiga, sekali gus menerima kad ‘PASSED’ daripada barisan juri. Remaja berusia 23 tahun ini tidak menonjolkan bakat tariannya kerana para juri sudah sedia maklum dengan kehebatan tarian Nick. Ingin berikan kelainan, Nick mencabar diri untuk berlakon dan juri Que Haidar juga menjelaskan bahawa ada ‘sesuatu’ dalam diri Nick yang akan membawanya lebih jauh.
Walau bagaimanapun, remaja ini dinasihatkan untuk lebih bersedia sekiranya dipilih menjadi finalis. Ada banyak perkara yang perlu diperbaiki untuk dia masuk ke dalam industri hiburan.
“Saya berjanji saya akan cuba untuk berubah menjadi lebih baik. Saya akan ingat setiap apa yang juri pesan pada hari ini,” jelas Nick.
Namun, nasib tidak menyebelahi Baihaqi kerana dia gagal untuk mara ke peringkat seterusnya kerana dia tidak dapat menyakinkan juri di peringkat ketiga.
“Saya dah selesai ke stage 3 tapi malang sekali kerana saya tidak berjaya untuk meneruskan ke peringkat seterusnya. Saya terima kerana saya sedar kekurangan saya dan juri pun cakap saya masih belum bersedia. Lagi pun kata mereka umur saya masih muda, jadi saya masih banyak lagi peluang untuk mencuba pada tahun akan datang,”
“Saya tidak akan berputus asa, sebaliknya saya pastikan jika saya hadir ke sesi uji bakat masa hadapan, saya akan buat lebih baik berbanding hari ini,” jelas Bai.
Untuk korang yang masih ingin mencuba, sesi uji bakat pencarian Hero Remaja 2021 akan diteruskan lagi pada hari esok (11 April 2021) bermula jam 9 pagi hingga 4 petang.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
InsyaAllah esok umat Islam bakal menyambut Ramadan, bulan yang senantiasa dinanti oleh seluruh kaum muslimin dan muslimat di seantero dunia. Namun, kali ini sambutannya tidak seperti tahun-tahun yang lalu kerana situasi pandemik COVID-19 nampaknya masih sukar dibendung.
Walau bagaimanapun, ia bukanlah alasan untuk umat Islam tidak gembira menantikan Ramadan tahun ini, malah turut memanjatkan kesyukuran kerana masih diberi peluang menikmati bulan yang mulia.
Sempena bulan puasa kali ini, apa kata kita ambil nilai-nilai positif tentang apa yang sudah berlaku di dunia masa kini. Inilah masanya korang memberi sepenuh fokus pada amal ibadah yang bakal dijalankan dan ambil peluang untuk bersama-sama keluarga tersayang dalam menjalani ibadah puasa.
Dengan situasi yang berlaku sekarang, kami pasti mesti korang merindui saat menyambut Ramadan seperti tahun-tahun lalu. Biasanya, apa yang korang paling rindu nak buat bila tiba bulan Ramadan?
Remaja sempat bertanyakan kepada beberapa finalis Hero Remaja 2017 tentang perkara yang paling mereka rindu untuk lakukan pada bulan puasa ini.
1. Alif Muhaimin
Bagi Alif, Ramadan kali ini memang berbeza dan tidak sama seperti tahun lalu. Alif akan merindui saat solat tarawih di masjid bersama-sama kawan sekolah. Biasanya, waktu inilah kami seakan membuat gathering bila berjumpa di masjid.
Alif juga selalunya akan workout dulu sebelum berbuka puasa. Jadi tahun ni, nampaknya kenalah workout di rumah sahaja. Alif juga nak ambil waktu ini untuk belajar benda baru, seperti bermain piano.
2. Harris Annuar
Setiap kali Ramadan, Harris bersama-sama dengan keluarga serta anak saudara akan berkumpul di rumah Mommy untuk bermain bunga api. Rasanya itulah yang akan dirindui untuk bulan Ramadan kali ini, selain dapat sama-sama melakukan solat Tarawih di masjid.
Pada 10 malam terakhir Ramadan pula, biasanya Harris akan ke Dataran Merdeka dan mana-mana lokasi yang menganjurkan bazar shopping raya. Hm, ya tahun ini kita semua tak merasa nak melalui pengalaman berasak-asak untuk membeli baju raya. Tapi mungkin ada hikmahnya yang kita tak tahu. Wallahualam..
3. Nabil Aqil
Rasanya semua orang akan rindu nak pergi bazar Ramadan. Macam Nabil sendiri, tidak dinafikan pada bulan puasa memang kami sekeluarga suka berkunjung di bazar Ramadan. Cuma nampak gayanya tahun ni tidak berpeluanglah melakukan aktiviti ‘wajib’ ini.
Tapi tidak mengapalah, Nabil masih bersyukur kerana kita juga masih boleh berhubung dengan keluarga dan rakan-rakan melalui Face Time, Whatsapp dan media sosial. Jadi, setidak-tidaknya hilanglah rindu dan tak rasa sunyi sangat menyambut Ramadan kali ini.
#SyukurBersama
4. Safwan Nazri
Saya paling rindu nak berbuka puasa bersama keluarga besar saya, dengan saudara mara di Kedah dan juga rakan-rakan. Alhamdulillah, kebetulan memang saya ada di Kedah, jadi bolehlah berpuasa bersama ibu ayah dan adik-beradik.
Cuma saya nak berpesan kepada korang yang mungkin tidak dapat bersama keluarga di Ramadan ini, bersabarlah dengan dugaan yang diberikan. Mungkin ada hikmah dengan setiap apa yang berlaku sekarang. Harapnya Aidilfitri nanti kita sama-sama dapat berjumpa dan bermaafan.
5. Farhan Asri
Farhan teringin nak berbuka dekat masjid macam tahun sebelumnya. Nak berbuka dengan kawan-kawan dan paling rindu nak tarawih di masjid. Rindu juga nak pergi bazar Ramadan dengan keluarga. Selalunya Farhan pun akan berbuka puasa bersama atok dan nenek tapi tahun ni mereka ada di rumah mak cik di KL, so tak dapatlah kami bersama-sama puasa nanti. Itu yang paling sedih buat Farhan.
Apa-apa pun diharap Ramadan kali ini memberi pengertian penuh buat umat Islam di dunia dan sama-samalah kita berdoa agar wabak ini tidak terus menular supaya kita boleh bermaaf-maafan di Aidilfitri nanti.
Remaja juga ingin mengucapkan Selamat Menyambut Ramadan kepada semua pengikut kami di media sosial.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Rasa terkejut dan gusar dirasai oleh pelakon, Alif Muhaimin Abdul Rahman apabila mengetahui rumahnya sekeluarga terbakar pada 12 Disember lepas dengan ibunya, Faridah Sheikh Mohamed masih berada di dalam.
Alif, 28 yang juga merupakan juara pencarian Hero Remaja 2017 memaklumkan bahawa dia dan adik-beradik lain mendapat perkhabaran dukacita tersebut setelah ibunya menghantar mesej ke dalam grup WhatsApp keluarga sekitar jam 3.50 petang, semalam.
Menerusi mesej tersebut, ibunya meminta mereka menghubungi Bomba setelah mendapati sebahagian daripada rumah mereka di Kelana Jaya itu telah terbakar.
Kira-kira 30 minit kemudian, pihak Bomba tiba dan bergegas memadamkan kebakaran demi mengelaknya daripada merebak ke kediaman jiran. Sepanjang tempoh tersebut, ibunya masih berada di dalam rumah tersebut!
Pelakon & Hero Remaja 2017, Alif Muhaimin.
Adik Alif, Hazirah Abdul Rahman yang terlebih awal tiba di sana telah membawa keluar ibu mereka yang sudahpun berada dalam keadaan trauma dan tidak bermaya. Begitupun, Hazirah mengalami kecederaan ringan apabila melecur dari pergelangan tangan hinggalah ke bahagian bawah sikut.
Alif yang tiba tidak lama selepas itu juga mengangkat ibunya itu dan bersyukur beliau tidak mengalami sebarang kecederaan. Bagaimanapun, perasaan terkejut terus dirasai di samping risau memikirkan tempat tinggal mereka sekeluarga.
Menurut Alif lagi, kebakaran berkenaan mungkin berpunca daripada litar pintas sewaktu cuaca hujan lebat dan petir pada hari Isnin.
Dalam perkongsian di Instagram sebentar tadi, Alif turut berkongsi keadaan semasa rumah serta beberapa paparan video sewaktu ia dijilat api. Tambah menyayat hati adalah apabila Alif mendapati perhiasan ayat suci Al-Quran pada pinggan porselin dan yang digantung pada dinding rumah tidak terkesan daripada kebakaran tersebut.
“Allahuakbar. Saya jadi lagi yakin bila tiada satu ayat atau surah Al-Quran (yang musnah). Tak ada satu pun potongan dan koyak.
“Walaupun boleh nampak air cond cair atas tu tapi ayat bawah dia cantiik je. Allah nak yakinkan ada hikmah, insyaAllah.”
“Setaip yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya. Setiap orang ada dugaan. Tapi kalau kita bersabar, Allah janjikan yang lebih baik. Walau apapun terjadi, sentiasa positif!” catatnya.
Sementara itu, rakan seangkatan seperti Safwan Nazri, Shasha Abedul, Hariz Hamdan, Raja Atiq dan Shaza Bae tampil mengirimkan kata-kata semangat untuknya.
“Alif minta maaf tak sempat nak balas komen satu-satu. Buat masa ini sedang sibuk mengemas. Terima kasi kepada semua yang mendoakan dan memberi bantuan. Semoga Allah balas jasa baik korang semua,” katanya.
Bagi korang yang ingin menghulurkan bantuan kepada Alif Muhaimin sekeluarga, korang boleh berbuat sedemikian di akaun Maybank bernombor 16 427 669 0882.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!