
Kebelakangan ini, semakin banyak kit ujian kendiri Influenza ditawarkan di pasaran termasuk melalui platform dalam talian. Namun, orang ramai diingatkan supaya berhati-hati sebelum membeli atau menggunakannya kerana setakat ini tiada satu pun kit ujian kendiri Influenza yang diluluskan oleh Medical Device Authority (MDA) untuk digunakan oleh orang awam di Malaysia.
Pihak MDA mengesahkan bahawa belum ada sebarang produk self-test Influenza menerima kelulusan rasmi, sama ada dijual di farmasi, premis kesihatan mahupun secara dalam talian. Ini bermakna, sebarang kit yang mendakwa mampu mengesan virus Influenza dengan cepat belum terbukti dari segi keselamatan, kualiti, dan ketepatan keputusan.
Menurut laporan Sinar Harian, penggunaan kit ujian kendiri Influenza tanpa kelulusan bukan sahaja boleh menyebabkan risiko salah diagnosis, malah boleh menjejaskan tindakan rawatan yang sepatutnya. Bayangkan jika keputusan ujian tidak tepat seseorang mungkin menyangka dirinya dijangkiti Influenza sedangkan sebenarnya bukan, atau sebaliknya. Situasi ini boleh membahayakan, terutamanya bagi golongan berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak, ibu mengandung dan pesakit kronik.
Menurut kenyataan yang dikongsikan oleh Public Health Malaysia, diagnosis bagi jangkitan Influenza hanya boleh disahkan oleh doktor bertauliah melalui penilaian klinikal menyeluruh dan ujian makmal yang diiktiraf. Penilaian ini melibatkan semakan terhadap gejala pesakit, sejarah kesihatan, tahap keterukan jangkitan serta keperluan untuk ubat antiviral atau rawatan lanjut di hospital.
Justeru, individu tidak boleh mengesahkan dirinya dijangkiti Influenza hanya berdasarkan keputusan daripada kit ujian kendiri Influenza yang dibeli secara dalam talian seperti di Shopee, TikTok Shop atau mana-mana platform lain. Ujian kendiri semata-mata tidak mencukupi untuk menentukan jangkitan sebenar.
Selain berisiko mendapat keputusan palsu, penggunaan kit ujian kendiri Influenza yang tidak diluluskan juga boleh membawa kepada salah rawatan. Contohnya, seseorang mungkin mengambil ubat tanpa nasihat doktor atau menangguhkan rawatan sebenar. Kesannya, jangkitan boleh menjadi lebih serius dan mudah menular kepada orang lain.
Sekiranya mengalami simptom seperti demam panas, batuk, sakit tekak, keletihan melampau atau sakit badan yang kuat, segeralah berjumpa doktor di klinik atau hospital berdaftar. Hanya melalui pemeriksaan dan pengesahan perubatan, barulah rawatan yang tepat dapat diberikan.
Langkah ini bukan sahaja melindungi diri sendiri, tetapi juga membantu mencegah penularan penyakit dalam komuniti. Jadilah pengguna bijak — jangan mudah terpengaruh dengan iklan atau tawaran murah di internet. Dalam soal kesihatan, pengesahan doktor tetap yang paling utama.
Sebelum beli sebarang kit kesihatan dalam talian, semak dulu status kelulusan di laman rasmi mda.gov.my. Jangan ambil risiko dengan alat ujian yang belum sah — kesihatan bukan tempat untuk eksperimen!
BACA LAGI : Engku Aleesya Cemerlang IGCSE, Ready For A-Level! – Erra Fazira Luah Bangga
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.