
Kisah seorang gadis yang berasal dari Indonesia, Khairun Nisa yang sebelum ini tular selepas menyamar sebagai pramugari Batik Air, kini menerima sinar dan harapan apabila ditawarkan pendidikan pramugari secara percuma oleh sebuah akademi penerbangan di Indonesia. Perkembangan terbaru itu sekaligus mencuri perhatian orang ramai dan mengundang reaksi positif di media sosial.
Menerusi sebuah perkongsian yang dimuat naik oleh akaun rasmi Aeronef Academy Indonesia, pihaknya tampil memaklumkan ingin menghulurkan bantuan dengan menawarkan pendidikan pramugari secara percuma kepada Nisa susulan pendedahan kisah yang memilukan itu.
“Mungkin Kak Nisa sedang berasa sedih ketika ini, namun perlu diketahui bahawa kegagalan bukanlah pengakhiran segalanya, sebaliknya permulaan kepada kisah baharu yang lebih hebat,” tulis kenyataan itu.
Menurut akademi berkenaan, pihaknya menyifatkan perjuangan dan keazaman Nisa untuk membanggakan ibu bapanya sebagai sesuatu yang wajar diberikan peluang kedua. Aeronef juga memaklumkan bahawa tawaran tersebut bertujuan membantu gadis berusia 23 tahun itu merealisasikan impiannya secara sah dan profesional melalui latihan serta pensijilan rasmi.
Dalam pada itu, di ruangan komen, ramai pengguna media sosial yang mengikuti kisah ini menyifatkan situasi tersebut sebagai satu peringatan bahawa kejatuhan bukanlah noktah, sebaliknya mampu menjadi titik permulaan kepada perjalanan hidup yang lebih bermakna.
Terdahulu, Nisa menjadi perbualan hangat selepas tindakan beliau menyertai kru kabin Batik Air secara tidak sah terbongkar. Memetik laporan TV One News, tindakannya itu berpunca daripada perasaan malu terhadap ibu bapa selepas menjadi mangsa penipuan sindiket yang menjanjikan peluang pekerjaan sebagai pramugari dengan bayaran sebanyak 30 juta rupiah (sekitar RM7200).
Walau bagaimanapun, wang tersebut lesap dan tawaran pekerjaan yang dijanjikan tidak pernah wujud. Dalam keadaan terdesak dan sudah terlanjur memberitahu ibu bapanya, Nisa nekad menyamar sebagai pramugari dan menyertai kru penerbangan dari Palembang ke Jakarta.
Namun, tindakannya disedari oleh kru kabin lain yang menyedari kehadirannya tidak sepatutnya berada dalam penerbangan tersebut. Selepas tiba di Jakarta, Nisa ditahan pihak berkuasa sebelum mengakui bahawa beliau berbohong kerana menjadi mangsa penipuan.
Kisah Khairun Nisa pramugari Batik Air kini menjadi contoh bagaimana kesilapan boleh dijadikan pengajaran dan titik tolak kepada perubahan yang lebih baik. Dengan sokongan masyarakat serta peluang pendidikan yang diberikan, ramai berharap Nisa mampu membina semula hidupnya dan mencapai impian secara sah serta bermaruah.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.