
Usahawan dan pempengaruh terkenal, Khairul Aming (KA) meluahkan tekanan yang dihadapinya dalam menguruskan restoran pertamanya, Rembayung apabila hampir setiap keputusan yang dibuat mengundang kritikan daripada segelintir pihak.
Menurut KA, mengendalikan sebuah restoran yang menerima permintaan luar biasa bukan sesuatu yang mudah apabila dia bukan sahaja perlu memikirkan keselesaan pelanggan, malah kebajikan penduduk dan peniaga di sekitar Kampung Baru.
“It’s not easy untuk buka restoran yang sampai orang bergaduh macam ni. Sampai saya kena maki hari-hari,” luahnya.
Mengulas mengenai kesukaran pelanggan mendapatkan slot tempahan Rembayung, KA berkata pihaknya sentiasa melakukan penambahbaikan terhadap sistem yang digunakan.
Namun, permintaan tinggi turut membuka ruang kepada scammer dan pihak tidak bertanggungjawab untuk mengambil kesempatan.
“Saya upgrade sistem hari-hari. Saya lawan scammer, saya tak menang. Hackers-hackers ni menang, dia lawan sistem,” katanya.
Dalam masa sama, KA berkata dia tidak boleh sewenang-wenangnya membuka restoran kepada pelanggan secara walk-in atau membiarkan orang ramai beratur panjang.
Ini kerana langkah tersebut berpotensi menyebabkan kesesakan dan masalah parkir sehingga mengganggu penduduk serta peniaga lain di kawasan berkenaan.
“Kalau saya block parking, saya kacau penduduk. Penduduk nak balik rumah tak boleh.
“Saya nak customer beratur dalam panas, saya boleh buat, tapi kejamlah saya. Kesian kat diorang,” jelasnya.
KA turut berharap orang ramai memahami bahawa Rembayung merupakan restoran pertama yang pernah diusahakannya.
Justeru, dia sedikit terkilan apabila perniagaannya dibandingkan dengan restoran lain yang sudah lama bertapak serta mempunyai banyak cawangan.
“Korang compare saya dengan kedai makan lain yang dah buka 10 outlet, 20 outlet, yang dah ada investor banyak. Saya baru buka satu.
“Jutaan orang nak datang, saya cuma muat 200 biji kerusi sahaja,” katanya.
Menurut KA, kapasiti restoran juga tidak boleh ditingkatkan semudah perniagaan produk yang membolehkannya menambah mesin atau meningkatkan jumlah pengeluaran.
Bagaimanapun, dia memberi jaminan akan terus melakukan penambahbaikan dan menegaskan tidak pernah berniat untuk menyusahkan pelanggan.
“I will try my best untuk improve, tapi korang kena faham, saya tak pernah menganiaya orang. Saya takkan buat macam tu dekat customer saya.”
Dalam luahan sama, KA mendedahkan dia sebenarnya pernah tidak mahu membuka restoran kerana sudah dapat menjangkakan tekanan yang bakal dihadapinya.
Malah, dari sudut perniagaan, dia mengakui boleh sahaja meneruskan perniagaan sedia ada tanpa perlu mengambil risiko membuka Rembayung.
“Sejujurnya, tak perlu buka pun sebenarnya. Saya dulu sebenarnya tak nak buka.
“Sebab saya dah tahu kalau saya buka, lagi banyak masalah. Lagi serabut, lagi sakit kepala. Baik saya berniaga macam ni lagi senang,” katanya.
Namun, di sebalik segala cabaran tersebut, pembukaan Rembayung kini memberi peluang pekerjaan kepada 80 anak tempatan, selain membuka ruang kepada pembekal tempatan yang terlibat dalam operasinya.
Biarpun terpaksa berdepan kecaman hampir setiap hari, KA tetap memilih untuk meneruskan Rembayung sambil memperbaiki kelemahan yang ada.
Apa yang diharapkannya hanyalah sedikit kefahaman bahawa sebagai restoran pertamanya, ada perkara yang boleh diperbaiki, namun ada juga kekangan yang berada di luar kawalannya.
Selepas sebelum ini menerima kecaman sehingga dilabel ‘kapitalis’ susulan beberapa usaha mengembangkan perniagaannya, KA mengakui pengurusan Rembayung turut memberikan cabaran tersendiri kepadanya.
Label tersebut antara kritikan yang dilemparkan terhadap KA kebelakangan ini apabila langkahnya mengembangkan perniagaan, termasuk idea berkaitan ‘bandar livestream’, menjadi perhatian dan perdebatan dalam kalangan netizen.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.