
Khaby Lame raih RM3.57 bilion hasil jual sebahagian syarikatnya, sekali gus membuktikan bahawa dunia pencipta kandungan kini mampu melahirkan empayar perniagaan bertaraf global. Pempengaruh TikTok paling berpengaruh di dunia itu dilaporkan menandatangani perjanjian besar bernilai sekitar USD900 juta dengan sebuah syarikat tersenarai di Amerika Syarikat, Rich Sparkle Holdings.
Daripada sekadar video ringkas tanpa suara yang dirakam ketika dunia berada dalam fasa ‘lockdown’, Khaby Lame kini muncul sebagai antara figura paling berpengaruh dalam ekonomi digital global.
Nama Khaby Lame mula mencuri perhatian dunia sekitar tahun 2020 ketika pandemik COVID-19 melanda. Ketika ramai berdepan tekanan hidup dan kehilangan pekerjaan, Khaby memilih pendekatan unik dengan berkongsi video reaksi tanpa suara yang menyindir kandungan ‘life hacks’ yang dianggap tidak masuk akal.
Dengan hanya menggunakan ekspresi wajah dan gerak tangan, kandungan ringkasnya berjaya menarik perhatian jutaan pengguna media sosial dalam masa singkat. Keunikan inilah yang melonjakkan Khaby Lame sebagai fenomena global, khususnya dalam kalangan remaja dan generasi muda.
Hari ini, Khaby memiliki lebih 160 juta pengikut di TikTok, menjadikannya antara individu paling ramai pengikut di platform tersebut dan simbol kejayaan pencipta kandungan digital.
Populariti luar biasa itu tidak disia-siakan. Khaby Lame mula membina jenama sendiri dan mengembangkan perniagaannya ke peringkat antarabangsa melalui kerjasama penajaan, perkongsian jenama serta pelbagai inisiatif komersial berimpak tinggi.
Menerusi perjanjian terbaharu ini, Khaby Lame menyerahkan hak komersial global jenamanya kepada Rich Sparkle Holdings untuk tempoh awal selama 36 bulan. Perjanjian tersebut merangkumi hak perkongsian jenama, penajaan, pelesenan serta aktiviti e-dagang berskala besar.
Walaupun begitu, Khaby Lame tidak menjual sepenuhnya syarikatnya. Beliau kekal sebagai pemegang saham utama dan pengawal dalam Rich Sparkle, sekali gus memastikan penglibatan langsung dalam hala tuju strategik perniagaan yang dibinanya.
Langkah strategik ini dilihat sebagai titik perubahan penting dalam landskap pemasaran digital global. Ia menandakan peralihan daripada model influencer tradisional kepada model perniagaan berasaskan ekuiti, teknologi dan e-dagang, selari dengan perkembangan pesat ekonomi pencipta kandungan.
Nilai perjanjian sekitar USD900 juta itu juga antara yang terbesar pernah direkodkan melibatkan seorang pencipta kandungan digital. Rich Sparkle Holdings percaya gabungan trafik media sosial, teknologi proprietari serta sistem pemenuhan global mampu menjana potensi pendapatan sehingga USD4 bilion setahun jika perancangan berjalan lancar.
Kejayaan Khaby Lame menjadi inspirasi besar buat golongan remaja dan anak muda yang aktif di media sosial. Ia membuktikan bahawa kandungan kreatif bukan sekadar hiburan, malah mampu menjadi asas kepada pembinaan perniagaan bernilai tinggi jika diurus dengan bijak dan strategik.
Daripada video reaksi tanpa suara yang ringkas kepada empayar komersial bernilai hampir USD1 bilion, perjalanan Khaby Lame membuktikan bahawa dunia digital hari ini membuka peluang luas buat sesiapa sahaja yang berani mencuba dan konsisten.
Khaby Lame kini bukan lagi sekadar content creator, tetapi simbol kejayaan generasi baharu dalam membina pengaruh dan kekayaan melalui ekonomi digital global.
BACA LAGI : Bukan Hanya ‘TikTokers’ Popular, Khaby Lame Sebenarnya Seorang Hafiz Al-Quran