
Antara 13 pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu yang didapati bersalah membunuh Mohamad Nazmie Aizzat. Foto Sinar Harian
Kes bunuh pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu yang pernah menggemparkan negara akhirnya menerima keputusan di Mahkamah Tinggi. Seorang bekas pelajar berusia 20 tahun dijatuhi hukuman penjara seumur hidup serta 12 kali sebatan selepas didapati bersalah membunuh Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, pada Mac tahun lalu.
Menurut laporan Harian Metro, dalam prosiding hukuman yang dibacakan Hakim Datuk Duncan Sikodol, 12 lagi tertuduh yang masih berstatus bawah umur turut dijatuhkan hukuman penjara selama diperkenankan Yang Dipertua Negeri Sabah. Semua 13 tertuduh berusia 16 hingga 19 tahun itu sebelum ini disabitkan bersalah di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 atas tuduhan membunuh secara bersama-sama.
Tragedi hitam ini berlaku di asrama Kolej Vokasional Lahad Datu apabila mangsa, yang mesra dipanggil ‘Ijat’, ditemui mati selepas dipercayai dipukul beramai-ramai oleh rakan sendiri. Insiden berlaku di dua bilik asrama, 7 Resak dan 5 Belian, antara jam 9 malam 21 Mac hingga 7.38 pagi 22 Mac tahun lalu. Difahamkan, kejadian berpunca daripada perselisihan faham berhubung isu kehilangan wang milik dua daripada tertuduh.
Kisah Ijat menjadi titik hitam dalam dunia remaja apabila perselisihan kecil bertukar menjadi tragedi yang meragut nyawa. Keluarga mangsa kehilangan seorang anak yang masih muda dan berpotensi besar, manakala 13 remaja lain pula kehilangan masa depan mereka akibat tindakan yang tidak berfikir panjang.
Hakim dalam penghakiman menegaskan, hukuman berat ini bukan sahaja memberi pengajaran kepada tertuduh tetapi juga kepada masyarakat umum — bahawa budaya buli, keganasan dan mengambil undang-undang di tangan sendiri boleh membawa padah yang besar.
Buat pembaca remaja, kisah ini wajar dijadikan sempadan. Masalah kecil jangan dibiar menjadi besar hingga meragut nyawa. Elakkan budaya gengsterisme, buli dan pukul beramai-ramai kerana ia bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh merosakkan masa depan diri dan keluarga.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.