
Antara 13 pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu yang didapati bersalah membunuh Mohamad Nazmie Aizzat. Foto Sinar Harian
Seramai 13 pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu didapati bersalah membunuh rakan mereka, Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, dalam kejadian di asrama kolej berkenaan pada Mac tahun lalu.
Menurut Sinar Harian, keputusan ini diumumkan di Mahkamah Tinggi Tawau pada Jumaat selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap semua tertuduh yang berusia antara 16 hingga 19 tahun. Hukuman ke atas mereka bagaimanapun ditangguhkan sehingga 28 Ogos depan sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Menurut pertuduhan, kesemua pelajar terbabit didakwa bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat di bilik asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu antara jam 9 malam pada 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac 2024. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sepanjang hayat jika sabit kesalahan.
Perbicaraan kes ini dikendalikan oleh Hakim Datuk Duncan Sikodol. Pendakwaan pula dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abdul Latif dan Ng Jhun Tao. Manakala pegawai penyiasat kes ialah Asisten Superintenden Suddin Tjinke, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu.
Kesemua tertuduh diwakili oleh beberapa firma guaman termasuk Ram Singh Harbans & Co, LCZ Law Firm, Johari, Zelika & Amin, Vivian Thien & Associates, Kang Advocates, Kusni & Komariah, serta Chang & Kamarudin.
Tragedi ini benar-benar mengejutkan kerana ia berlaku di persekitaran kolej, tempat yang sepatutnya menjadi ruang untuk belajar dan membina masa depan. Lebih memilukan, konflik sesama rakan yang sepatutnya boleh diselesaikan dengan cara matang akhirnya berakhir dengan kehilangan nyawa.
Buat pembaca Remaja, kes ini menjadi pengajaran penting bahawa emosi yang tidak terkawal boleh membawa kepada keputusan yang menghancurkan hidup. Satu tindakan silap mampu mengubah masa depan, bukan sahaja diri sendiri tetapi juga keluarga dan masyarakat. Jika berdepan masalah atau konflik, berbincanglah dengan guru, kaunselor, atau orang dewasa yang boleh dipercayai. Ingatlah, jalan penyelesaian sentiasa ada tanpa perlu melibatkan keganasan.