
Kes buli yang meragut nyawa pelajar tingkatan satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, terus menjadi perhatian seluruh negara. Walaupun kes ini menimbulkan pelbagai persoalan dan emosi, pihak berkuasa mengesahkan bahawa lima remaja perempuan bawah 18 tahun yang terlibat tetap akan didakwa esok di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu, Sabah.
Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam satu kenyataan berkata, pendakwaan akan dijalankan mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan (Pindaan 2025). Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Menurut Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar, pendakwaan ini tetap diteruskan walaupun peguam keluarga arwah memohon penangguhan kerana menganggap pertuduhan terlalu ringan serta bimbang wujudnya isu double jeopardy. Namun, AGC menjelaskan bahawa dakwaan tersebut tidak akan mengganggu proses inkues yang sedang berlangsung bagi menyiasat punca kematian arwah.
Kesemua lima remaja itu akan dituduh atas kesalahan mengugut dengan menggunakan perkataan atau komunikasi yang bersifat mengancam, menghina atau mengaibkan sehingga menyebabkan tekanan emosi kepada mangsa. Kes ini sekaligus memberi mesej tegas bahawa perlakuan buli, sama ada secara fizikal mahupun lisan, bukanlah perkara yang boleh dipandang ringan.
Untuk rekod, arwah Zara Qairina merupakan pelajar tingkatan satu di SMKA Tun Datu Mustapha, Sabah. Beliau meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah. Tragedi ini meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga, rakan-rakan, malah seluruh masyarakat yang mengharapkan keadilan ditegakkan.
Kes Zara Qairina menjadi titik penting dalam usaha membanteras buli di sekolah. Remaja perlu sedar bahawa setiap perbuatan, sama ada kata-kata atau tindakan, mampu memberi kesan besar kepada orang lain. Buli tidak menjadikan seseorang lebih hebat, sebaliknya merosakkan masa depan – baik mangsa mahupun pelaku.
Sebagai generasi muda, marilah kita mengambil pengajaran daripada tragedi ini. Jadikan rakan sebagai sokongan, bukan tekanan. Hormat, empati dan kasih sayang harus menjadi budaya kita bersama agar tragedi seumpama ini tidak berulang lagi.
SUMBER : Kosmo!