
Baru-baru ini, anak kepada penyanyi Sharifah Zarina Wan Hassan mencuri perhatian apabila mendedahkan bahawa kejayaan yang diraih beliau menerusi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) turut disandarkan kepada kekuatan doa, solat tahajud dan usaha berterusan.
Menerusi sebuah perkongsian di Instagram, anaknya yang dikenali sebagai Ariana Deena menzahirkan rasa syukur atas kejayaan yang diperoleh selepas melalui perjalanan yang mencabar. Beliau turut berkongsi bahawa pencapaian itu bukan sahaja hasil usaha sendiri, tetapi juga berkat sokongan keluarga, guru dan rakan-rakan yang sentiasa berada di sisinya.
“Kekuatan solat tahajud. 8A Alhamdulillah. Usaha keras akhirnya membuahkan hasil. 8 bintang emas ini untuk membalas jasa ibu bapa, guru-guru dan rakan-rakan yang sentiasa menyokong saya sepanjang perjalanan ini,” katanya yang meluahkan rasa syukur memperoleh keputusan cemerlang.
“Wahai diri, teruslah terbang tinggi walaupun kaki masih di bumi, akan ku cari langit. Ini baru permulaan, masih banyak yang menanti di hadapan dan aku yakin semuanya mampu aku,” tulis Ariana yang menitipkan kata-kata semangat kepada dirinya sendiri untuk terus melangkah jauh dalam kehidupan.
BACA: SPM 2025: Pengorbanan Bapa Terbalas, Pelajar ‘Cerebral Palsy’ Ini Raih Keputusan Cemerlang 8A!
Sementara itu, ibunya, Sharifah Zarina, turut berkongsi kisah di sebalik kejayaan tersebut apabila mendedahkan anaknya pernah melalui fasa sukar di sekolah. Menurutnya, tekanan emosi yang dialami berpunca daripada kata-kata negatif dan pengalaman diperlekehkan sehingga menjejaskan semangat untuk belajar.
Beliau menjelaskan bahawa keadaan itu mendorong keputusan untuk menukar sekolah dalam tempoh singkat demi kesejahteraan anaknya. Langkah tersebut ternyata membawa perubahan positif apabila anaknya kembali bangkit dan menunjukkan prestasi cemerlang dalam peperiksaan.
Menurutnya lagi, kejayaan hari ini bukan sekadar pencapaian akademik tetapi simbol kekuatan dan ketabahan selepas melalui detik sukar. Ia menjadi bukti bahawa setiap ujian mampu membawa kepada kemenangan apabila disertai usaha, sokongan keluarga dan keyakinan diri yang tidak pernah pudar.
Sumber: Instagram Ariana Deena & Sharifah Zarina
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.