Berita

Kementerian Luar Sahkan Rakyat Malaysia Misi GSF Selamat, Pulang Melalui Negara Ketiga

Share

Terbaru, Kementerian Luar Negeri memaklumkan semua rakyat Malaysia yang ditahan tentera Israel ketika menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) menuju ke Gaza akan dihantar pulang melalui negara ketiga.

Menerusi sebuah kenyataan pada Khamis, kementerian memaklumkan bahawa semua yang ditahan kini berada dalam keadaan selamat dan sihat. Pada masa yang sama, perkara itu sekaligus memberi jaminan kepada keluarga serta rakyat Malaysia bahawa mereka berada dalam kawalan pihak berkuasa.

Kredit foto: Bernama

 

“Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan telah mengeluarkan arahan kepada perwakilan di Kedutaan Besar Malaysia di Amman dan Kaherah untuk mendapatkan kerjasama daripada kedutaan negara-negara ASEAN di Tel Aviv”

“Kementerian ini akan memastikan mereka menerima sokongan serta bantuan konsular yang diperlukan bagi menjamin kepulangan selamat mereka ke Malaysia”

“Kerajaan Malaysia akan terus komited menjaga keselamatan rakyat Malaysia di luar negara,” katanya dalam kenyataan itu.

Dalam pada itu, kementerian turut menjelaskan bahawa kerajaan sedang mengambil langkah sewajarnya bagi menjamin keselamatan serta memastikan pembebasan segera peserta GSF, khususnya 23 rakyat Malaysia yang telah ditahan rejim Zionis.

Menurut kenyataan yang sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mohamad Hasan turut berhubung dengan beberapa pemimpin serta rakan sejawat negara sahabat termasuk dari Amerika Syarikat bagi mendapatkan kerjasama mereka.

Selain itu, kerajaan menegaskan bahawa penahanan peserta GSF adalah tidak sah dan pihaknya menuntut agar mereka dilayan selaras dengan undang-undang antarabangsa serta dibebaskan dengan segera.

Sementara itu, langkah diplomatik yang sedang dijalankan diharap dapat mempercepatkan proses pembebasan dan penghantaran pulang rakyat Malaysia. Kerajaan juga menegaskan komitmen penuh untuk tidak berkompromi terhadap keselamatan rakyatnya.

Sekadar info, misi Global Sumud Flotilla disertai oleh sukarelawan antarabangsa termasuk rakyat Malaysia dengan tujuan menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza. Namun, misi berkenaan dihalang oleh tentera Israel sebelum mereka ditahan.

Antara rakyat Malaysia yang ditahan ialah Nur Heliza Helmi, Nur Hazwani Afiqah Helmi, Norfarahin Romli (Farah Lee), Danish Nazran Murad, Zainal Rashid, Muhammad Abdullah, Musa Nuwayri, Iylia Balqis, Sul Aidil, Zizi Kirana, Razali Awang, Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khairudin, Rusydi Ramli, PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak, Muhd Haikal Luqman Zulkefli, Dr Taufiq Mohd Razif, Muhammad Hareez Adzrami (Haroqs) dan Ardell Aryana.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE