
Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Johor 2025 kali ini jadi lebih istimewa apabila bukan seorang, tetapi dua pasangan kembar diumumkan sebagai penerima Anugerah Pengarah. Majlis penuh bermakna itu berlangsung di Dewan Permata Marjan, Politeknik Mersing, dan kisah kejayaan mereka kini menjadi inspirasi kepada ramai pelajar muda di seluruh negara.
Menurut laporan Sinar Bestari, pasangan kembar berusia 21 tahun, Syahirah Afifah Rohaizat dan Syahirah Afiqah Rohaizat, dari Kolej Komuniti Bandar Penawar, buktikan bahawa usaha keras tak pernah sia-sia.
Sewaktu mula mendaftar di kolej, mereka langsung tak ada asas dalam bidang Teknologi Maklumat, iaitu kursus yang mereka pilih. Namun, bukannya alasan untuk menyerah kalah.
“Kami kena berusaha lebih gigih dengan ulang kaji tiga jam sehari, rujuk YouTube dan Google sebagai bahan tambahan, serta sentiasa dapatkan bimbingan pensyarah,” jelas mereka.
Anak keempat dan kelima daripada sembilan beradik ini juga mengakui perjalanan mereka penuh cabaran. Ada topik yang susah nak faham, tapi mereka tak berhenti mencuba.
Selain kelas, mereka manfaatkan bantuan senior, minta tunjuk ajar pensyarah, dan bijak guna ChatGPT untuk memahami topik yang rumit. Smart move, girls!
Sementara itu, satu lagi pasangan kembar hebat, Nur Alia Muyassarah Mohd Zafizal dan Nur Alia Najiah Mohd Zafizal, juga 21, dari Kolej Komuniti Segamat 2, turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pengarah.
Berasal dari Gemas, Negeri Sembilan, mereka sendiri akui tak sangka nama mereka diumumkan sebagai pemenang.
“Pencapaian ini memang luar jangkaan. Rahsianya? Fokus sepenuhnya masa dalam kelas, catat setiap penerangan pensyarah dan paling penting, jangan sesekali tinggalkan solat,” kata mereka.
Pendekatan mereka jelas — disiplin, fokus, dan seimbangkan ilmu dunia serta akhirat.
Kalau nak ikut jejak langkah dua pasangan kembar hebat ni, cuba amalkan tip belajar mereka:
Konsisten Ulang Kaji – Tetapkan rutin belajar harian, walaupun hanya sejam sehari.
Jangan Malu Bertanya – Tanya pensyarah, senior, dan cari rujukan tambahan seperti YouTube & Google.
Fokus Dalam Kelas – Catat setiap penerangan, jangan harap ingatan semata-mata.
Manfaatkan Teknologi – Guna aplikasi pembelajaran dan AI seperti ChatGPT untuk faham topik sukar.
Seimbangkan Ilmu & Doa – Usaha keras penting, tapi doa dan restu keluarga jangan dilupakan.
Kejayaan dua pasangan kembar ini bukti bahawa tiada yang mustahil bila ada tekad dan disiplin. Dari tak ada asas dalam bidang pengajian, mereka kini jadi pelajar cemerlang dan penerima Anugerah Pengarah.
Majlis konvokesyen mungkin sehari, tapi usaha mereka bertahun-tahun inilah yang menjadikan kemenangan itu lebih bermakna.
“Gagal sekali bukan penamat, tapi permulaan untuk bangkit lebih kuat,” — Syahirah Afifah, penerima Anugerah Pengarah.