Berita

Kembali Ke Pusara Isteri, Tun Dr Mahathir Undang Sebak Rakyat Malaysia

Share

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menziarahi pusara isteri tercinta, Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di Pusara Negara, Taman Selatan, Presint 20.

Suasana penuh hiba menyelubungi kunjungan tersebut, khususnya apabila negarawan berusia 101 tahun itu dilihat berada di sisi pusara insan yang telah menjadi teman hidupnya selama lebih tujuh dekad.

Tiba Dari Institut Jantung Negara

Menerusi video siaran langsung Sinar Harian, kenderaan yang membawa Dr Mahathir dilihat tiba di lokasi sekitar jam 11 pagi dari Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Beliau kemudiannya menuju ke pusara Allahyarham dengan ditemani ahli keluarga.

Dalam pada itu, orang ramai turut hadir untuk menziarahi serta memberikan penghormatan terakhir buat tokoh wanita berkenaan.

Kelibat Dr Mahathir yang berdiri di sisi pusara Allahyarham nyata mengundang rasa sebak dalam kalangan rakyat Malaysia.

Wajahnya kelihatan tenang, namun jelas sarat dengan kesedihan ketika negara masih meratapi pemergian Dr Siti Hasmah pada Isnin lalu pada usia 100 tahun.

Disemadikan Dengan Penghormatan Negara

Allahyarham Dr Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir di IJN dan kemudiannya diberikan penghormatan pengebumian bertaraf Pembesar Negara.

Penghormatan tersebut diberikan sebagai mengenang jasa serta sumbangan besar beliau kepada negara sepanjang lebih separuh abad.

Pemergian Allahyarham turut meninggalkan kesan mendalam kepada rakyat Malaysia yang selama ini mengenali beliau sebagai seorang tokoh wanita yang banyak menyumbang kepada masyarakat dan negara.

Lebih 70 Tahun Melayari Bahtera Bersama

Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, hubungan Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah bukan sekadar kisah pasangan suami isteri.

Sebaliknya, perjalanan mereka selama lebih 70 tahun sering dilihat sebagai lambang kasih sayang, kesetiaan dan pengorbanan yang merentasi zaman.

Sepanjang tempoh tersebut, Dr Siti Hasmah bukan sahaja menjadi pendamping setia kepada Dr Mahathir, malah turut menjadi sumber kekuatan ketika beliau mengharungi pelbagai cabaran dalam kehidupan serta kerjaya politiknya.

Kini, selepas kehilangan insan yang menemaninya selama lebih tujuh dekad, kunjungan Dr Mahathir ke pusara Allahyarham sekali lagi menyentuh hati ramai.

Menerusi pelbagai hantaran dan reaksi di media sosial, ramai rakyat Malaysia turut menitipkan doa agar Dr Mahathir terus diberikan kekuatan serta kesihatan yang baik dalam menghadapi kehilangan tersebut.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: Awani

Published by
Fath