Kembali Bersama Keluarga Selepas Lebih Empat Tahun, Yasin Sulaiman Kini Fokus Kesihatan & Siapkan Buku Biografi

Share

Selepas lebih empat tahun berdepan pelbagai episod sukar dalam kehidupan, penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman kini kembali menyesuaikan diri dengan kehidupan bersama keluarga selepas dibenarkan pulang dari Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Penyanyi berusia 51 tahun itu sebelum ini melalui tempoh hukuman penjara sebelum menerima rawatan dan pemantauan di hospital berkenaan.

Bagi Yasin, kepulangannya bukan sekadar tentang kebebasan, sebaliknya menjadi permulaan kepada satu fasa kehidupan baharu yang perlu dilalui dengan lebih berhati-hati.

“Saya Tengah Nak Diet Sedikit”

Bercerita mengenai kehidupannya selepas keluar dari hospital, Yasin mengakui antara perkara yang diberi perhatian ketika ini adalah keadaan kesihatan serta berat badannya yang berubah sepanjang melalui tempoh sukar tersebut.

Katanya, ketika pertama kali dibebaskan daripada hospital, dia tidak terlalu memikirkan tentang makanan yang diinginkan kerana lebih menghargai nikmat kebebasan.

“Sekarang ini saya tengah nak diet sedikit sebab berat badan saya sepanjang melalui proses ini turun naik. Dulu berat saya 65 kilogram, bila masuk penjara turun sehingga 48 kilogram. Teruk sangat.

“Kemudian masuk hospital mereka beri ubat, berat badan saya naik sehingga 80 kilogram. Sekarang sudah 77 kilogram tetapi saya nak kurangkan sehingga mencapai 60 kilogram,” katanya ketika ditemui semasa pementasan teater Mansur & Liu di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada malam Rabu.

Perlu Melalui Proses Sebelum Dibebaskan

Dalam pada itu, Yasin turut berkongsi bahawa perjalanan untuk kembali menjalani kehidupan di luar bukanlah sesuatu yang berlaku dengan mudah.

Sepanjang berada di Hospital Bahagia, dia perlu menjalani rawatan serta tempoh pemantauan bagi memastikan keadaan dirinya benar-benar stabil sebelum dibenarkan pulang.

“Akhirnya, seiring dengan Hari Kemerdekaan negara, Tuanku Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menandatangani perintah pembebasan saya. Saya bersyukur dan menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

“Bukan pembebasan awal tetapi saya mengikut prosedur, tidak ada laluan mudah. Maknanya pihak hospital berpuas hati dengan rawatan saya dan saya sudah stabil,” kongsinya.

Akui Penjara Pengalaman Yang Sangat Sukar

Mengimbas kembali tempoh berada di sebalik tirai besi, Yasin tidak menafikan pengalaman tersebut meninggalkan kesan yang mendalam terhadap dirinya.

Malah, dia menyifatkan keadaan di penjara sebagai jauh lebih sukar berbanding ketika berada di hospital.

“Penjara adalah tempat yang teruk. Sangat kotor, ganas dan ada penghinaan. Ketika pemeriksaan keselamatan, kita boleh diminta berbogel dan melakukan ketuk ketampi. Teruk sangat di penjara. Jangan masuk penjara,” katanya lagi.

Masih Perlu Bergantung Kepada Ubat

Walaupun kini sudah kembali bersama keluarga dan menikmati kehidupan di luar, Yasin menjelaskan bahawa kebebasan yang diberikan kepadanya masih disertai beberapa syarat.

Menurutnya, dia perlu meneruskan pengambilan ubat serta memastikan dirinya tidak lagi terlibat dengan kanabis.

“Saya masih bergantung ubat. Syarat-syarat untuk keluar daripada Hospital Bahagia ada dua.

“Pertama, tak boleh tinggalkan ubat sehingga ke penghujung hayat dan kedua, tak boleh terlibat dengan kanabis lagi,” jelasnya.

Bakal Hasilkan Buku Biografi

Dalam fasa baharu kehidupannya itu, Yasin turut mengambil langkah untuk berkongsi perjalanan yang dilaluinya menerusi sebuah buku biografi.

Buku tersebut bakal memberi fokus kepada pengalaman hidupnya, termasuk kisah berkaitan isu kesihatan mental yang pernah dilaluinya sendiri.

Untuk rekod, Yasin telah dibenarkan pulang ke rumah pada 2 September lalu selepas menjalani rawatan dan pemantauan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Sebelum itu, pada 22 Ogos 2024, Yasin dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas didapati bersalah atas tiga kesalahan berkaitan dadah.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 28 April 2025 telah melepas dan membebaskan Yasin serta memerintahkannya kembali ditempatkan di Hospital Bahagia sehingga mendapat perkenan Sultan Selangor.

Keputusan tersebut sekali gus mengetepikan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Shah Alam sebelum ini.

Yasin sebelum itu berdepan tiga pertuduhan, iaitu memiliki kanabis seberat 193.7 gram, menanam 17 pokok kanabis dalam pasu plastik berisi tanah serta memberikan dirinya dadah berbahaya.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath