Kekangan Gajet Dan Internet Bukan Alasan, Pelajar Cemerlang SPM 10A Ini Siap Dapat Motosikal

Share

Mesti banyak cabaran dan kekangan yang dihadapi oleh para pelajar sewaktu belajar di alam maya. Malah bukan semua pelajar bernasib baik dapat belajar secara ‘online’ dengan baik.

ARTIKEL BERKAITAN : 5 Tips Belajar Secara ‘Online’ Tanpa Gangguan, Ini Perkongsian Dr Amalina Bakri Yang Korang Boleh Try

Foto Via Astro Awani

Namun, hal ini tidak menjadi alasan dan mematahkan semangat bagi Nur Tasnim Mohd Fadzli, 18, apabila terpaksa berkongsi gajet untuk mengulangkaji pelajaran secara atas talian. Malah, beliau membuktikan usahanya berbaloi apabila dia meraih 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Lebih menarik, pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Daeratul Maarifil Wataniah (DMW), Kepala Batas, Pulau Pinang itu meraih hadiah berganda apabila menerima sumbangan berupa motosikal Modenas Kriss sumbangan kelab motosikal, Northern Pulsar Crew (NPC) sempena program tanggungjawab sosial korporat (CSR), hari ini.

Menurut Nur Tasnim, dia tidak menyangka akan memperoleh 10A kerana terpaksa bergelut untuk membuat ulang kaji secara atas talian berikutan kekangan dari segi kemudahan internet.

Apa tidaknya, dia terpaksa berkongsi satu gajet dengan dua adik berusia 10 dan 16 tahun yang turut membuat ulang kaji atas talian ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

“Masa COVID memang betul-betul (mencabar) sebab dari form four pun dah start PKP lepas tu form five pun sama memang sangat-sangat mencabar. Belajar online sebab kadang-kadang internet lepas tu kena share gajet dengan adik, adik ada dua orang, kena berebut juga lah…macam susah bila ada kat rumah sebab ada adik-adik,” katanya.

Nur Tasnim anak kedua dari empat beradik memberitahu dia akan menggunakan motosikal yang diterimanya apabila melanjutkan pelajaran kelak.

Menurut laporan Astro Awani, dia yang ditemani ibu bapa, Mariyatulkhetiah Mohamad, 47, dan Mohd Fadzli Abdul Rahman, 49, berhasrat melanjutkan pelajaran ke Mesir dalam bidang Syariah untuk mengejar cita-cita bergelar pensyarah.

Sementara itu, Pengarah Projek CSR NPC, Mohd Akmal Rosli memberitahu, program sumbangan motosikal kepada pelajar cemerlang dirancang sejak hujung tahun lalu sebagai dorongan kepada calon yang bakal menduduki SPM.

Ia adalah sebahagian program CSR yang terpaksa dihentikan dua tahun lalu susulan COVID-19.

“Nasihat saya kepada penerima ini (motosikal) bila ada motor ini diguna ke arah kebaikan. Lepas tu kalau kata sambung belajar kat mana-mana pun motor inilah boleh guna untuk harian dan juga jadi lebih berjaya lagi untuk masa-masa depan,” katanya.

Tahniah kami ucapkan kepada adik Tasnim, moga terus berjaya di masa akan datang.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

IKLAN