
Terbaru, skuad boling padang negara menepati sasaran apabila muncul juara keseluruhan Kejohanan Boling Padang Jemputan Tujuh Negara 2026 selepas menyapu bersih kesemua empat acara yang dipertandingkan di Stadium Juara, Bukit Kiara, pada Rabu.
Memetik laporan Astro Awani, kejayaan tersebut sekaligus merealisasikan hasrat Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia, Datuk Awalan Abdul Aziz yang meletakkan sasaran untuk muncul juara keseluruhan dalam kejohanan yang menggunakan format rasmi Sukan Komanwel Glasgow 2026 itu.
Dalam aksi singles lelaki, Izzat Shameer Dzulkeple meneruskan rekod tanpa kalahnya sejak peringkat kumpulan untuk menewaskan bekas pemain nombor satu dunia dari New Zealand, Shannon Mcilroy dengan keputusan 5-8, 8-2 dan 1-0. Perlawanan yang berlarutan hingga ke tie-break itu menyaksikan Izzat bangkit selepas tewas set pertama sebelum mengawal tempo permainan pada dua set berikutnya.

Menurut Izzat, pengalaman menentang lawan sama di peringkat kumpulan memberi kelebihan untuk merancang strategi lebih tersusun.
“Situasi yang berlaku dalam aksi final hari ini menjadi persiapan saya menghadapi Sukan Komanwel pada pertengahan tahun ini,” katanya.
Sementara itu, dalam saingan singles wanita pula, Nor Farah Ain Abdullah menampilkan aksi terbaik kejohanan apabila menewaskan wakil India, Nayanmoni Saikia 2-1 untuk menghadiahkan satu lagi emas buat negara. Atlet berusia 25 tahun itu bangkit selepas ketinggalan pada set pertama dengan menukar corak permainan mengikut jarak balingan yang lebih sesuai.
“Saingan agak sengit di awal saingan dan bersyukur atas kejayaan dalam saingan kali ini, terdapat beberapa percaturan jurulatih berhasil sebelum bergelar juara,” kata Farah.


Emas ketiga negara hadir menerusi gandingan Muhammad Naufal Azmi-Fadley Jabal dalam acara pairs lelaki selepas menewaskan pasangan Wilayah Utara Australia, Alex Brennan-Trystan Smallacombe 2-1. Kemenangan itu juga menebus kekalahan mereka pada peringkat kumpulan, biarpun mengakui masih dalam proses membina keserasian sebagai gandingan baharu.
Pada masa yang sama, Nur Syafira Mohamad Rezuan-Nurul Balqis Anisha Bakar melengkapkan sapu bersih emas negara dalam acara pairs wanita apabila menundukkan pasangan Hong Kong, Cheryl Chan-Helen Cheung 2-1.
Kemenangan tersebut disifatkan sebagai hasil kerja berpasukan yang mantap, terutama selepas mereka berdepan kesukaran mencari rentak pada peringkat separuh akhir sebelum berjaya bangkit dan mengawal permainan dengan lebih tenang di pentas final.
Di samping itu, gandingan tersebut turut bertekad untuk terus memperkemaskan aspek adaptasi permainan bagi memastikan prestasi lebih konsisten pada kejohanan akan datang.
Sumber: Astro Awani
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!










