
Terbaru, jaguh para berbasikal negara, Mohammad Yusof Hafizi Shaharuddin (28) mencipta sejarah di Rio de Janeiro apabila berjaya merangkul pingat perak dalam acara 1 kilometer (km) ujian masa kategori MC1 pada Kejohanan Berbasikal Trek Para Dunia 2025, awal pagi tadi.
Beliau menamatkan saingan dengan catatan masa 1 minit 15.432 saat (s), hanya ketinggalan 0.25s di belakang pemenang pingat emas dari Sepanyol, Ricardo Ten Argiles. Pingat gangsa pula menjadi milik atlet neutral, Ivan Ermakov yang merekodkan 1:17.657s.
Lebih membanggakan, Yusof sebelum itu berjaya memecah rekod kebangsaan dalam acara sama pada peringkat kelayakan dengan catatan 1:14.117s, sekaligus membuktikan peningkatan prestasi yang konsisten di pentas dunia.

Menurut jurulatih skuad berbasikal para negara, Sallehudin Mohd Noh berkata, beliau nyata teruja dengan pencapaian tersebut dan menyifatkan kejayaan ini mampu membuka peluang lebih besar apabila beraksi pada Sukan Para ASEAN di Korat, Thailand dan Sukan Para Asia di Nagoya, Jepun pada 2026 akan datang.
Pada masa yang sama, kejayaan meraih perak ini tidak hanya menjadi penyuntik semangat buat Yusof Hafizi, malah beliau berpeluang untuk menambah koleksi pingat dalam acara seterusnya iaitu pecut 200m yang dijadualkan berlangsung pada hari ketiga perlumbaan nanti.

Dalam perkembangan lain, pasukan tandem pecut berpasukan campuran negara yang dibarisi Mohd Khairul Hazwan Wahab-Muhammad Khairul Adha Rasol serta gandingan Nur Suraiya Muhammad Zamri-Farina Shawati Mohd Adnan menamatkan saingan di tempat keempat selepas tewas kepada Great Britain. Catatan masa mereka 52.729s berbanding 50.406s yang direkodkan pasukan lawan.
Bagi kategori MC5 pula, pelumba negara Zuhairie Ahmad Tarmizi menamatkan saingan di tempat ke-10 dalam acara 1km ujian masa selepas mencatat masa 1:08.571s pada peringkat kelayakan.
Sumber: Astro Awani
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!












