Sukan

Atlet Remaja Malaysia Pamer Aksi Cemerlang, Kaut 1 Emas, 1 Perak & 5 Gangsa Di Asian Youth Games 2025!

Share

Kontinjen muda Malaysia sekali lagi membuktikan kehebatan mereka di pentas antarabangsa apabila beberapa atlet remaja berjaya membawa pulang pelbagai jenis pingat di Asian Youth Games 2025 Bahrain yang berlangsung baru-baru ini.

Kejayaan Cemerlang Atlet Remaja Malaysia

Antara yang paling mencuri tumpuan ialah YM Puteri Sharifah Ariel Budriah Jamalullail, yang berjaya meraih pingat emas dalam acara Ekuestrian (Show Jumping). Kejayaannya bukan sahaja mengharumkan nama negara, malah turut membuktikan kemampuan atlet muda wanita Malaysia untuk bersaing di peringkat tertinggi dalam Asian Youth Games 2025 Bahrain.

Kredit foto: FB Majlis Sukan Negara Malaysia
Kredit foto: FB Majlis Sukan Negara Malaysia

Kecemerlangan Sukan Muay

Dalam pada itu, Aureylle Xzandra Bobby turut mencipta sejarah peribadi apabila berjaya meraih pingat perak dalam acara Muay (Wai Kru 14-15). Persembahan penuh disiplin dan tenaga yang dipamerkan Aureylle nyata mendapat perhatian juri dan penonton di Asian Youth Games 2025 Bahrain.

Sukan Muay juga terus menyumbang kegemilangan buat Malaysia apabila Jaethan Jonathan Quan dan Ariesya Dania Abd Latip masing-masing meraih pingat gangsa dalam kategori Wai Kru bagi umur 14-15 dan 16-17 tahun. Kejayaan ini memperlihatkan betapa sukan bela diri tradisional ini semakin mendapat tempat dalam kalangan remaja tempatan.

BACA: Atlet Remaja Malaysia Cemerlang, Raih Beberapa Pingat Gangsa Di Sukan Remaja Asia 2025!

Kredit foto: FB Majlis Sukan Negara Malaysia
Kredit foto: FB Majlis Sukan Negara Malaysia
Kredit foto: FB Majlis Sukan Negara Malaysia

Kategori Berpasukan & Pertarungan

Jaethan turut menggandeng Bethany Yun Yunn dalam kategori Muay Berpasukan Campuran, dan pasangan muda berbakat ini berjaya menghadiahkan satu lagi pingat gangsa untuk kontinjen Malaysia di Asian Youth Games 2025 Bahrain.

Dalam acara pertarungan, dua lagi atlet muda negara turut menunjukkan semangat juang luar biasa apabila Muhammad Haikal Faiz (kategori 45kg 14-15) dan Mia Nur Al Amani Nashary (kategori 48kg 14-15) masing-masing membawa pulang pingat gangsa selepas perlawanan sengit menentang lawan-lawan dari rantau Asia.

Kredit foto: FB Majlis Sukan Negara Malaysia
Kredit foto: FB Majlis Sukan Negara Malaysia

Semangat Kesukanan & Aspirasi

Difahamkan, Asian Youth Games 2025 Bahrain membuka tirainya secara gilang-gemilang menerusi Upacara Perasmian Pembukaan di Exhibition World Bahrain, Manama, yang menghimpunkan penyertaan atlet muda dari 45 negara Asia dengan mempertandingkan 28 jenis sukan.

Bagi kontinjen Malaysia yang diketuai oleh Chef de Mission, Farah Ann Abdul Hadi, seramai 114 atlet dan 42 pegawai telah membawa cabaran negara dalam 17 jenis sukan yang dipertandingkan di Asian Youth Games 2025 Bahrain.

Masa Depan Sukan Negara Di Tangan Generasi Muda

Temasya berprestij ini bukan sekadar medan persaingan sengit, tetapi juga menjadi platform memperkukuh semangat kesukanan, persahabatan dan aspirasi melahirkan atlet pelapis berwibawa di peringkat antarabangsa.

Kejayaan kontinjen remaja ini juga membuktikan bahawa Malaysia mempunyai bakat pelapis yang luar biasa dalam pelbagai disiplin sukan. Kejayaan mereka bukan sekadar lambang pencapaian peribadi, tetapi juga isyarat bahawa masa depan sukan negara berada di tangan generasi muda yang berani dan bersemangat.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE