
Aktor versatil, Aedy Ashraf mengambil langkah berani apabila mempertaruhkan dirinya sebagai penerbit menerusi filem sulung, Tarung: The Unforgiven, sekali gus membuka lembaran baharu dalam kerjaya seninya.
Pelakon berusia 33 tahun itu mengakui keputusan tersebut bukan mudah kerana menuntut komitmen tinggi serta ketahanan mental untuk berdepan pelbagai persepsi, termasuk kritikan sinis terhadap hasil kerjanya.
Menurut Aedy, dia tidak mudah terkesan dengan pandangan negatif, sebaliknya menganggap ia sebagai sebahagian daripada proses mematangkan diri dalam industri.
“Pandang rendah itu perkara biasa bagi saya. Saya tidak pernah anggap ia sebagai sesuatu yang boleh menghentikan langkah.
“Orang yang memandang rendah ini seolah-olah ‘kawan baik’ saya. Jadi, saya tidak tergugat kerana apa yang saya lakukan adalah demi impian sendiri,” katanya.
Tambahnya lagi, segala usaha yang dilakukan hari ini adalah demi memenuhi impian dirinya pada masa lalu.
“Saya cuma mahu ‘budak itu’ (dirinya ketika kecil) berasa bangga dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang. Itu matlamat saya,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka dan tayangan treler rasmi filem berkenaan di Banglo 289.
Dalam pada itu, Aedy tidak menafikan perjalanan menghasilkan filem tersebut penuh dengan cabaran besar sehingga pernah terdetik untuk berputus asa.
“Sebenarnya, setiap hari saya rasa nak menangis. Setiap hari juga saya rasa nak mengalah.
“Bila bangun tidur, saya persoalkan kenapa saya buat semua ini. Tetapi saya ingat kembali tujuan asal dan itu yang buat saya terus kuat,” katanya.
Walaupun tidak mempunyai latar belakang pendidikan formal dalam bidang perfileman, Aedy tetap optimis bahawa minat dan usaha mampu membawa kejayaan.
“Saya tak habis sekolah dan tak pernah belajar filem, tetapi saya boleh buat.
“Saya nak buktikan kepada pembikin filem muda di luar sana, kalau saya boleh, kenapa mereka tidak boleh?” katanya.
Filem aksi Tarung: The Unforgiven yang sebelum ini mencuri perhatian menerusi poster awal kini melangkah ke fasa seterusnya dengan pelancaran treler rasmi berdurasi satu minit 45 saat.
Treler tersebut memaparkan konflik perebutan takhta organisasi elit dikenali sebagai MARGA, selain menampilkan babak aksi pertarungan antara watak Hatta lakonan
Mierul Aiman dan Isa yang dibawakan Aedy sendiri.Filem arahan Razaisyam Rashid ini turut dibintangi nama-nama popular seperti Zul Ariffin, Bront Palarae, Azira Shafinaz, Sharifah Sakinah dan Amir Ahnaf.
Naskhah terbitan Alpha47 dengan kerjasama Icon Pictures serta Astro Shaw itu dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 7 Mei ini.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.