
Kehilangan insan tersayang ketika masih menuntut di institusi pengajian tinggi pastinya bukan satu ujian yang mudah untuk dihadapi. Namun, situasi itu tidak pernah mematahkan semangat graduan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Ilyas Hakim Amir, 23, untuk terus mengejar impian sehingga berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang.
Ilyas yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Reka Bentuk dan Analisis) dengan Kepujian membuktikan bahawa kehilangan kedua-dua ibu bapanya bukan alasan untuk mengalah, sebaliknya menjadi pembakar semangat untuk terus melakar kejayaan.
Lebih menyentuh hati, kejayaan menggenggam segulung ijazah itu didedikasikan khas buat kedua-dua ibu bapanya, Allahyarham Amir Awalludin dan Allahyarhamah Hayati Ahmad, yang tidak berpeluang menyaksikan sendiri detik bersejarah tersebut.

Berazam Membanggakan Ibu Bapa Sejak Bangku Persekolahan
Mengimbas kembali perjalanan hidupnya, Ilyas berkata, hasrat untuk membanggakan kedua-dua ibu bapanya sudah mula disematkan sejak di bangku sekolah lagi.
Malah, beliau pernah menyimpan impian untuk membawa ibu dan ayah naik ke pentas ketika menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Sebenarnya, alasan saya untuk terus berjuang adalah kerana saya berazam untuk membawa mak dan ayah naik ke pentas ketika Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Namun, ketika itu negara berdepan pandemik COVID-19 dan saya hanya diraikan menerusi siaran dalam talian di YouTube.
“Saya kemudian berazam untuk membanggakan mereka sekali lagi ketika pengajian diploma,” ujarnya.
Bagaimanapun, hasrat tersebut sekali lagi tidak kesampaian apabila beliau tidak berpeluang membawa ibunya untuk menyaksikan kejayaan ketika menamatkan pengajian diploma.
“Ketika itulah saya benar-benar berasa sedih dan hampir berputus asa.
“Alhamdulillah, orang sekeliling terus memberikan kekuatan kepada saya untuk bangkit dan meneruskan pengajian sehingga tamat,” katanya.

Kehilangan Ibu Dan Ayah Ketika Masih Menuntut Pengajian
Ujian paling berat buat Ilyas bermula apabila ibunya meninggal dunia akibat penyakit kencing manis ketika beliau masih mengikuti pengajian di peringkat diploma.
Meskipun kehilangan tersebut meninggalkan kesan mendalam, sokongan daripada insan sekeliling sedikit sebanyak membantunya mengumpul kekuatan untuk meneruskan impian yang telah lama dibina.
Ketika melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah pula, Ilyas semakin nekad untuk memberikan yang terbaik demi membahagiakan bapanya, walaupun ketika itu kesihatan Allahyarham yang menghidap kanser semakin merosot.
Memasuki tahun kedua pengajian, Ilyas mula merasakan sesuatu yang tidak kena apabila keadaan bapanya semakin kritikal.
Malah, ketika baru memasuki minggu pertama semester baharu, beliau mengambil keputusan untuk pulang ke rumah bagi menemani bapanya.
Syukur, Ilyas masih berkesempatan berada di sisi insan tersayang itu sebelum Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 13 Oktober 2024.
Pemergian bapanya selepas kehilangan ibu tercinta pastinya meninggalkan ruang kosong yang sukar digambarkan. Namun, keadaan itu tidak pernah memadamkan semangatnya untuk meneruskan perjuangan demi kedua-dua insan yang paling disayangi.
“Apa yang membuatkan saya bangkit selepas kehilangan kedua-dua ibu bapa ialah niat asal saya untuk membanggakan mereka.
“Walaupun sekarang mereka tidak lagi bersama saya di dunia, saya tetap mahu membanggakan mereka kerana saya masih bergelar anak kepada Amir dan Hayati,” katanya penuh makna.

Sanggup Bekerja Sambilan Demi Menampung Perbelanjaan Pengajian
Dalam meneruskan kehidupan sebagai seorang pelajar, Ilyas turut mengambil inisiatif untuk berdikari dengan melakukan pekerjaan sambilan bagi menampung perbelanjaan hariannya.
Antara usaha yang dilakukan termasuk membantu menguruskan parcel di UMPSA selain bekerja sebagai penghantar makanan GrabFood.
Menurutnya, mengimbangi tuntutan akademik, pekerjaan serta emosi selepas kehilangan kedua-dua ibu bapa bukanlah sesuatu yang mudah.
Bagaimanapun, segala pengalaman tersebut banyak mengajarnya untuk menjadi seorang individu yang lebih tabah, berdisiplin dan menghargai setiap peluang yang hadir dalam kehidupan.
Usaha kerasnya turut membuahkan hasil apabila beliau berjaya menerima Biasiswa Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) ketika berada di tahun kedua pengajian ijazah.
Bagi Ilyas, pengiktirafan tersebut bukan sekadar bantuan kewangan, malah menjadi tanda kepercayaan terhadap kemampuan dirinya untuk terus melangkah lebih jauh meskipun berdepan pelbagai ujian kehidupan.
Raih PNGK 3.84, Terima Pelbagai Pengiktirafan Akademik
Berkat kesungguhan dan pengorbanan yang dilakukan, Ilyas akhirnya berjaya menamatkan pengajian di UMPSA dengan keputusan membanggakan apabila memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.84 sekali gus meraih Kelas Pertama.
Lebih membanggakan, beliau turut menerima Anugerah PNGK Terbaik Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), selain berjaya memperoleh Anugerah Dekan pada setiap semester sepanjang pengajian.
Tidak terhenti di situ, Ilyas turut memperlihatkan bakat dan kebolehannya dalam bidang inovasi menerusi projek ‘KiBO: Sight Word Gamification for Children with Dyslexia’ yang berjaya meraih pingat emas serta Anugerah Khas FTKMA di CITREX 2025.

Kini Bergelar Jurutera, Mahu Terus Menyumbang Kepada Masyarakat
Selepas berjaya menamatkan pengajian, Ilyas kini telah memulakan kerjaya sebagai Jurutera di ASE Malaysia.
Beliau turut menyimpan hasrat untuk terus memperkukuh kemahiran teknikal serta menyumbang kepada pembangunan teknologi dan inovasi pada masa akan datang.
Menurutnya, kejayaan yang diraih ketika ini bukanlah noktah kepada perjuangannya, sebaliknya menjadi permulaan kepada tanggungjawab lebih besar untuk membina masa depan yang lebih baik serta memberikan manfaat kepada masyarakat.
“Walaupun impian saya untuk membawa ibu dan ayah naik ke pentas tidak kesampaian, kejayaan menamatkan pengajian dengan cemerlang menjadi bukti bahawa kasih sayang dan didikan mereka terus hidup dalam setiap langkah yang diambil,” katanya.
Untuk rekod, Ilyas Hakim Amir menerima ijazah yang disampaikan oleh Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias pada sesi terakhir Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-21 yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor (DTC), Pekan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: FB UMPSA
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!









