
Sebulan selepas memutuskan pertunangan dengan pelakon popular Orlando Bloom, penyanyi pop antarabangsa Katy Perry kini dikaitkan pula dengan bekas Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau dan spekulasi ini mula timbul selepas mereka dilihat menikmati makan malam bersama baru-baru ini.
Menurut laporan TMZ, pelantun lagu berjudul ‘Dark Horse’ itu dilaporkan sempat singgah di Montreal sebagai sebahagian daripada konsert jelajahnya yang berlangsung di Kanada pada 28 Julai lalu dan meluangkan masa bersama Trudeau yang kini berusia 53 tahun.
Difahamkan, Katy Perry yang kini berusia 41 tahun turut dijadualkan mengadakan persembahan di lima bandar utama Kanada termasuk Ottawa sebelum meneruskan konsert jelajah ke negara lain.
Dalam pada itu, pasangan tersebut difahamkan berbual santai dengan cef restoran Le Violon sebelum menikmati hidangan udang karang dan kemudiannya menjamu wain di bahagian teres restoran tersebut.
Apa yang lebih menarik, Katy Perry dan Trudeau juga sempat memasuki bahagian dapur untuk mengucapkan terima kasih kepada staf restoran sebelum beredar pulang. Malah sepanjang waktu itu, kelibat pengawal peribadi mereka dilihat berada di kaunter bar memantau situasi.
Pada masa yang sama, hubungan antara mereka semakin menjadi buah mulut apabila kedua-duanya dilihat membawa anjing bersiar-siar di sebuah taman sebelum makan malam berlangsung.
Selesai makan malam, Trudeau dilihat menghantar penyanyi itu pulang ke penginapannya di Ritz Carlton serta mereka juga sempat berbual mesra di pekarangan hotel tanpa menyembunyikan keakraban mereka.
Sementara itu, Katy Perry yang baru sahaja berpisah dengan Bloom pada Jun lalu selepas hampir sedekad bersama, sebelum ini mengakui sedang menikmati kehidupan solonya. Trudeau pula berstatus duda selepas perkahwinannya dengan bekas pengacara televisyen, Sophie Grégoire berakhir pada 2023 selepas 18 tahun bersama dan mereka mempunyai tiga cahaya mata.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.