Berita

Kasut Diikat Getah Undang Simpati, Rupa Murid Pula Jadi Perhatian

Share

Insiden dua murid Sekolah Kebangsaan Seri Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan yang terpaksa mengikat kasut sekolah menggunakan getah mencuri perhatian ramai selepas rakaman mereka tular di media sosial, sekali gus mengundang rasa simpati warga maya.

Menerusi perkongsian yang dimuat naik di TikTok, kelihatan kedua-dua pelajar terbabit mengikat kasut masing-masing kerana kasut berkenaan tidak lagi berfungsi dengan baik. Situasi itu secara tidak langsung membuka mata ramai tentang realiti hidup segelintir keluarga yang berdepan kekangan kewangan, meskipun keperluan asas seperti kasut sekolah sering dianggap remeh.

Prihatin dengan keadaan tersebut, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Seri Wakaf Bharu tampil mengambil tindakan pantas dengan menghadiahkan sepasang kasut sekolah baharu kepada kedua-dua murid berkenaan.

Inisiatif itu disifatkan sebagai langkah segera bagi memastikan kebajikan pelajar terus terpelihara, lebih-lebih lagi pada awal musim persekolahan.

Yang Dipertua PIBG SK Seri Wakaf Bharu merangkap Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) memaklumkan, bantuan tersebut disalurkan sebaik kisah berkenaan tular dan menarik perhatian masyarakat.

Menurutnya, tindakan pantas itu adalah sebahagian daripada usaha memastikan murid dapat hadir ke sekolah dengan lebih selesa dan yakin.

“Alhamdulillah sekali lagi daripada kisah ‘SEPASANG KASUT YANG DIIKAT DENGAN GETAH URAT’ kami daripada MTRK berkesempatan menghadiah kasut baru kepada 2 orang murid di SK Seri Wakaf Bharu, Tumpat.

“Terima Kasih tidak terhingga kepada Presiden MTRK merangkap YDP PIBG SK Seri Wakaf Bharu kerana sentiasa cakna dan bertindak pantas agar mereka ini dapat merasa memakai kasut baru di awal persekolahan,” katanya menerusi kapsyen hantaran tersebut.

Meninjau ke ruangan komen, rata-rata warga maya meluahkan rasa terharu serta memuji tindakan pantas PIBG dan MTRK yang disifatkan wajar dijadikan contoh.

Ramai turut berharap agar lebih banyak pihak tampil membantu pelajar kurang berkemampuan supaya mereka tidak tercicir dalam pelajaran hanya kerana kekurangan keperluan asas.

Namun, dalam keharuan kisah tersebut, perhatian warga maya turut tertumpu kepada rupa paras salah seorang murid yang dikatakan memiliki wajah tampan. Ada yang berseloroh menyifatkan kanak-kanak itu berpotensi menjadi model pakaian sekolah, malah tidak kurang juga memuji raut wajahnya yang bersih dan menawan.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath