
Baru-baru ini, pasukan karate Labuan mencuri perhatian selepas berjaya mencatat pencapaian membanggakan di pentas antarabangsa apabila membawa pulang dua pingat emas dalam Kejohanan Karate Terbuka Antarabangsa ke-24 Universal Shotokan Karate Union (USKU) di Takanabe, Miyazaki, Jepun.
Memetik laporan Bernama, barisan jaguh karate Labuan yang beraksi penuh semangat juang itu terdiri daripada beberapa atlet berbakat yang turun beraksi sepanjang kejohanan yang berlangsung dari 27 hingga 29 Mac lalu, membuktikan keupayaan mereka bersaing di peringkat global.
Secara keseluruhan, skuad Labuan berjaya mengutip dua pingat emas, dua perak dan empat gangsa dalam kejohanan berprestij itu, sekaligus mengharumkan nama negara di bumi Jepun.
Pingat emas pertama berjaya diraih menerusi acara kata berpasukan wanita senior yang dibarisi oleh Syarulniza Abdul Jamil, Nur Aleesya Dayana Asmadie dan Nur Ariesya Dayana Asmadie selepas mempamerkan persembahan yang cukup kemas dan bertenaga.
Momentum kecemerlangan itu diteruskan apabila Martina Anne Jipaun, Hazimah Jamil dan Syarulniza sekali lagi mencuri tumpuan dalam acara kumite berpasukan wanita senior untuk menghadiahkan emas kedua buat kontinjen Labuan.
Dalam pada itu, Syarulniza dan Nur Aleesya turut menyerlah dalam acara individu masing-masing apabila Syarulniza membawa pulang pingat perak dalam kumite serta gangsa dalam kata, manakala Nur Aleesya pula meraih perak dalam kata dan gangsa dalam kumite bagi kategori junior bawah 15 tahun.
BACA: Atlet Pecut Remaja Negara Raih ‘Straight A’ Dalam SPM 2025! Izzatul Musfirah Terus Bersinar
Sumbangan pingat gangsa turut diperoleh menerusi aksi Mohamad Aqib Aimar Mohamad Affendi dalam acara kata lelaki bawah 10 tahun, yang juga melengkapkan pencapaian cemerlang pasukan Labuan di kejohanan tersebut.
Sementara itu, menurut Presiden Persatuan Karate Labuan, Renshi Aswadee Taba, beliau memuji prestasi anak buahnya dan menyifatkan kejayaan itu sebagai hasil dedikasi tinggi serta disiplin yang ditunjukkan sepanjang latihan.
Tegasnya, bersaing di Jepun dan membawa pulang pingat merupakan satu kebanggaan buat Labuan serta membuktikan atlet tempatan mampu berdiri sebaris dengan pesaing di peringkat antarabangsa.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.