
Muhammad Firdaus Amraan, seorang graduan Universiti Utara Malaysia (UUM), akhirnya menggenggam segulung ijazah dalam program Perakaunan (Sistem Maklumat) pada Majlis Konvokesyen Ke-38 UUM di Dewan Mu’adzam Shah, pada sesi ketujuh.
Namun, di sebalik senyuman kegembiraan itu tersimpan kisah perjuangan yang benar-benar menyentuh hati.
Firdaus, 26, berasal dari Negeri Sembilan, memasuki UUM dengan semangat yang tinggi. Namun, perjalanan akademiknya tidak semudah yang dijangka.
Malangnya, pertengahan semester ketiga membawa titik perubahan besar dalam hidupnya. Firdaus mula merasa tidak sihat, kerap demam, dan pengsan.
“Kali pertama saya rasa ada yang tak kena, saya terjatuh di dalam kelas dan tak sedarkan diri,” kenangnya.
Pada awal 2019, berat badan Firdaus merosot dengan mendadak dan dia dimasukkan ke hospital. Keadaannya semakin lemah.
“Saya dimasukkan ke wad di Hospital Tampin, dan selepas itu dihantar ke Hospital Seremban. Di sana saya didiagnosis menghidap kanser otak (Brain cell tumor cancer) dan diberitahu bahawa tumor dalam otak saya sebesar bola golf,” katanya.
Setelah beberapa minggu, Firdaus dipindahkan ke Institut Kanser Negara (IKN)
untuk rawatan lanjut.“Selama berbulan-bulan, saya menjalani rawatan kimoterapi sebanyak empat kitaran yang amat berat.
“Sepanjang tempoh itu, saya koma, tidak sedarkan diri, dan mengalami penurunan berat badan yang ketara. Saya hanya mampu sebut ‘nak encing’ dan ‘nak minum’,” jelasnya.
Walaupun tubuh lemah dan diuji dengan dugaan fizikal dan mental yang berat, Firdaus tidak berputus asa. Dengan sokongan keluarga, pensyarah, dan sahabat-sahabat, dia kembali ke kampus pada 2020 selepas terpaksa menangguhkan dua semester.
Perjalanan akademiknya terus diuji pada semester ke-6 dan ke-7, namun kegigihan dan azam Firdaus tidak pernah luntur.
Dengan usaha tanpa henti dan semangat yang membara, Firdaus akhirnya berjaya menamatkan pengajiannya pada
12 November 2025. Perjalanan ini bukan sekadar tentang menamatkan pengajian, tetapi simbol ketabahan seorang anak muda yang tidak menyerah kepada nasib.Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: UUM News