Penerbit Datuk A Aida menganggap peluang kedua yang diberikan Allah selepas melalui pengalaman koma sebagai satu petanda bahawa masih ada urusan yang perlu diselesaikan dalam hidupnya.
Bagi A Aida, antara perkara yang paling dekat di hatinya adalah impian untuk melihat anak gadisnya, Azeva, 25, meneruskan legasi keluarga dalam industri kreatif.

“Mungkin Inilah Urusan Itu”
Menerusi laporan media tempatan, A Aida berkongsi bahawa pengalaman berdepan detik getir antara hidup dan mati ketika koma membuatkan dirinya lebih menghargai peluang yang diberikan kepadanya.
Menurutnya, doktor ketika itu memaklumkan peluang untuk dia kembali sedar amat tipis. Namun, dia percaya ketentuan Allah mengatasi segala kemungkinan.
“Apabila teringat balik masa koma dulu, doktor cakap peluang saya untuk ‘pergi’ 99.9 peratus. Tapi Allah bagi saya hidup kembali. Ustaz ada kata, mungkin ada urusan yang belum selesai lagi.
“Apabila ustaz cakap macam itu, saya memang tidak terfikir benda lain. Saya terfikir pasal Azeva sahaja. Mungkin inilah urusan itu,” katanya kepada pemberita.

Hampir 10 Tahun Pujuk Azeva
Sebagai pengasas A Aida Production, Aida juga tidak pernah berputus asa untuk menggalakkan Azeva mencuba bidang seni.
Malah, hampir sedekad lamanya dia memujuk anaknya itu untuk menceburi bidang lakonan dan nyanyian sebelum Azeva akhirnya membuka hati untuk memberi fokus lebih serius terhadap kerjaya seni.
Kini, Azeva bukan sahaja aktif sebagai penyanyi dan pelakon, malah turut bergelar penerbit di bawah syarikat Hello Production.
Perkembangan tersebut nyata memberikan kepuasan tersendiri buat Aida yang selama ini menyimpan harapan untuk melihat anaknya mengembangkan bakat dalam industri kreatif.

“Harapan Dan Impian Saya Selama Ini Tercapai”
Bagi Aida, melihat Azeva berada dalam industri seni hari ini sudah cukup untuk membuatkan dirinya berasa bangga sebagai seorang ibu.
Malah, dia menyifatkan segala usaha dan harapan yang disimpan selama ini seakan-akan sudah tercapai apabila Azeva mula membina nama menerusi pelbagai cabang seni.
“Maknanya, harapan dan impian saya selama ini tercapai. Orang cakap kalau saya ‘pergi’ (meninggal dunia) sekali pun, saya boleh tutup mata dengan tenang.
“Melihat dia sekarang ini, inilah harapan saya. Dia ada semua pakej, ada suara, ada rupa, jadi inilah tempat dia dalam industri seni.
“Walaupun dia pemegang ijazah perakaunan, bidang itu bila-bila pun boleh buat. Tapi bakat dan pakej yang Allah kurniakan ini, sayang kalau tidak dimanfaatkan,” katanya.
Anda mungkin berminat dengan

Azeva Pertaruh Single Sulung
Sokongan Aida terhadap perjalanan seni Azeva kini semakin membuahkan hasil apabila anaknya itu mempertaruhkan single sulung berjudul Tanpa Rasa Jemu.
Menariknya, lagu tersebut turut dipilih sebagai lagu runut bunyi (OST) untuk filem lakonan Azeva, Bisikan Nafsu.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: BH Online
∞
Justin Bieber sekali lagi membuktikan bahawa dia tidak memerlukan produksi besar untuk mencipta momen luar biasa apabila tampil di pentas Coachella 2026. Walaupun tampil dengan konsep yang lebih santai, persembahan ini tetap berjaya mencuri perhatian ribuan peminat yang hadir.
Sebelum menjayakan pentas utama, Bieber terlebih dahulu mengadakan dua persembahan berskala kecil di The Roxy dan Troubadour, West Hollywood. Persembahan tersebut menjadi medan pemanas badan selepas hampir empat tahun tidak aktif membuat kemunculan pentas secara konsisten.
Langkah ini bukan sahaja mengembalikan keyakinannya di atas pentas, malah memberi peluang kepada peminat setia untuk menikmati sisi lebih dekat seorang bintang global. Semua ini menjadi pembuka jalan kepada momen besar Justin Bieber di Coachella 2026.
Persembahan dimulakan dengan rangkaian lagu daripada album terbaharu sebelum suasana bertukar lebih tenang menerusi segmen akustik. Dalam bahagian ini, Bieber duduk di tengah pentas dan menyampaikan lagu seperti “Glory Voice Memo”, “Zuma House” dan “Everything Hallelujah” dalam versi minimal.

Momen tersebut cukup menyentuh emosi. Bieber dilihat hampir sebak ketika menyampaikan lirik yang berkait rapat dengan perjalanan hidupnya. Suasana di hadapan pentas menjadi sunyi, dengan penonton memberi sepenuh perhatian kepada setiap bait yang dinyanyikan.
Segmen ini membuktikan bahawa kekuatan sebenar Justin Bieber di Coachella 2026 bukan terletak pada visual semata-mata, tetapi pada kejujuran emosi yang disampaikan secara langsung kepada peminat.
Throwback Lagu Lama Di YouTube Jadi Tumpuan
Namun, arah persembahan berubah secara drastik dalam satu momen yang tidak dijangka.
Dalam aksi spontan, Bieber membuka komputer ribanya di atas pentas dan melayari YouTube di hadapan ribuan penonton. Dia memainkan semula video lama termasuk klip viral dan rakaman awal yang pernah melonjakkan namanya dalam industri muzik.
Lebih menarik, Bieber menyanyi bersama video tersebut, menghidupkan kembali lagu-lagu ikonik seperti “Baby”, “That Should Be Me” dan “Never Say Never”. Malah, video cover “With You” yang pernah menjadi titik permulaan kariernya turut dipaparkan semula.
Walaupun konsep ini kelihatan sederhana dan jauh daripada persembahan festival yang biasanya sarat dengan efek visual, suasana di hadapan pentas kekal bertenaga. Ribuan Beliebers dilihat menyanyi bersama, mencipta satu pengalaman kolektif yang penuh nostalgia.
Segmen throwback lagu lama di YouTube ini menjadi bukti bahawa muzik Bieber telah merentas masa dan terus relevan sehingga hari ini. Ia juga memperlihatkan bagaimana hubungan antara artis dan peminat mampu bertahan dalam jangka panjang.

Gabungan segmen akustik yang emosional dan throwback lagu lama di YouTube menjadikan persembahan ini unik serta berbeza daripada kebiasaan. Ia terasa lebih peribadi, lebih jujur dan lebih dekat dengan peminat.
Beliebers pula memainkan peranan besar dalam menghidupkan suasana, menjadikan setiap lagu lebih bermakna. Sokongan mereka membuktikan bahawa Bieber masih mempunyai pengaruh besar dalam industri muzik global.
Persembahan ini akhirnya menjadi simbol perjalanan panjang Bieber daripada seorang remaja yang memuat naik video di YouTube kepada ikon muzik dunia yang masih mampu menguasai pentas antarabangsa.
Sumber : Billboard
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Pengunduran bekas Menteri Pendidikan negara, Dr Maszlee Malik dari pucuk kepimpinan Kementerian Pendidikan semalam nyata mengejutkan ramai orang.
Bagi golongan pelajar, pendidik dan pengurasan universiti, ramai yang mengikut rapat pengumuman yang dilakukan oleh beliau semalam.
Rasa berat hati untuk melepaskan beliau tentunya ada kerana Dr Maszlee Malik dilihat sebagai seorang menteri dan pemimpin yang berkhidmat untuk kebaikan golongan cendikiawan tanpa taksub terhadap politik semata.
Lantas, IPT di Malaysia telah menyatakan ucapan terima kasih mereka kepada beliau atas jasa selama 20 bulan memimpin Kementerian Pendidikan dengan sebaik mungkin.
Ucapan tersebut dimuat naik di media sosial masing-masing dan mendapat respon positif daripada pelajar.
Universiti Teknologi MARA

.
.
Universiti Teknologi Malaysia

.
.
Universiti Putra Malaysia

.
.
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

.
.
Universiti Malaysia Sabah

.
.
Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA)

.
.
Universiti Utara Malaysia

.
.
Universiti Malaysia Pahang

*
Terima kasih Dr Maszlee Malik, perjuangan dalam aliran pendidikan harus diteruskan.
Kejutan Hari Pertama Persekolahan, Dr Maszlee Malik Letak Jawatan
∞
Baru-baru ini, pelakon Intan Najuwa mendedahkan dirinya berdepan gangguan berterusan daripada seorang individu yang didakwa menghantar ugutan bunuh menerusi akaun media sosial palsu. Susulan kejadian itu, Intan memberi amaran bahawa beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang bagi melindungi keselamatan dirinya dan keluarga.
Menerusi sebuah perkongsian di Instagram Story, Intan atau nama penuhnya Intan Najuwa Abdul Wahid (29) memaklumkan bahawa individu terbabit kembali mengganggunya selepas beberapa bulan tidak menunjukkan sebarang aktiviti. Menurutnya, gangguan tersebut bukan perkara baharu kerana beliau sebelum ini turut menerima mesej peribadi secara berulang kali.
Lebih membimbangkan, pelakon drama ‘Pemburu Rahsia’ itu mendakwa individu berkenaan turut menghubungi rakan-rakannya melalui mesej peribadi dan emel, selain menghubungi pejabat Kuala Lumpur Polo Club hampir setiap hari untuk mencari dirinya.

“Hari ini (kelmarin) dia muncul balik selepas berbulan-bulan mendiamkan diri. Sebelum ini, hampir setiap hari dia mengganggu saya melalui DM. Bukan saya sahaja, tetapi dia juga DM dan (hantar) emel kepada semua rakan saya,” tulisnya.
Selain itu, Intan turut menjelaskan bahawa individu di sebalik akaun palsu tersebut dipercayai seorang lelaki yang kembali meninggalkan komen berunsur ancaman terhadapnya. Situasi itu membuatkan pelakon berkenaan semakin tertekan, apatah lagi gangguan yang diterima turut melibatkan pencerobohan privasi.
“Kepada sesiapa sahaja yang berada di sebalik akaun palsu ini, tolong hentikan perbuatan ini dengan segera. Saya sudah tidak tahan lagi dengan gangguan, ancaman serta pencerobohan privasi yang anda lakukan,” katanya.
BACA: Intan Najuwa Akhirnya Bersuara, Tuntut Rizman Ruzaini Selesaikan Bayaran RM1.3 Juta

Dalam masa sama, Intan menegaskan bahawa ugutan bunuh bukan perkara yang boleh dipandang ringan dan memberi amaran supaya individu terbabit menghentikan segala bentuk gangguan. Beliau turut menyatakan kesediaan untuk menggunakan saluran undang-undang sekiranya perbuatan tersebut terus berulang.
“Saya mempunyai hak sepenuhnya untuk melindungi keselamatan diri, privasi serta keluarga saya. Perkara ini mesti dihentikan,” jelasnya sambil menegaskan bahawa tindakan undang-undang boleh diambil terhadap individu berkenaan.
Untuk rekod, Intan sebelum ini pernah membuat laporan polis selepas mendakwa dirinya diganggu oleh seorang individu yang melemparkan tuduhan tidak berasas. Insiden terbaru ini sekali lagi mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan dan privasi pelakon itu susulan dakwaan ancaman yang diterimanya menerusi media sosial.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞