Kak KM Nafi Anak Kena ‘Reject’, Siap Bayar Penalti -“Jangan Siapa Berani Marah Anak Saya!”

Share

Usahawan dan personaliti media sosial sensasi, Kak KM tampil menjelaskan situasi sebenar berkenaan dakwaan yang mengatakan anak perempuannya, Nabila Razman tidak layak menjadi kru kabin di sebuah syarikat penerbangan berpangkalan di Singapura.

Menurut Kak KM atau nama sebenarnya Liana Rosli, anaknya sebenarnya telah pun menerima tawaran kerja sebagai pramugari di negara republik itu.

Namun, disebabkan beberapa faktor termasuk isu kesihatan mental anaknya yang didakwa sering dimarahi majikan, beliau mengambil keputusan untuk meminta Nabila berhenti walaupun terpaksa membayar sejumlah wang penalti kepada syarikat tersebut.

“Terus-terang memang saya bayar penalti sebab tidak mahu anak saya kerja di sana. Tidak ada masalah, saya bayar saya mahu anak saya balik,” katanya ketikanya

.

Tambahnya lagi, dia tidak sanggup melihat anak kesayangannya diperlakukan sebegitu, lebih-lebih lagi sebagai seorang ibu yang cukup melindungi.

“Saya tidak besarkan anak saya untuk orang sesuka hati marah-marah. Saya sendiri tidak marah anak saya, ini apabila saya hantar pergi kerja kenapa hendak marah anak saya.

“Bagi saya tak apa rugi sikit, janji pulang semula anak saya,” tambahnya lagi.

Walaupun enggan mendedahkan jumlah sebenar yang dibayar sebagai penalti, Kak KM memaklumkan jumlah maksimum yang dikenakan mencecah RM50,000.

“Anak Saya Lulus Temuduga, Bukan Kena Reject”

Dalam pada itu, anak kepada pelakon senior Normah Damanhuri itu turut menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa kononnya Nabila tidak melepasi sesi temuduga atau diberhentikan kerja.

“Kalau hendak kata anak saya tidak lepas sesi temuduga, maka dia tidak akan diberi tiket, hotel, makanan dan jadual ketika di sana.

“Setahu saya, kalau ada yang tidak terpilih mereka akan terus ditolak semasa sesi pemilihan di Kuala Lumpur lagi.

Jika anak saya kena ‘reject’, tidak mungkin kami perlu bayar penalti itu pula?” ujarnya.

Tambahnya lagi, dia pelik mengapa ada segelintir netizen yang seakan bengang dan tidak berpuas hati hingga mencetuskan pelbagai spekulasi terhadap anaknya.

“Boleh Kerja Dengan Orang Tapi Kena Profesional”

Menjawab persoalan sama ada Nabila tidak boleh bekerja di bawah orang lain, Kak KM menjelaskan bahawa bukan soal ‘tak boleh ditegur’, tetapi cara teguran itu perlu dilakukan dengan betul terutamanya apabila melibatkan anak muda.

“Anak saya boleh sahaja berkerja dengan orang, tetapi dia sudah berusia 22 tahun, jadi kena cakap elok-elok dengan dia dan bersikap profesional sahaja.

“Saya mengaku memang saya yang salah minta dia berhenti kerja sebab saya tidak sanggup. Anak saya bukan untuk diperlekehkan orang lain,” jelasnya.

Kak KM turut mengakui bahawa insiden ini memberi sedikit kesan terhadap emosi anaknya.

“Anak saya tidak sekuat saya, apabila kena kecam pastinya dia akan rasa sedih. Tetapi saya ada menasihatinya.

“Layak atau tidak, sekali temuduga sahaja Nabila terus dapat, itu rezeki dia,” katanya lagi.

Terdahulu, Nabila hanya sempat menjalani latihan selama sebulan sebelum memilih untuk berundur daripada program latihan pramugari di Singapura.

Menerusi satu hantaran di Instagram Story miliknya, Nabila mengakui dia tidak merasa gembira sepanjang berada di sana dan menyedari bahawa kerjaya sebagai pramugari mungkin bukan untuk dirinya.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath