Dari jauh, ia nampak saja seperti kafe-kafe biasa yang boleh kita temui di pusat membeli-belah. Namun apabila diamati dengan lebih dekat, baru REMAJA sedar inilah kiosk popular dari Singapura yang sehingga kini telahpun mempunyai 34 cawangan berbeza di negara jiran itu dalam masa 5 tahun saja.
Bagi korang yang sudah terbiasa ke Singapura atau mempunyai keluarga di sana, Wok Hey merupakan salah satu kiosk ‘makan-makan’ pilihan komuniti di sana pada zaman sekarang. Ini kerana ia menawarkan servis pantas, memudahkan pelanggan untuk ‘tapau’ pulang dan harganya juga tidaklah terlalu mahal keterlaluan.
Wok Hey juga tentunya menjadi kegemaran masyarakat Singapura selama ini kerana – apa lagi kalau bukan – rasa masakan berkonsepkan Asia yang digoreng di sini. Nampak saja saiz pakej ‘tapau’-nya sedikit kecil berbanding kafe lain. Namun REMAJA boleh janjikan bahawa ia sudah memadai bagi hidangan satu orang.
Ads
Setelah lima tahun, Wok Hey akhirnya membuka cawangan pertamanya di Malaysia. Bertempat di aras LG2 Sunway Pyramid, Petaling Jaya; kiosk yang pernah dinobatkan oleh Mediacorp Singapura menerusi kategori ‘Nasi Goreng Terbaik Singapura’ ini menawarkan cara servis yang sama seperti di sana.
Sebaik tiba di Wok Hey, korang perlu memilih di antara empat hidangan ‘goreng-goreng’ terdiri daripada Egg Fried Rice, Shanghai Fried Rice, Fresh Ramen dan Fresh Udon. Setelah itu, bagi setiap hidangan korang perlu memilih lauk serta sayuran yang ingin disertakan.
Antara lauk yang ditawarkan ialah kepingan ayam panggang, daging dan udang yang diperap. Setiap satu akan menentukan harga berbeza tetapi perbezaannya tidaklah terlalu ketara. Sebagai contoh bagi Egg Fried Rice tadi, dengan hidangan lauk ayam panggang; harganya hanyalah RM11.80 saja. Manakala jika korang memilih daging atau udang, masing-masing hanya berharga RM13.80.
Ads
Bagi setiap pemilihan sayur pula, korang hanya dicaj RM1.50 setiap satu. Sesuailah bagi yang tidak sukakan sayur; korang boleh ‘skip’ bahagian ini. Bagi penggemar sayur pula, pilihlah beberapa jenis sayur yang digemari seperti Tobiko, Asparagus, Brokoli, Capsicum, Nai Bai, cendawan Shimeji dan beberapa lagi pilihan.
Disebabkan harganya yang tidak sampai RM20 pun bagi setiap hidangan, REMAJA yakin Wok Hey akan menjadi lokasi makanan baharu pilihan rakyat Malaysia selepas ini.
Ads
Khassempena pembukaannya sejak semalam, Wok Hey kini menawarkan promosi beli 1 percuma 1 di cawangan Sunway Pyramid ini. Korang hanya perlu membayar 1 pek makanan yang harganya lebih tinggi dan korang layak mendapatkan 1 pek makanan lain secara percuma. Promosi tersebut sah dari sekarang hingga Ahad, 15 Mei 2022 saja. Jadi, jangan lepaskan peluang ini okay!
P.S : Khabarnya juga, cawangan Wok Hey seterusnya akan dibuka di One Utama pula pada bulan Julai nanti.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Semua syarikat penerbangan di bawah AirAsia Aviation Group Limited (AAAGL) yang merupakan cabang penerbangan Capital A, hari ini menegaskan komitmen mereka untuk menyelesaikan semua permintaan bayaran balik akibat pandemik secepat mungkin.
Menurut siaran yang diberikan kepada media, syarikat penerbangan di bawah AAAGL telah menyelesaikan hampir 99% pertanyaan tetamu berkenaan bayaran balik dan akan berusaha untuk menyelesaikan baki 0.8% lagi dalam masa terdekat.
Selain itu, syarikat penerbangan jarak sederhana dan jarak jauh AirAsia X (AAX) dan Thai AirAsia X (TAAX) juga mempunyai rancangan yang kukuh untuk membuat bayaran balik kepada semua tetamu yang terkesan sejak dua tahun lalu berikutan Covid-19, dalam beberapa bulan akan datang.
Pada masa yang sama, kumpulan syarikat penerbangan itu akan terus komited untuk memberikan perkhidmatan pelanggan yang terbaik melalui pelaksanaan pelbagai inovasi baharu serta teknologi digital terkemuka dalam industri yang akan meningkatkan tahap kepuasan pelanggan dalam masa terdekat.
“AirAsia telah membuat bayaran balik kepada hampir semua pelanggan yang terjejas. AirAsia telah menjadikan perjalanan udara mampu milik untuk semua dan majoriti daripada tetamu kami telah bersetuju untuk menerima bayaran balik menerusi akaun kredit dan kami amat berterima kasih kepada mereka.
“Kini, sekatan perjalanan telah mula dilonggarkan secara berperingkat di beberapa pasaran utama kami dan kami melihat ramai tetamu kami telah memanfaatkan akaun kredit mereka untuk kembali terbang bersama kami,” ucap Pegawai Eksekutif Kumpulan Capital A, Tan Sri Tony Fernandes “
Beliau juga berkata bahawa ramai yang masih keliru antara syarikat penerbangan di bawah AirAsia Aviation Group dan syarikat penerbangan jarak sederhana dan jauh AAX dan TAAX yang merupakan entiti berasingan.
Ujarnya, “AAX berdepan dengan situasi yang lebih sukar berikutan penutupan sempadan antarabangsa, menyebabkan mereka tidak dapat beroperasi sepenuhnya serta terpaksa bergantung dengan aliran tunai yang terhad sepanjang tempoh itu. Walau bagaimanapun, kini mereka telah kembali beroperasi dan telah mula membuat bayaran balik kepada para tetamu yang terkesan menerusi baucar perjalanan bersamaan nilai tempahan yang dibuat.
“Sebuah lagi syarikat penerbangan jarak sederhana dan jauh kami iaitu TAAX juga turut terkesan oleh pandemik ini dan mereka sedang bekerja keras untuk menyelesaikan semua hutang yang tertunggak kepada para tetamu melalui bayaran balik dan pemberian kredit.”
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Baru-baru ini isu kemiskinan haid sering dibahaskan dalam masyarakat kita dan Menteri Kewangan Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul juga ada mengumumkan dalam Belanjawan 2022, kit asas kebersihan diri akan diagihkan secara percuma setiap bulan kepada 130,000 remaja wanita golongan B40.
Terbaharu, satu kajian yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berkaitan kemiskinan haid melibatkan remaja perempuan dan wanita daripada kumpulan B40 di sekitar ibu negara mendapati 13.1 peratus daripada golongan itu tidak mampu membeli tuala wanita berikutan harga yang mahal.
Sebanyak 16.4 peratus daripadanya pula menyatakan mereka mengalami kesulitan untuk membeli produk pengurusan haid itu.
Kajian rintis ini dilaksanakan melibatkan remaja perempuan dan wanita berusia 13 tahun hingga 24 tahun di 13 komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan dua institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Hal ini dibentangkan di parlimen oleh Timbalan Menteri berkenaan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff menjawab soalan yang diberikan oleh Senator Datuk T. Mohan yang ingin mengetahui keadaan sebenar masalah kemiskinan haid di negara ini.
Kemiskinan haid merujuk kepada situasi apabila perempuan atau keluarga mereka tidak mampu memiliki tuala wanita disebabkan kekangan kewangan.
Justeru itu, bagi mengatasi masalah ini, KPWKM mengadakan program kesedaran dan program pemberian kit kebersihan kepada 130,000 remaja selain program pekerti sebagai usaha mendirik remaja tentang pendidikan kesihatan.
Program pengagihan (kit pengurusan haid) dilaksanakan ini melibatkan remaja berusia 13 hingga 17 tahun melalui sekolah-sekolah yang melibatkan 1,105 sekolah di seluruh negara.
Mungkin sebelum ini ramai yang terlepas pandang tentang isu kemiskinan haid kerana tidak pernah terfikir atau melaluinya. Diharap dengan kebangkitan isu ini sedikit sebanyak dapat memberikan pendedahan kepada masyarakat, khususnya yang ingin memberikan bantuan kepada golongan yang tidak berkemampuan. Bukan sahaja bantuan makanan dan pakaian, tuala wanita juga wajar diberikan kepada golongan miskin untuk kelangsungan hidup.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Umurnya baru sahaja menginjak usia 25 tahun Oktober lalu, namun anak jati Indonesia yang dilahirkan di Tangerang, Banten ini sudah mencapai banyak kejayaan dalam hidupnya. Prilly Latuconsina merupakan seorang anak seni yang serba boleh selain pelakon dia juga merupakan seorang hos, penyanyi, penulis, penerbit dan juga usahawan.
Memulakan kerjayanya sebagai pengacara pada usia 13 tahun, Prilly seterusnya mendaki kemuncak dunia hiburan dan menjadi salah seorang selebriti paling berpengaruh di Indonesia. Manakan tidak, jumlah pengikut di akaun Instagramnya sahaja mencecah 46 juta orang, ramai kan?
Aktif berlakon filem, anda pasti kenal dengan Prilly kerana dia memegang watak sebagai Risa Saraswati di dalam siri filem seram popular, Danur sejak 2017. Selain itu, terbaharu gadis genit ini sedang rancak dan popular menerusi filem Ku Kira Kau Rumah yang kini sedang hangat di tayang di pawagam di negara kita.
Selain bergelar heroin untuk filem ini, dia juga berperanan sebagai penerbit. Berkat usahanya, pada tahun 2021, Prilly telah diangkat sebagai pelakon wanita favourite di majlis berprestij Festival Filem Indonesia.
Walaupun aktif dalam dunia seni, sejak dibangku usia kanak-kanak lagi, Prilly tidak pernah mengabaikan pendidikan. Dia yang mendapat pendidikan awal di SDIT Asy-Syukriyyah untuk pendidikan sekolah rendah dan kemudiannya di SMP Negeri 4 Tangerang dan SMA Negeri 7 Tangerang untuk pendidikan menengah.
Namun begitu dek kesibukannya sebagai anak seni, dia memilih untuk meninggalkan SMA dan bersekolah di rumah sahaja. Kemudian untuk pengajian peringkat tinggi, wanita anggun ini melanjutkan pelajaran London School of Public Relation Communication & Business Institute dalam bidang komunikasi dan tamat dengan menggenggam ijazah sarjana muda.
Menariknya dek kecemerlangan yang ditonjolkan, dia telah dianugerahkan sebagai Best of The Best Graduate ketika hari konvokesyennya.
Kecemerlangannya ini menjadi tanda aras bahawa dia bukan sekadar cantik namun memiliki minda yang cerdas. Jadi tidak hairanlah apabila dia sering dijemput untuk menjadi speaker di persidangan dan juga hos untuk majlis-majlis besar yang berunsur akademia.
Prilly pernah menjadi speaker di persidangan RISE di Hong Kong yang merupakan persidangan teknologi terbesar di peringkat Asia pada 2019. Ketika itu, dia berkongsi dengan penonton mengenai isu impak penggunaan media sosial. Kejayaannya sebagai seorang anak seni muda patut dijadikan penanda aras dan juga inspirasi dalam mengejar cita-cita.
+++ Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Dr Mohammed Taufiq Johari mencipta sejarah sebagai Menteri Belia dan Sukan termuda pada usia 29 tahun, menjadi inspirasi buat belia dan remaja Malaysia.