Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Inilah perumpamaan yang sesuai dikatakan kepada remaja berusia 19 tahun ini. Semalam, Myisha Mohd Khairul telah mengharumkan nama negara apabila dia menjuarai Kejohanan Badminton Dutch International 2022.
Dia yang merupakan pemain perseorangan muda negara telah mencipta sejarah tersendiri kerana ini merupakan kejuaraan sulungnya di pentas antarabangsa. Di peringkat akhir pertandingan itu dia mengalahkan rakan sepasukan, Siti Nurshuhaini Azman dengan mata 21-19, 18-21, 21-19 dalam aksi sengit yang berlangsung selama 70 minit.
Sebelum ini, Myisha antara atlet penting dalam pasukan wanita negara yang meraih gangsa pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC), Februari lalu.
Dalam perkembangan terkini, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi telah mengumumkan ganjaran buat Myisha yang merupakan anak jati Johor Darul Takzim. Dalam satu hantaran di Instagramnya, beliau mengumumkan berita gembira tersebut.
“Tahniah Myisha Khairul atas kejayaan menjuarai Dutch International 2022. Saya dan seluruh warga Johor tumpang bangga dan gembira! Myisha yang saya kenal memang seorang atlet yang amat komited dan sentiasa berusaha gigih untuk mencapai kejayaan.
“Sebagai tanda penghargaan, Kerajaan Negeri akan menghadiahkan RM10,000.00 atas kejayaan beliau mengharumkan Negeri dan Negara,” tulisnya.
Ads
Hadiah yang diberikan ini merupakan satu token hasil kerja keras atlet dan sebagai satu penggalak untuk menaikkan semangat mereka.
Ujarnya lagi, “Semoga kemenangan ini turut menyuntik dan membakar semangat atlet-atlet muda Johor lain dalam menjulang nama negeri dan negara di persada dunia. Luaskan Kuasamu Johor. Allah Peliharakan Sultan. Allah Berkati Johor.”
Ads
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Bukan calang-calang pelajar mampu menerima pingat Anugerah Pelajaran Diraja, hanya mereka yang benar-benar layak akan dipilih untuk menjadi penerima kepada anugerah yang penuh prestij itu.
Terbaharu, Kaavilash Nair yang merupakan Graduan Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian telah dipilih sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) ketika Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) yang ke-36.
Jejaka berusia 24 tahun yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan ini menerima anugerah tersebut daripada Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang juga merupakan Tuanku Canselor UUM.
Dalam temu bual bersama media, Kaavilash berkongsi yang segala kejayaan dicapainya merupakan satu momen untuk membalas jasa kedua orang tua yang tidak henti-henti memberi sokongan.
“Saya tidak cemerlang dalam keputusan SPM dan sedih kerana mengecewakan ibu bapa ketika itu. Mujur saya diberi peluang melanjutkan pengajian ke UUM, apabila dapat peluang kedua ini, saya tanamkan dalam diri untuk mencapai kejayaan,” ujarnya.
Berjaya mengekalkan keputusan Anugerah Dekan untuk setiap semester sepanjang pembelajarannya di UUM, Kaavilash yang juga merupakan penerima biasiswa tajaan Program Ijazah Dalam Negara oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia memperoleh purata nilai gred kumulatif 3.86.
Selain cemerlang dalam pelajaran, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Metohodist (ACS) ini sangat aktif dalam bidang kokurikulum. Dia merupakan Timbalan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UUM bagi sesi 2021/2022 dan turut memegang jawatan sebagai Presiden Presiden Persatuan Komunikasi bagai sesi 2020/2021.
Bukan sekadar dalam negara, Kaavilash turut mewakili Malaysia di Discovery Camp di Kanada pada 2022 dan mengambil bahagian dalam Great World Icon: ASEAN Round Table Discussion di Thailand pada tahun yang sama.
Tahun ini dia menjadi pelajar mobiliti dan pembentang di Perbincangan Jadual Ruble Generasi Tekno-Sosial, serta Program Kepimpinan ASEAN bertempat di Indonesia. Sekadar menyebut beberapa pencapaiannya, atas dasar kecemerlangan yang ditempa maka tepatlah pemilihan jejaka ini sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja.
Tahniah REMAJA ucapkan!
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Badang kerdil negara, Bonnie Bunyau Gustin baru-baru ini membuktikan keperkasaannya di pentas antarabangsa sekali lagi selepas berjaya merangkul kejuaraan dunia dalam acara Para Powerlifting Dunia 2025 di Kaherah. Selain itu, kemenangan ini juga melakar sejarah baru buat atlet berusia 26 tahun itu apabila kekal mempertahankan gelaran juara dunia buat kali keempat berturut-turut.
Menerusi aksi final kategori lelaki bawah 72 kilogram, Bonnie mempamerkan kekuatan luar biasa dengan melakukan angkatan terbaik seberat 230kg. Catatan itu mengatasi pesaing utamanya dari China, Zhang Pingkang yang mengangkat 222kg, dan atlet Britain, Mark Swan yang menamatkan saingan dengan 217kg.
Dalam pada itu, Bonnie turut mendominasi kategori jumlah angkatan keseluruhan dengan rekod 672kg, jauh meninggalkan Amir Jafari Arangeh dari Iran (581kg) dan Swan (427kg). Kemenangan tersebut sekaligus menghadiahkan dua pingat emas kepada Malaysia dalam kejohanan berprestij tersebut.
Pada masa yang sama, kejayaan ini bukan sahaja mengekalkan statusnya sebagai atlet para elit dunia, malah mengukuhkan reputasinya sebagai antara atlet paling konsisten dalam sejarah sukan para powerlifting dan Bonnie kini menjadi satu-satunya atlet yang berjaya menjuarai edisi 2019, 2021, 2023 dan kini 2025 secara berturut-turut.
Lebih menarik lagi, kemenangannya di Kaherah kali ini hadir walaupun angkatan Bonnie sedikit di bawah rekod dunia miliknya sendiri iaitu 232kg yang dicatat ketika meraih emas di Paralimpik Paris 2024. Namun, kekuatan mental dan teknik angkatan yang sempurna sudah cukup untuk memastikan dominasi globalnya tidak tergugat.
Prestasi hebat beliau di bumi Mesir itu sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia masih kekal sebagai antara kuasa besar dalam sukan para powerlifting dunia. Aksi Bonnie turut menjadi bukti jelas bahawa semangat juang tinggi dan disiplin mampu mengekalkan prestasi di peringkat tertinggi.
Kredit foto: FB MSN
Sementara itu, pada edisi kali ini menyaksikan penyertaan atlet dari 70 negara yang berentap merebut pingat serta kelayakan ke Sukan Paralimpik Los Angeles 2028 (LA28). Saingan sengit daripada barisan atlet dunia tidak menghalang Bonnie untuk terus mengekalkan rentak juara.
Untuk pengetahuan, Bonnie kini mengumpul empat gelaran dunia, dua kejuaraan Paralimpik, satu emas Komanwel, tiga emas Piala Dunia dan satu emas Para Asia. Menerusi pencapaian itu menjadikan beliau antara atlet para paling berjaya dan disegani dalam sejarah sukan negara.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Keadaan hidup mengajar seseorang untuk menjadi lebih berjaya dan gigih mencapai cita-cita tanpa kenal erti lelah. Tiada apa yang mustahil jika ketekunan dan usaha mengiringi setiap langkah. Inilah yang sesuai penulis gambarkan mengenai kejayaan Dr. Mohamad Hafifi Jamri yang berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dari Universiti Sains Malaysia (USM) pada usia 30 tahun.
Bukanlah pelajar ‘straight A’ dari peringkat awal pendidikan, beliau hanya memperoleh 4A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Walau bagaimanapun, beliau sentiasa berusaha untuk memajukan diri dari semasa ke semasa menerusi penglibatannya dalam aktiviti akademik dan kokurikulum seperti program kepimpinan dan peningkatan diri ketika di bangku persekolahan dan universiti.
Sebagai anak tunggal, Dr. Mohamad Hafifi menjadikan misi untuk membantu kedua orang tuanya sebagai satu gol di dalam kehidupan. Bukan berasal dari keluarga yang senang, ibunya bekerja sebagai operator pengeluaran kilang manakala ayahnya pula hanyalah pemandu bas henti-henti.
Tekad untuk menyambung pelajaran secara terus menerus, lelaki yang baru melangsungkan perkahwinan ini memasuki USM pada tahun 2011 sebagai pelajar Ijazah Sarjana Muda dan kemudiannya meneruskan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana sehinggalah berjaya menamatkan pengajian Ijazah Doktor Falsafah pada 2021.
Kini bertugas sebagai Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi Dan Pengajian Media di Universiti Teknologi MARA Cawangan Alor Gajah, Dr. Mohamad Hafifi menjadikan perjalanannya sebagai satu pembelajaran hidup penuh berharga. Sepanjang pengajian dia bukan hanya belajar tetapi turut melakukan kerja-kerja sampingan bagi mendapat duit poket untuk menampung kehidupan.
Ujarnya, “Saya pernah menjadi Juruwang di Esso, Jurutol Sambilan di Plaza Tol Sungai Dua Pulau Pinang serta beberapa pekerjaan secara separuh masa dalam universiti misalnya Pembantu Penyelidik Siswazah dan Eksekutif Acara. Malah, sebelum diterima bekerja di UiTM, saya turut pernah bekerja sebagai Assistant Person in-Charge di kedai dua ringgit, pembanci serta proofreaders.”
Dr. Mohamad Hafifi bersama kedua orang tuanya dan isteri.
Pengalaman sememangnya menjadi guru terbaik namun dalam kehidupan langit tidak semestinya cerah sampai ke petang. Segala onak dan duri harus ditempuhi demi sebuah kemanisan.
Sepanjang 10 tahun pengajian, terdapat peristiwa-peristiwa meruntun hati jejaka ini. Kongsinya, “Dalam tempoh pengajian di USM, saya diuji dengan keadaan yang amat berat iaitu kematian nenek tersayang saya pada tahun 2013. Ketika saya baru memasuki tahun akhir pengajian Sarjana Muda. Pada waktu itu, saya merasakan bahawa satu kunci doa saya telah hilang.
“Semasa menjalani pengajian PhD pula, saya diuji dengan kesakitan bapa saya yang mana dia disahkan dijangkiti pneumonia pada 13 Mac 2019. Dari tempoh tersebut sehingga 13 Mei 2019 iaitu genap dua bulan, saya dan ibu berulang alik ke hospital iaitu bermula dari Hospital Bukit Mertajam ke Hospital Seberang Jaya dan kemudiannya ke Hospital Pulau Pinang.
“Tempoh tersebut adalah tempoh yang amat sukar bagi diri saya. Saya boleh katakan bahawa keluarga lebih penting daripada segala-galanya dan saya ketepikan pengajian dahulu untuk sementara. Syukurlah, ketiga-tiga penyelia saya amat memahami. Selepas bapa saya kembali pulih, barulah saya berusaha mendapatkan semula momentum pengajian yang tertunda.”
Mengakhiri temubual kami, Dr. Mohamad Hafifi mengakui yang tempoh masa 10 tahun di USM ternyata memberikan pelbagai pengalaman kepada beliau berkenaan kesukaran dalam keseronokan menjadi seorang pelajar pra-siswazah dan pasca-siswazah. Walau bagaimanapun, perkara yang lebih penting adalah pengalaman yang diraih dalam tempoh menjadi pelajar, baik di peringkat universiti, latihan industri serta melalui pengalaman yang dikongsikan oleh para pensyarah, penyelia, penyelidik serta pakar-pakar bidang yang ditemui.
Beliau berpandangan bahawa tidak rugi untuk merendahkan diri dalam mencari ilmu serta kembali semula memberikan sumbangan ilmu melalui aktiviti perkongsian dengan rakan-rakan serta anggota masyarakat. Bak kata pepatah, ibarat resmi padi semakin semakin berisi semakin tunduk.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Muhammad Mikail Ghazali mencuri tumpuan di Sukan SEA Thailand 2025 apabila meraih pingat emas Muay Thai dan memikat hati peminat tuan rumah dengan aksi berkelas dunia.