Inpirasi

Joy Ngiaw Harumkan Nama Malaysia! Raih Anugerah Emmy Menerusi Siri Animasi ‘WondLa’

Share

Baru-baru ini, komposer berbakat kelahiran Malaysia, Joy Ngiaw meraih perhatian apabila berjaya mencipta sejarah tersendiri di pentas antarabangsa selepas memenangi anugerah berprestij di Emmy Awards menerusi hasil karyanya dalam siri animasi pengembaraan sains fiksyen berjudul ‘WondLa’ yang disiarkan di Apple TV+.

Memetik laporan Astro Awani, komposer yang berusia 31 tahun itu memenangi kategori ‘Outstanding Music Direction and Composition for an Animated Program’ hasil sentuhan muziknya yang dianggap berjaya menghidupkan emosi dan perjalanan cerita dalam siri berkenaan.

Difahamkan, pencapaian tersebut sekaligus menjadikan Joy antara rakyat Malaysia yang berjaya mengukir nama di peringkat global, serta menambah senarai anak tempatan yang berjaya menembusi industri hiburan antarabangsa.

Dalam pada itu, kejayaan ini juga mengingatkan ramai terhadap pencapaian pelakon legenda negara, Michelle Yeoh yang sebelum ini mencipta sejarah di pentas Academy Awards, membuktikan bahawa bakat dari Malaysia mampu berdiri sebaris dengan penggiat seni dunia.

Pada masa yang sama, Joy sebenarnya bukanlah nama asing dalam industri kreatif antarabangsa. Sepanjang kerjayanya, beliau pernah bekerjasama dengan tokoh animasi terkenal Hollywood, John Lasseter yang dikenali sebagai individu penting di sebalik kejayaan beberapa filem animasi ikonik.

Sehubungan itu, penghasilan muzik Joy untuk WondLa turut menerima pujian kerana berjaya menggabungkan elemen orkestra epik bersama vokal unik yang memberi dimensi emosi lebih mendalam kepada penceritaan siri tersebut.

Untuk pengetahuan, Joy dilahirkan di Malaysia, kemudian beliau melanjutkan pengajian di Berklee College of Music di Amerika Syarikat sebelum memulakan kerjaya profesional sebagai komposer untuk filem dan televisyen di peringkat antarabangsa.

Sepanjang perjalanan kerjayanya, beliau turut terlibat dalam beberapa projek lain termasuk siri Barbie Mysteries di Netflix serta filem Rescued by Ruby, sekaligus membuktikan bahawa bakat anak tempatan mampu bersinar di pentas industri hiburan global.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE