Berita

Jojo Kembali Dengan Misi Negara, Sedia Harumkan Nama Malaysia Di ONE Championship

Share

ONE Championship kembali menjadi tumpuan apabila bintang Muay Thai negara, Johan Ghazali atau lebih dikenali sebagai Jojo memberi bayangan bakal kembali beraksi dalam satu pertarungan besar yang dijangka mencuri perhatian peminat sukan tempur.

Menerusi satu perkongsian, Jojo mengesahkan kontrak perlawanan sudah dimeterai dan hanya menunggu masa untuk diumumkan secara rasmi oleh pihak penganjur. Malah, dia sendiri mengakui pertarungan yang bakal tiba ini bukan biasa-biasa.

“Contract is signed. Fight news coming very soon. Dan aku boleh bagi tahu, fight yang akan datang ni adalah antara fight yang paling besarlah,” katanya.

Jojo ONE Championship Bakal Hadapi Cabaran Besar

Walaupun identiti lawan masih dirahsiakan, Jojo dijangka bakal berdepan jaguh dari Asia yang pastinya mampu memberi cabaran cukup sengit di pentas ONE Championship.

Ramai peminat menjangkakan perlawanan ini bakal menjadi salah satu pertarungan paling dinanti dalam kalendar sukan tempur tahun ini.

Momentum Jojo kini berada pada tahap terbaik, menjadikan beliau antara prospek paling menarik untuk diberi perhatian dalam divisyen Muay Thai.

Dalam usaha memastikan dia benar-benar bersedia, Jojo kini menjalani latihan intensif di Superbon Training Camp, sebuah kem latihan terkenal yang sering melahirkan petarung elit dunia.

Fokusnya kini terarah kepada meningkatkan tahap kecergasan dan memperkemaskan teknik bagi menghadapi pertarungan berprofil tinggi itu.

Persediaan rapi ini membuktikan bahawa Jojo bukan sekadar hadir untuk bertarung, tetapi membawa misi besar untuk mencipta kemenangan bermakna buat negara.

Doa Rakyat Malaysia Jadi Kekuatan

Dalam masa sama, Jojo turut memohon doa daripada rakyat Malaysia agar segala urusannya dipermudahkan serta diberikan keselamatan sepanjang pertarungan nanti.

“So, aku nak minta tolong korang doakan kejayaan aku, doakan keselamatan aku. And insyaAllah, demi negara kita, demi negara Malaysia, lagi sekali aku akan buktikan yang Malaysia boleh,” ujarnya penuh semangat.

Beliau juga percaya kejayaan bukan sekadar bergantung kepada latihan semata-mata, tetapi turut memerlukan mindset yang betul serta tawakal.

“Apabila mindset kita betul, apabila kita ada usaha, ada tawakal, ada doa, semua boleh tercapai, insyaAllah,” tambahnya.

Pendekatan mental ini menjadi antara faktor penting dalam perjalanan Jojo, yang bukan sahaja bergantung kepada kekuatan fizikal tetapi juga kekuatan dalaman.

Setakat ini, Jojo berada dalam momentum terbaik apabila mencatat dua kemenangan berturut-turut dalam aksi terdahulu. Secara keseluruhan, beliau memiliki rekod profesional lapan kemenangan dan tiga kekalahan, satu pencapaian yang cukup solid bagi petarung muda sepertinya.

Prestasi ini menjadikan Jojo ONE Championship sebagai antara nama yang semakin digeruni dalam arena Muay Thai antarabangsa.

Kini, semua mata tertumpu kepada pengumuman rasmi pihak ONE Championship, dengan peminat tidak sabar menantikan siapakah lawan yang bakal menjadi ujian terbesar dalam karier Jojo setakat ini.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Published by
Darwisy