Jerebu Pulau Pinang yang melanda beberapa kawasan ketika ini semakin mendapat perhatian apabila Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) bersedia melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah paras 200.
Langkah berkenaan akan diambil bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid serta warga sekolah terus menjadi keutamaan sekiranya kualiti udara semakin merosot.
Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata, tindakan itu selaras dengan panduan Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) berkaitan pengurusan sekolah ketika jerebu.
Panduan berkenaan turut digubal bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Menurutnya, JPNPP akan terus memantau perkembangan semasa dan tidak akan menunggu sehingga saat akhir untuk memaklumkan kepada pihak sekolah sekiranya operasi perlu ditutup dan PdPR dilaksanakan.

Bacaan IPU Dipantau Sehari Lebih Awal
Bagi menentukan tindakan yang perlu diambil, JPNPP akan meneliti trend bacaan IPU di empat stesen pemantauan utama di Pulau Pinang iaitu Minden, Balik Pulau, Seberang Jaya dan Perai.
Pemantauan akan dibuat sekitar jam 6 petang atau 8 malam sehari sebelumnya bagi membolehkan sebarang keputusan berkaitan sesi persekolahan pada keesokan hari dibuat lebih awal.
Malah, JPNPP turut mewujudkan sebuah ‘war room’ sejak 13 Ogos lalu bagi memantau perkembangan jerebu dari semasa ke semasa.
Maklumat terkini termasuk bacaan IPU kemudiannya akan disalurkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sebelum disampaikan secara berperingkat kepada pihak sekolah.
Dalam masa sama, ibu bapa dinasihatkan supaya tidak terlalu bimbang kerana pasukan khas JPNPP akan terus memantau situasi dengan keutamaan diberikan kepada aspek keselamatan, kesihatan dan keselesaan warga sekolah.
Bagaimanapun, pihak sekolah dan ibu bapa digalakkan membuat persediaan lebih awal, khususnya bagi murid yang berisiko mengalami masalah pernafasan ketika keadaan jerebu Pulau Pinang berterusan.
Persediaan awal juga penting supaya sebarang perubahan daripada pembelajaran secara bersemuka kepada PdPR dapat dilakukan dengan lebih teratur sekiranya bacaan IPU mencapai tahap yang memerlukan sekolah ditutup.
Keputusan tersebut akan bergantung kepada perkembangan bacaan IPU semasa. Pemantauan lebih awal memberi ruang kepada sekolah, guru, murid dan ibu bapa untuk membuat persediaan sebelum sesi persekolahan bermula pada hari berikutnya.

MSSM & MYJAM15 Turut Dalam Pemantauan
Bukan sesi persekolahan sahaja yang diberi perhatian susulan keadaan semasa.
JPNPP turut menyediakan pelan kontingensi sekiranya jerebu Pulau Pinang menjejaskan Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) dan Jambori Pengakap Malaysia ke-15 (MYJAM15) yang dijadualkan bermula pada 28 Ogos ini.
Antara pilihan yang sedang dipertimbangkan bagi kejohanan bola sepak adalah melaraskan waktu pertandingan mengikut keadaan semasa IPU.
Langkah berkenaan membolehkan pihak penganjur menyesuaikan perjalanan pertandingan berdasarkan keadaan kualiti udara tanpa mengabaikan aspek keselamatan peserta yang terlibat.
Bagi MYJAM15 pula, program berkenaan dijangka menghimpunkan lebih 5,000 peserta tempatan serta lebih 450 pengakap antarabangsa dari 11 negara, termasuk Korea Selatan, Indonesia, Singapura dan Sri Lanka.
Anda mungkin berminat dengan
Pihak penganjur juga telah menubuhkan bilik gerakan khas bagi memantau dan mengurus situasi jerebu sepanjang program berlangsung sekiranya kualiti udara terus merosot.
Keselamatan Warga Sekolah Jadi Keutamaan
Pemantauan berterusan yang dilakukan JPNPP membolehkan tindakan segera diambil sekiranya bacaan IPU menunjukkan peningkatan ke paras yang boleh menjejaskan kesihatan warga sekolah.
Pelaksanaan PdPR sekiranya IPU mencecah 200 merupakan antara langkah yang disediakan bagi memastikan proses pembelajaran dapat diteruskan tanpa mendedahkan murid kepada keadaan udara yang tidak sesuai.
Sumber : Astro Awani
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Seorang murid lelaki Tahun Lima dilaporkan cedera selepas dipercayai terjatuh dari siling tingkat tiga sebuah bangunan sekolah di Padang Terap, Kedah ketika cuba menangkap burung merpati, petang semalam.
Dalam kejadian tersebut, mangsa mengalami kecederaan pada beberapa anggota badan termasuk tangan kiri dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.
Polis Sahkan Tiada Unsur Jenayah
Menurut Ketua Polis Daerah Padang Terap, Superintendan Mohd. Anuar Junoh, pihaknya menerima maklumat berhubung insiden itu daripada seorang guru sekitar pukul 4 petang.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati kejadian berkenaan merupakan kemalangan sendiri dan tidak melibatkan sebarang unsur jenayah.
“Mangsa dipercayai terjatuh ketika mahu mengambil burung dan mengalami kecederaan pada tangan kiri. Murid itu kini dirawat di HSB,” katanya.

Dipercayai Memanjat Melalui Laluan Pili Bomba
Difahamkan, kejadian berlaku ketika murid berkenaan hadir ke sekolah pada sebelah petang bagi mengikuti Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).
Menurut laporan media tempatan, mangsa dipercayai menggunakan laluan pili bomba untuk memanjat ke bahagian siling di tingkat tiga bangunan sekolah sebelum terjatuh ketika cuba menangkap burung merpati.
Terdahulu, media melaporkan seorang murid lelaki cedera selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan sebuah sekolah dalam kejadian yang berlaku di daerah berkenaan.
Setakat ini, keadaan mangsa dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Kosmo!
∞
Pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming baru-baru ini mencuri perhatian masyarakat apabila dikunjungi Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon di sebuah restoran di ibu kota, hari ini.
Menerusi sebuah video yang dimuat naik di Instagram miliknya, Khairul Aming memberitahu pertemuannya bersama Luxon adalah sebagai tanda penghargaan dari pihak negara New Zealand kepadanya disebabkan video percutian sambil memasaknya di negara itu.
Dalam pada itu, Khairul Aming atau nama sebenar, Khairul Amin Kamarulzaman (32) difahamkan turut mengadakan perbincangan mengenai pertukaran pelancongan antara Malaysia dan New Zealand.
BACA: Jualan Cecah RM3.5 Juta, Khairul Aming Luah Rasa Syukur- ‘Doakan Kita Boleh Tambah Kilang Ketiga…’
“Saya ambil kesempatan untuk memperkenalkan sarapan pagi Malaysia sambil bertukar pendapat mengenai pelancongan antara Malaysia dan New Zealand, perdagangan eksport daging, tenusu halal, pemeliharaan alam semula jadi dan potensi eksport produk perusahaan kecil sederhana tempatan ke New Zealand”
“Lapan tahun lalu, saya rakam video memasak pertama sambil duduk atas lantai. Hari ini, saya mendapat keistimewaan duduk di sebelah Perdana Menteri dari negara terkenal,” ujarnya menerusi kapsyen di Instagram.
Tambahnya lagi, pertemuannya bersama Luxon itu dapat direalisasikan selepas membuat persiapan rapi dengan kedutaan New Zealand yang akhirnya mengizinkan mereka untuk bertemu hari ini.
BACA: Isu Buli Siber: Khairul Aming Mohon Ibu Bapa Pantau Kegiatan Anak-Anak

Sementara itu, melalui video yang sama, pempengaruh yang popular dengan video memasak itu juga sempat beramah mesra dengan menyediakan roti jala, cendol, dan teh tarik untuk Perdana Menteri New Zealand berkenaan.
“Untuk permulaan KA jemput Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon untuk sesi bergambar dulu, kemudian pergi ke sesi memasak. Hari ini, kita sediakan menu sarapan tradisional Malaysia, roti jala dan teh tarik. Selepas itu, sediakan cendol. Saya tahu cendol bukan makanan untuk sarapan, tapi bagi pencuci mulut,” katanya.
Menurut Khairul Aming lagi, “Pada masa yang sama, saya perkenalkan kuih tradisional Malaysia termasuk produk Dendeng Nyet dan Sambal Nyet Berapi. Kemudian, iringi masuk ke dalam dan makan nasi lemak. Sepanjang sesi itu, kita ada bincang mengenai pertukaran pelancongan antara Malaysia dan New Zealand.”
Khairul Aming juga meluahkan rasa syukur apabila pertemuan itu berjalan lancar, lebih lagi beliau sudah pun melibatkan diri dalam bidang media sosial selama sembilan (9) tahun. Sebelumnya, Khairul Aming mengumumkan dirinya bakal tampil dengan siri memasak yang dirakam di New Zealand sebanyak sembilan episod.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal kembali menjadi perhatian apabila Anwar Ibrahim menegaskan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan perkara itu perlu disegerakan dan diluluskan dalam sidang Parlimen akan datang.
Menurut beliau, tempoh maksimum 10 tahun atau dua penggal sudah memadai untuk seseorang Perdana Menteri melaksanakan agenda pembaharuan serta dasar utama negara sebelum memberi ruang kepada kepimpinan baharu meneruskan khidmat.

“Saya ingat sesiapa yang mahu berkhidmat dengan ikhlas kepada negara, 10 tahun tu cukuplah, memadai untuk dia lakukan sebaiknya dan selepas itu sepatutnya dia sedia untuk melepaskan untuk rakan-rakan lain meneruskan khidmat…dan kalau ada konsensus majoriti Ahli Parlimen, kita boleh luluskan dalam sidang akan datang,” katanya.
Apa yang lebih mencuri perhatian, Anwar turut menegaskan bahawa cadangan tersebut akan bermula dengan dirinya sendiri.
“Ya, dia bermula daripada sayalah. Maknanya, jangan saya buat undang-undang untuk orang lain. Undang-undang itu mesti terpakai untuk saya dulu,” ujarnya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurul Hidayah, Kampung Seri Cheeding, Banting.

Cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri ini dilihat ramai sebagai antara agenda reformasi institusi yang mampu memperkukuh amalan demokrasi dan tadbir urus negara.
Sementara itu, Azalina Othman Said yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) dilaporkan berkata RUU berkenaan akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin depan.
Dalam perkembangan lain, Anwar turut menjawab persoalan mengenai dakwaan salah laku dan rasuah membabitkan dua dasar utama kerajaan ketika Rafizi Ramli menerajui Kementerian Ekonomi.
Tegas beliau, prinsip kerajaan kekal konsisten dalam menangani sebarang isu tatakelola tanpa memilih bulu.
“Apa pun salah laku, ada dakwaan, kita harus konsisten. Jangan kita pilih, sama ada sesiapa pun, kalau ada dakwaan, siasat dengan telus dan terbuka, kalau ada bukti bersalah, dakwa. Tetapi jangan kita hebahkan atau menghukum sebelumnya.
“Sebab itu saya terima baik apa-apa dakwaan ya, sama ada kepada kerajaan, kepada saya, kalau ada dakwaan, ada bukti, kita siasat dengan telus. Barulah negara ini agak teratur,” katanya.
Jika RUU ini berjaya diluluskan, ia bakal menjadi satu langkah signifikan dalam landskap politik negara, sekali gus mencerminkan komitmen terhadap pembaharuan institusi dan amalan demokrasi yang lebih matang.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞