
Bintang popular, Jennie baru-baru ini mencuri perhatian apabila menerima lebih 20 bilion Korea Won (kira-kira RM62 juta) menerusi agensi miliknya sendiri sepanjang tempoh dua tahun lalu. Kejayaan tersebut sekali lagi membuktikan pengaruh besar Jennie bukan sahaja sebagai idol K-Pop, malah sebagai figura perniagaan dalam industri hiburan global.
Berdasarkan laporan audit yang didedahkan oleh Financial Supervisory Service menerusi sistem pendedahan elektronik mereka pada 9 Mei lalu, syarikat milik Jennie atau nama penuhnya Kim Jennie (30) iaitu OA Entertainment dilaporkan membayar kira-kira 9.5 bilion Korea Won kepada penyanyi itu pada tahun lalu.
Jumlah tersebut digabungkan dengan 14.3 bilion won yang diterima pada tahun 2024, menjadikan keseluruhan pendapatan Jennie mencecah sekitar 23.8 bilion Korea Won atau bersamaan AS$16 juta.
Untuk info, OA Entertainment atau “Odd Atelier” diasaskan sendiri oleh Jennie pada November 2023 selepas kontrak eksklusifnya bersama YG Entertainment tamat. Menariknya, agensi tersebut dikendalikan oleh ibu Jennie sendiri manakala pelantun lagu ‘MANTRA’ dan ‘Like Jennie’ itu turut memiliki keseluruhan saham syarikat berkenaan.
Walaupun bergerak secara solo di bawah agensi sendiri, beliau masih meneruskan aktiviti bersama kumpulan BLACKPINK menerusi YG Entertainment. Dalam masa sama, OA Entertainment kini menguruskan segala aktiviti individu Jennie termasuk kempen pengiklanan, promosi album solo dan persembahan khas.
BACA: Aura Ikon Fesyen Makin Menyerlah, Jennie BLACKPINK Kini Duta Global Ray-Ban
Selain itu, laporan audit turut menunjukkan OA Entertainment berjaya mencatat keuntungan seawal tahun pertama operasinya apabila merekodkan hasil pendapatan sebanyak 18.9 bilion Korea Won selain keuntungan operasi sekitar 580 juta Korea Won. Pencapaian itu sekaligus membuktikan jenama Jennie terus kukuh dalam industri hiburan dan fesyen antarabangsa.
Bagaimanapun, keuntungan operasi syarikat itu dilihat sedikit menurun kepada sekitar 390 juta Korea Won tahun lalu walaupun hasil pendapatan meningkat kepada 23.8 bilion Korea Won. Difahamkan, peningkatan kos pengurusan termasuk gaji pekerja dan bayaran komisen menjadi antara faktor utama penurunan tersebut.
Dalam perkembangan lain, album solo Jennie berjudul ‘Ruby’ turut menerima perhatian meluas dari peminat tempatan dan antarabangsa sepanjang tahun lalu. Popularitinya juga terus melonjak apabila dia disenaraikan sebagai salah seorang daripada 100 individu paling berpengaruh dunia oleh Time pada awal tahun ini.
Malah baru-baru ini, Jennie turut menghadiri acara fesyen berprestij Met Gala 2026 di New York sekaligus mengukuhkan lagi status beliau sebagai antara ikon hiburan dan fesyen global paling berpengaruh masa kini.
BACA: Bukan Sekadar Rakan Industri, WOODZ & Jennie BLACKPINK Dedah Persahabatan Sejak Zaman Sekolah
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.