Bintang popular, Jennie baru-baru ini mencuri perhatian apabila menerima lebih 20 bilion Korea Won (kira-kira RM62 juta) menerusi agensi miliknya sendiri sepanjang tempoh dua tahun lalu. Kejayaan tersebut sekali lagi membuktikan pengaruh besar Jennie bukan sahaja sebagai idol K-Pop, malah sebagai figura perniagaan dalam industri hiburan global.
Berdasarkan laporan audit yang didedahkan oleh Financial Supervisory Service menerusi sistem pendedahan elektronik mereka pada 9 Mei lalu, syarikat milik Jennie atau nama penuhnya Kim Jennie (30) iaitu OA Entertainment dilaporkan membayar kira-kira 9.5 bilion Korea Won kepada penyanyi itu pada tahun lalu.
Jumlah tersebut digabungkan dengan 14.3 bilion won yang diterima pada tahun 2024, menjadikan keseluruhan pendapatan Jennie mencecah sekitar 23.8 bilion Korea Won atau bersamaan AS$16 juta.

Untuk info, OA Entertainment atau “Odd Atelier” diasaskan sendiri oleh Jennie pada November 2023 selepas kontrak eksklusifnya bersama YG Entertainment tamat. Menariknya, agensi tersebut dikendalikan oleh ibu Jennie sendiri manakala pelantun lagu ‘MANTRA’ dan ‘Like Jennie’ itu turut memiliki keseluruhan saham syarikat berkenaan.
Walaupun bergerak secara solo di bawah agensi sendiri, beliau masih meneruskan aktiviti bersama kumpulan BLACKPINK menerusi YG Entertainment. Dalam masa sama, OA Entertainment kini menguruskan segala aktiviti individu Jennie termasuk kempen pengiklanan, promosi album solo dan persembahan khas.
BACA: Aura Ikon Fesyen Makin Menyerlah, Jennie BLACKPINK Kini Duta Global Ray-Ban
Selain itu, laporan audit turut menunjukkan OA Entertainment berjaya mencatat keuntungan seawal tahun pertama operasinya apabila merekodkan hasil pendapatan sebanyak 18.9 bilion Korea Won selain keuntungan operasi sekitar 580 juta Korea Won. Pencapaian itu sekaligus membuktikan jenama Jennie terus kukuh dalam industri hiburan dan fesyen antarabangsa.

Bagaimanapun, keuntungan operasi syarikat itu dilihat sedikit menurun kepada sekitar 390 juta Korea Won tahun lalu walaupun hasil pendapatan meningkat kepada 23.8 bilion Korea Won. Difahamkan, peningkatan kos pengurusan termasuk gaji pekerja dan bayaran komisen menjadi antara faktor utama penurunan tersebut.
Dalam perkembangan lain, album solo Jennie berjudul ‘Ruby’ turut menerima perhatian meluas dari peminat tempatan dan antarabangsa sepanjang tahun lalu. Popularitinya juga terus melonjak apabila dia disenaraikan sebagai salah seorang daripada 100 individu paling berpengaruh dunia oleh Time pada awal tahun ini.
Anda mungkin berminat dengan
Malah baru-baru ini, Jennie turut menghadiri acara fesyen berprestij Met Gala 2026 di New York sekaligus mengukuhkan lagi status beliau sebagai antara ikon hiburan dan fesyen global paling berpengaruh masa kini.
BACA: Bukan Sekadar Rakan Industri, WOODZ & Jennie BLACKPINK Dedah Persahabatan Sejak Zaman Sekolah
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Pempengaruh dan pemilik jenama kecantikan popular, Athirah Kamaruzzaman atau Tyra berkongsi berita gembira apabila selamat melahirkan bayi sulungnya, semalam 19 Januari 2025.

Berita tersebut dikongsikan sendiri oleh Tyra menerusi akaun Instagram miliknya.
Menerusi satu hantaran, Tyra kelihatan tersenyum bahagia setelah selesai melahirkan bayi perempuan mereka.
Kami telah menyambut kehadiran malaikat kecil kami yang penuh keberkatan, Tyara binti Emran pada pagi 19 Januari 2025
Tyra dan Emran meluahkan rasa syukur atas kehadiran zuriat yang dikurniakan Allah SWT dalam hidup mereka.
Perkongsian tersebut menerima pelbagai reaksi daripada pengikut yang rata-ratanya menzahirkan ucapan tahniah kepada pasangan ini atas kelahiran cahaya mata pertama mereka.
Untuk rekod, Tyra dan Emran telah mendirikan rumah tangga pada 3 Mei 2024 dan pasangan itu dinikahkan oleh bapa Tyra, Haji Kamaruzzaman Pada majlis nikah yang berlangsung di Boathouse, Kuala Lumpur, Tyra menerima mas kahwin sebanyak RM1,111.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Pelakon jelita, Tracie Sinidol mengakui berdepan detik mencabar ketika menjalani penggambaran filem terbaharunya, Malaikat Malam, apabila trauma lama kembali ‘menghantui’ dirinya.
Menurut Tracie, dia sebenarnya mempunyai ketakutan terhadap motosikal susulan pengalaman kemalangan yang pernah dialaminya sebelum ini.

“Saya sebenarnya takut menunggang atau membonceng motorsikal kerana saya pernah mengalami kemalangan. Jadi saya trauma dengan kelajuan lebih-lebih lagi ketika menunggang motor.
“Bila di set pengambaran ini, ketika saya jadi pembonceng dan apabila motor itu masuk simpang automatik jantung saya berdegup kencang kerana saya takut dan saya pernah mengalami tujuh jahitan di bahagian dahi. Jadi saya amat trauma,” katanya kepada Remaja.
Walaupun berdepan ketakutan tersebut, Tracie tetap memilih untuk bersikap profesional dan tidak menjadikan trauma itu sebagai alasan untuk tidak memberikan komitmen sepenuhnya.

“Bagaimanapun, sebagai seorang pelakon saya mahu lakukan yang terbaik dan tak mahu mengalah hanya disebabkan hal tersebut (trauma).
“Jadi saya cuba lakukan yang terbaik untuk filem aksi ini dan secara tidak langsung juga mencabar diri saya sebagai seorang pelakon,” tambahnya lagi.

Untuk info, juara Dewi Remaja 2022 itu memegang watak Ratna, seorang gadis kurang upaya penglihatan dalam filem berkenaan.
Selain Tracie, filem arahan Nazifdin Nasrudin itu turut dibintangi barisan pelakon hebat seperti Syafiq Kyle, Que Haidar, Amir Nafis dan Kodi Rasheed.
Filem terbitan Viper Studios dengan kerjasama Skop Productions, Astro Shaw dan Primeworks Studiosini dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 26 Mac ini.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Bintang muzik R&B terkenal, Chris Brown baru-baru ini meraih perhatian selepas berjaya menerima penghormatan di peringkat Doktor Falsafah (PhD) kehormat dalam bidang Seni Visual & Persembahan daripada Harvest Christian University di Dallas, Texas.
Menerusi perkongsian Brown atau nama penuhnya Christopher Maurice Brown di Instagram, penyanyi berusia 37 tahun itu memuat naik beberapa foto dirinya lengkap mengenakan jubah graduasi sambil memegang sijil ijazah kehormat yang diterimanya.
Apa yang mencuri perhatian ramai pastinya kapsyen ringkas yang ditulis Brown iaitu “Saya telah melakukan sesuatu”, namun cukup untuk menggambarkan rasa bangga dan syukur terhadap pencapaian terbarunya itu.

Difahamkan, pengiktirafan tersebut diberikan bagi menghargai sumbangan besar Chris Brown dalam industri hiburan global sepanjang lebih dua dekad, khususnya menerusi muzik, seni persembahan, tarian serta pengaruh visual yang dibawanya sejak awal kemunculan.
Untuk rekod, Chris Brown mula mencipta nama menerusi album debut berjudul Chris Brown pada tahun 2005 yang menampilkan lagu hit berjudul ‘Run It!’ sebelum terus menjadi antara figura penting dalam dunia muzik R&B dan pop antarabangsa.
Sepanjang perjalanan kerjayanya, pelantun lagu ‘Under The Influence’ itu telah menghasilkan lebih 10 album studio, menjual lebih 140 juta rekod di seluruh dunia selain merangkul beberapa anugerah berprestij termasuk Grammy Awards.

Bukan hanya dikenali kerana vokal dan muziknya, Brown juga sering mendapat perhatian kerana kemampuannya menggabungkan elemen nyanyian, rap dan koreografi bertenaga tinggi sehingga menjadikan persembahannya sentiasa ikonik dalam kalangan peminat.
Menariknya, kejayaan tersebut hadir di tengah-tengah pelbagai cabaran yang dilaluinya kebelakangan ini termasuk pelancaran album baharu serta beberapa kontroversi peribadi. Namun, pengiktirafan akademik itu jelas membuktikan pengaruh dan impak Chris Brown dalam dunia hiburan masih cukup besar hingga hari ini.
Sumber: Instagram Chris Brown
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞