Berita

Jenazah Tun Dr Siti Hasmah Selamat Disemadikan Di Pusara Negara

Share

Jenazah Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, selamat disemadikan di Pusara Negara, Presint 20, hari ini.

Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun itu dikebumikan sekitar pukul 6.38 petang menerusi Istiadat Pengebumian Negara Bertaraf Pembesar.

Ribuan Hadir Iringi Perjalanan Terakhir

Suasana penuh hiba menyelubungi pekarangan Tanah Perkuburan Islam Presint 20 apabila dianggarkan ribuan orang hadir bagi menyaksikan perjalanan terakhir Allahyarham menuju ke negeri abadi.

Istiadat Mengusung Jenazah Taraf Persekutuan diketuai Kapten Ahmad Saufi Md Isa dari Markas Tentera Darat bersama lapan pegawai gabungan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bacaan doa serta talkin pula dipimpin Imam Besar Masjid Putra, Muhamad Zakuwa Rodzali.

Jalur Gemilang Diserahkan Kepada Keluarga

Selepas jenazah selesai dikebumikan, istiadat diteruskan dengan penyerahan Jalur Gemilang daripada pihak kerajaan kepada wakil keluarga.

Penyerahan tersebut menjadi tanda penghormatan negara terhadap jasa dan sumbangan Allahyarham sepanjang hayatnya.

Istiadat berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Rasmi Kerajaan, Datuk Abd. Shukor Mahmood.

Turut Dihadiri Kerabat Diraja Dan Keluarga

Berkenan berangkat ke istiadat pengebumian tersebut ialah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah.

Turut hadir ialah ahli keluarga Allahyarham termasuk anak-anaknya, Datin Paduka Marina Mahathir, Tan Sri Mokhzani dan Datuk Seri Mukhriz, selain wakil kedutaan asing serta orang ramai.

Sebelum Itu, Jenazah Dibawa Ke Masjid

Sebelum disemadikan, jenazah Allahyarham Dr Siti Hasmah terlebih dahulu dibawa dari Institut Jantung Negara (IJN) ke kediaman keluarga di Mines Resort City, Seri Kembangan.

Jenazah kemudiannya dibawa ke Masjid As-Syarif, Taman Sungai Besi Indah untuk urusan pengurusan jenazah sebelum dibawa ke Pusara Negara.

Dr Siti Hasmah disahkan meninggal dunia di IJN pada pukul 9.20 pagi tadi dan meninggalkan tujuh orang anak.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: Awani

Published by
Fath