Hobi & Minat

Baru 15 Tahun! Salim Sacoor Cetus Inspirasi Menerusi Jenama S10, Sumbang RM15,000 Bantu Atlet Muda Teruskan Impian

Share

Ketika kebanyakan remaja seusianya masih sibuk membahagikan masa antara sekolah dan hobi, Salim Sacoor sudah melangkah lebih jauh dengan membina sebuah jenama yang lahir daripada minatnya terhadap sukan serta keinginan membantu orang lain. Walaupun baru sahaja berusia 15 tahun, pelajar yang juga merupakan atlet trek dan padang itu memilih untuk menjadikan dunia keusahawanan sebagai platform mencipta impak.

Bagi Salim, kejayaan sesebuah perniagaan bukan sekadar diukur melalui jualan, sebaliknya sejauh mana ia mampu memberi manfaat kepada masyarakat. Difahamkan, idea tersebut akhirnya melahirkan penubuhan S10, sebuah jenama hidrasi yang diinspirasikan daripada pengalaman beliau sendiri sebagai atlet.

Menjalani latihan dalam cuaca panas membuatkan beliau menyedari kepentingan memiliki kelengkapan yang sesuai, namun pada masa sama memahami bahawa cabaran sebenar atlet bukan hanya ketika bertanding, tetapi juga sewaktu proses pemulihan selepas mengalami kecederaan. 

Kesedaran itu turut mendorong Salim menjadikan S10 lebih daripada sekadar sebuah jenama hidrasi. Menerusi inisiatif tersebut, sebahagian hasil jualan produk disalurkan kepada usaha yang menyokong proses pemulihan atlet, sekaligus membolehkan jenama itu menjadi platform untuk memberi kembali kepada komuniti sukan.

Bagi merealisasikan hasrat itu, Salim menerusi S10 telah menyumbangkan RM15,000 kepada Jabatan Perkhidmatan Ortopedik, Sunway Medical Centre. Di mana dana berkenaan akan digunakan bagi membantu atlet muda yang memerlukan mendapatkan rawatan fisioterapi dan rehabilitasi, serta memberi peluang kepada mereka untuk kembali aktif dalam sukan.

Menurut Salim, peluang untuk kembali bersukan selepas kecederaan seharusnya tidak bergantung kepada kemampuan kewangan seseorang. Sebaliknya, setiap atlet wajar diberikan peluang yang sama untuk pulih dan meneruskan impian mereka tanpa perlu mengorbankan masa depan akibat kekurangan akses kepada rawatan yang diperlukan. 

Selain itu, dalam memperluaskan misi tersebut, S10 turut bekerjasama dengan jenama Montigo bagi menghasilkan koleksi botol hidrasi yang direka khas untuk memenuhi keperluan atlet. Kerjasama itu bukan sekadar memperkenalkan produk baharu, malah menjadi medium untuk mengumpul dana bagi menyokong lebih banyak inisiatif kebajikan pada masa akan datang. 

Sementara itu, di sebalik penubuhan S10, Salim bukan sekadar membawa idea menghasilkan produk untuk atlet, malah berharap usahanya dapat memberi manfaat kepada komuniti sukan. Pada usia 15 tahun, beliau menunjukkan bahawa minat terhadap sukan juga boleh diterjemahkan kepada inisiatif yang memberi impak kepada orang lain. Syabas!

BACA: Umur Baru 15 Tahun, Gaji RM400 Ribu Sebulan, Kerja Apa Remaja Ini Buat?

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE