Jangan Main Air Banjir, Korang Boleh Dikenakan Kompaun Sebanyak RM1,000

Share

Setiap tahun, boleh dikatakan kebanyakan kawasan di sekitar Pantai Timur akan mengalami banjir ketika musim tengkujuh. Pada waktu inilah, ramai yang mengambil kesempatan untuk bermain air, terutamanya kanak-kanak.

Walau bagaimanapun, ekoran daripada situasi pandemik COVID-19, kini individu yang ditahan bermain banjir di kawasan Rantau Panjang dan Pasir Mas secara berkumpulan akan dikenakan kompaun sebanyak RM1,000.

Kredit foto: freemalaysiatoday (Gambar hiasan)

Menurut Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Komisioner Mohamad Roy Suhaimi menjelaskan bahawa surat memaklumkan mengenai tindakan itu sudah dihantar kepada Ketua Jajahan Pasri Mas termasuklah pihak berkuasa tempatan (PBT).

Tindakan yang diambil ini adalah antara usaha untuk memutuskan rantaian COVID-19 yang dilihat semakin meningkat di kawasan tersebut. Pihak berkuasa menjangkakan ‘pesta’ bermain air banjir ini akan kembali berulang jika tidak dibendung.

Langkah kawalan ini turut mendapat sokongan daripada segelintir netizen yang menyifatkan ia sebagai peringatan buat masyarakat supaya lebih berhati-hati, disamping mengelakkan penularan virus.

Apa-apa pun sama-samalah kita bertanggungjawab dalam memutuskan rantaian COVID-19 ini dan bukan itu sahaja, bermain air banjir juga boleh mengundang bahaya. Jadi, elakkan bermain air sewaktu musim tengkujuh.

Sumber: Sinar Harian

IKLAN