Gaya Hidup

Bayangan Kejayaan Musim Lalu Jadi Pembakar Semangat, UiTM Puncak Alam Akui Laluan Ke Final Bukan Mudah

Share

Status sebagai wakil ‘tuan rumah’ sememangnya memberikan kelebihan tersendiri buat kontinjen Universiti Teknologi MARA (UiTM) kampus Puncak Alam dalam saringan ketiga Jalen Star Chef 2. Namun, di sebalik kelebihan itu, mereka turut berdepan pelbagai cabaran termasuk tekanan untuk meneruskan legasi cemerlang universiti berkenaan dalam pertandingan tersebut.

Diwakili oleh Danish Adam Mohd Azzuarl, Wan Muhammad Aizzat Hanapi dan Hazeerah Zulaikha Hasan, ketiga-tiga peserta tampil dengan misi yang sama iaitu memberikan persembahan terbaik bagi merebut tempat ke peringkat akhir.

Tekanan Untuk Kekalkan Reputasi Wakil UiTM

Bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda Seni Kulinari, Danish Adam Mohd Azzuarl, kelebihan terbesar sebagai wakil tuan rumah adalah mereka lebih arif dengan persekitaran dapur yang digunakan sepanjang pertandingan.

Menurutnya, faktor itu sedikit sebanyak membantu dari segi keselesaan serta penggunaan peralatan berbanding peserta yang datang dari universiti lain.

“Sebagai wakil ‘tuan rumah’, kami ada advantage dan disadvantage. Yang baiknya, kami guna kitchen yang selalu digunakan, jadi agak familiar dan serasi dengan semua peralatan di sini berbanding peserta lain,” katanya.

Namun, Danish mengakui cabaran tetap wujud apabila berdepan masalah teknikal melibatkan ‘mixer’ yang tidak berfungsi dengan baik sehingga menyebabkan beberapa minit berharga terbuang.

Pada masa yang sama, beliau turut mengakui status UiTM sebagai universiti yang pernah melahirkan peserta hebat termasuk juara musim lalu, Muhammad Imran Syahin Muhamad Saadan, sedikit sebanyak mewujudkan tekanan untuk memberikan persembahan terbaik.

BACA: Imran Syahin Dari UiTM Puncak Alam Dinobat Juara JALEN Star Chef, Banggakan Ibu Bapa & Pensyarah

Bimbingan Pensyarah & Juara Musim Lalu Jadi Pembakar Semangat

Sementara itu, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perkhidmatan Makanan, Wan Muhammad Aizzat Hanapi berpandangan tempoh masa yang diberikan sepanjang cabaran memasak adalah mencukupi.

Sebaliknya, menurut beliau, aspek latihan sebelum pertandingan menjadi antara cabaran utama yang perlu dihadapi oleh mereka. Walaupun begitu, Aizzat bersyukur kerana mendapat sokongan penuh daripada pensyarah dan pihak universiti sepanjang tempoh persediaan.

“Kami bertiga sudah cuba yang terbaik, yang menentukan hanya Allah. Kalau hidangan yang kami sajikan pada pihak juri sedap, InsyaAllah ada antara kami yang akan mara ke final,” jelas beliau.

Tambahnya, mereka turut menerima tunjuk ajar daripada Imran yang pernah muncul juara Jalen Star Chef musim lalu, sekaligus membantu meningkatkan keyakinan sebelum beraksi.

Semangat Berpasukan Lebih Penting Daripada Segalanya

Menurut Hazeerah Zulaikha Hasan pula, cabaran terbesar yang dihadapinya adalah ketika proses ‘plating’ yang memerlukan ketelitian tinggi dalam tempoh masa yang terhad.

Jelas pelajar Ijazah Sarjana Muda Seni Kulinari itu, sebahagian besar masanya di dapur dihabiskan untuk memastikan hidangan dipersembahkan dengan kemas dan menarik.

“Kalau ada salah seorang atau dua orang daripada kami yang akan mara, kami pasti akan menyokong dan membantu mereka untuk pusingan seterusnya,” ujarnya ringkas.

Walaupun berharap ketiga-tiga wakil UiTM Puncak Alam dapat mara ke final, Hazeerah berkata mereka tetap bersyukur sekiranya sekurang-kurangnya seorang wakil berjaya meneruskan perjuangan.

Semangat saling menyokong yang ditunjukkan ketiga-tiga peserta jelas membuktikan bahawa Jalen Star Chef 2 bukan sekadar pentas persaingan, malah medan untuk membentuk kerjasama, persahabatan dan pengalaman berharga buat semua peserta yang terlibat.

Tiga IPT Sertai Saringan Ketiga

Untuk info, saringan ketiga JALEN Star Chef 2 telah melabuhkan tirai pada 4 Jun lalu dengan penyertaan tiga institusi pengajian tinggi iaitu Universiti Teknologi MARA Puncak Alam, Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Alor Gajah, dan Taylor’s University.

Pertandingan JALEN Star Chef kembali untuk musim kedua tahun ini dengan kerjasama antara Remaja dan produk Jalen bagi mencari lebih ramai bakat baharu dalam dunia kulinari dalam kalangan pelajar universiti.

Saringan pertandingan akan diadakan di tiga lokasi iaitu UiTM Dungun, UiTM Permatang Pauh dan UiTM Puncak Alam.

Persoalannya, adakah anda bintang yang dicari? Nantikan kemeriahan Grand Finale JALEN Star Chef 2 yang berlangsung pada 18 Jun ini!

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE