
Baru-baru ini, penyanyi terkenal, Jackson Wang meraih perhatian selepas dilaporkan menandatangani kontrak bersama agensi hiburan antarabangsa, WME (William Morris Endeavor). Perkembangan itu sekaligus membuka lembaran baharu dalam perjalanan kerjaya beliau sebagai artis solo di peringkat global.
Difahamkan, penyanyi yang kini berusia 32 tahun itu turut menjadi wajah kempen Apple yang berkait dengan single terbarunya berjudul ‘Thank You’. Lagu berkenaan dilancarkan pada September lalu bersama sebuah video muzik yang turut mendapat perhatian peminat.
Untuk rekod, Jackson mula mencipta nama sebagai anggota kumpulan K-pop GOT7 sebelum mengembangkan kerjaya secara solo. Album sulungnya, ‘Mirrors’ dilancarkan pada 2019 turut mencatat sejarah apabila menjadi album pertama artis solo dari China yang berjaya memasuki carta Billboard 200.

Bukan itu sahaja, kejayaan Jackson turut diteruskan menerusi beberapa karya lain termasuk ‘100 Ways’ yang menjadikan beliau penyanyi dari China pertama yang menembusi carta Top 40 Amerika Syarikat oleh Mediabase. Sementara itu, lagu ‘LMLY’ pula telah mengumpul lebih 103 juta streams di Spotify serta tersenarai dalam Global Viral 50.
Sepanjang bergelar artis solo, Jackson telah bekerjasama dengan sejumlah nama besar antarabangsa termasuk Ciara, Swae Lee, Major Lazer, Galantis, Gucci Mane, Joji dan GoldLink. Beliau juga pernah membuat persembahan di pentas berprestij seperti Kia Forum di Los Angeles dan Barclays Center di Brooklyn.
Pada 2022, Jackson mencipta satu lagi sejarah apabila menjadi artis solo dari China pertama yang membuat persembahan di pentas utama festival Coachella. Dia turut kembali ke festival tersebut pada 2023 dan 2024 selepas persembahannya bersama Ciara menerusi lagu ‘Slow’ mendapat sambutan hangat.

Selain muzik, Jackson turut aktif dalam dunia fesyen dan pernah menjalinkan kerjasama dengan beberapa jenama ternama seperti Louis Vuitton, Cartier, Armani, Nike serta Air Jordan. Menerusi kerjasamanya bersama Louis Vuitton, beliau turut berkolaborasi dengan Pharrell Williams yang kini memegang peranan sebagai pengarah kreatif jenama mewah tersebut.
Sementara itu, dengan penyertaan bersama WME yang merangkumi pelbagai bidang, Jackson kini dilaporkan mahu memberi lebih tumpuan kepada dunia lakonan selain meneruskan aktiviti muziknya. Dalam perkembangan sama, beliau masih berada di bawah pengurusan Team Wang Records dan Roc Nation.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!













