
Pelakon dan seniman bela diri tersohor, Jackie Chan baru-baru ini secara terbuka mengakui bahawa gaya keibubapaan yang terlalu tegas telah menyebabkan hubungan beliau dengan anak lelakinya, Jaycee Chan, menjadi renggang. Pengakuan itu dibuat ketika bintang legenda berusia 72 tahun itu sedang mempromosikan filem terbarunya berjudul Unexpected Family, yang bakal ditayangkan pada 8 Januari ini.
Menurut Jackie, satu babak dalam filem berkenaan yang memaparkan perdamaian antara seorang bapa dan anak lelaki memberi kesan mendalam kepadanya. Babak tersebut secara tidak langsung mencerminkan keinginannya untuk mempunyai hubungan yang lebih rapat dengan Jaycee, yang kini berusia 44 tahun.
Mengimbas kembali masa lalu, Jackie mengakui beliau terlalu kerap memarahi dan mengkritik anaknya, sama ada secara peribadi mahupun di khalayak ramai. Jelasnya, sikap tersebut tidak mendidik sebaliknya menimbulkan rasa takut dalam diri Jaycee.
“Saya silap. Pendidikan tidak sepatutnya seperti ini. Saya sepatutnya memberi dia lebih kebebasan,” jelasnya yang mengakui kesilapan.
Di samping itu, Jackie turut mendedahkan bahawa Jaycee sebelum ini hanya menghubunginya setahun sekali untuk mengucapkan selamat hari jadi. Namun, panggilan tersebut terhenti selepas Jackie memarahi anaknya kerana hanya menelefon pada hari berkenaan dan menyuruhnya menghubungi pada hari lain, di mana ia satu tindakan yang kini amat dikesalinya.
Seiring dengan peningkatan usia, Jackie berkata beliau kini lebih memahami kesilapan yang dilakukan dalam membesarkan anaknya. Hari ini, beliau tidak lagi meletakkan sebarang jangkaan terhadap anak-anaknya dan hanya berharap Jaycee dapat menjalani kehidupan yang bahagia serta selamat.
Sekadar info, Jaycee merupakan anak tunggal hasil perkahwinan Jackie bersama isterinya, bekas pelakon Taiwan, Joan Lin. Mengikut jejak langkah bapanya, Jaycee menceburi industri hiburan namun kerjayanya terjejas pada tahun 2014 selepas ditangkap dan dipenjarakan selama enam bulan atas kesalahan berkaitan dadah di Beijing.
Walaupun pernah muncul bersama dalam beberapa filem sebelum ini seperti The Twins Effect II (2004) dan 1911 (2011), hubungan Jackie dan Jaycee kekal menjadi perhatian ramai. Untuk rekod, Jackie juga mempunyai seorang anak perempuan, Etta Ng Chok Lam, hasil hubungan luar nikah, yang dilaporkan tidak mempunyai hubungan rapat dengannya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.