Hiburan

IU Teruskan Tradisi Derma Atas Nama Peminat, Sumbang 100 Juta Korea Won Demi Kebajikan Kanak-Kanak

Share

Terbaru, penyanyi dan pelakon terkenal, IU kembali menyentuh hati orang ramai apabila beliau meneruskan tradisi murninya dengan membuat sumbangan besar sempena Hari Kanak-Kanak yang disambut pada 5 Mei, semalam.

Menerusi sebuah kenyataan yang dimaklumkan oleh agensi EDAM Entertainment, IU atau pemilik nama sebenar Lee Ji-eun (33), telah menyumbang sebanyak 100 juta Korea Won (kira-kira RM340,000) atas nama ‘IU & Young-Aena’, iaitu gabungan namanya bersama kelab peminat.

Menurut agensi tersebut, sumbangan berkenaan bukan sekadar simbolik, sebaliknya dirancang untuk memberi impak nyata kepada kehidupan kanak-kanak dan remaja yang memerlukan, khususnya dalam aspek kebajikan dan sokongan harian.

Difahamkan, dana itu telah diagihkan kepada dua organisasi utama iaitu Persatuan Kebajikan Kanak-Kanak Korea dan Persatuan Pusat Kanak-Kanak Serantau Korea, dengan masing-masing menerima 50 juta Korea Won.

Pada masa yang sama, sumbangan tersebut akan dimanfaatkan bagi membantu kanak-kanak di fasiliti kebajikan melalui penyediaan barangan keperluan asas serta menampung kos rawatan perubatan. Pada masa sama, ia turut digunakan untuk meraikan ulang tahun kelahiran kanak-kanak di pusat serantau melalui pemberian hadiah dan pengalaman budaya.

Lebih menyentuh hati, IU dilihat konsisten melakukan sumbangan atas nama ‘IU & Young-Aena’ setiap kali tiba hari-hari bermakna seperti ulang tahun debut, hari lahir serta musim perayaan hujung tahun, sekaligus mencerminkan pengaruh positif yang sinonim dengan dirinya.

Sebelum ini, IU telah menyalurkan ratusan juta Korea Won pada tahun lalu untuk pelbagai inisiatif kebajikan termasuk bantuan pemulihan kebakaran hutan besar di wilayah Gyeongsang serta usaha memperbaiki keadaan kerja anggota bomba, selain terus menyokong golongan rentan.

Dalam perkembangan lain, IU kini sedang aktif menghiasi kaca televisyen menerusi wataknya sebagai Seong Hui-ju dalam drama hujung minggu MBC berjudul ‘Perfect Crown’, sekaligus membuktikan beliau masih kekal relevan dalam dunia hiburan.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE