Isu Teknikal Persembahan Tidak Halang Aisha Retno ‘Enjoy’ Kemeriahan Finale MPL Malaysia Musim 15

Share

Berlangsung pada 14 dan 15 Jun 2025 baru-baru ini, acara finale Liga Profesional Mobile Legends Bang Bang Malaysia (MPLMYS15) musim ke-15 telahpun menggegarkan Stadium Juara, Bukit Kiara dengan kehadiran pemain-pemain e-Sukan handal negara serta peminat-peminat e-Sukan yang tidak mahu melepaskan peluang menyertai kemeriahan tersebut.

Tambah menarik lagi apabila MPLMY musim ke-15 kali ini bertambah gamat dengan kehadiran Astro selaku rakan kolaborasi yang membawakan barisan penyanyi dan pelakon popular tempatan untuk menaikkan adrenalin penonton yang menantikan aksi e-Sukan.

Salah seorang penyanyi yang ditemui REMAJA ialah bakat muda yang tidak perlu diperkenalkan lagi, Aisha Retno. Tampil di pentas bagi menyampaikan lagu keramatnya, Sutera dan persembahan duet bersama Isaac Voo menerusi lagu Malaysia nyanyian asal Faizal Tahir, Aisha bagaimanapun sedikit terkejut apabila berdepan isu teknikal sewaktu persembahan Sutera

.

“Jujurnya, saya atau sesiapa pun tidak menjangkakan masalah teknikal itu akan berlaku. Tapi bila berdepan masalah teknikal, saya enggan salahkan sesiapa. Sekali ia berlaku, saya sebagai penghibur kena take charge untuk kawal pentas dan penonton.

“Alhamdulillah dengan pengalaman saya di pelbagai acara selama lima tahun berada dalam industri, saya mulai belajar bahawa skil crowd control adalah amat penting.

“Bila tiba-tiba masalah mikrofon tidak berbunyi dan lagu terhenti sebentar tadi, saya cuba sebaik mungkin untuk mengawal keadaan. Tiada masalah pun untuk saya kembali menyanyikan lagu Sutera itu sebanyak tiga kali.

“InsyaAllah ia membuatkan hadirin di Stadium Juara lebih menggemari lagu Sutera dan ingin mengenali Aisha Retno dengan lebih dekat,” katanya.

Kongsi Aisha lagi kepada REMAJA, kali terakhir beliau berdepan isu teknikal yang besar adalah sewaktu menjayakan sebuah persembahan pada tahun 2022 di mana pentas bertukar sunyi tanpa iringan muzik minus-one selama lima minit! Apa yang dilakukan Aisha pada waktu itu adalah meneruskan sahaja persembahan secara acapella

.

“Sebagai penghibur, saya sedar adrenalin penonton perlu kekal berada pada tahap maksimum. Kita tidak boleh terus senyap dan perlu pantas berfikir jika masalah teknikal berlaku. To me, once it happens it happens.”

“Apapun, crowd MPL memang best! Mereka amat supportive dan saya amat menghargai sokongan mereka,” ujarnya lagi.

Selain Aisha Retno, turut menghangatkan lagi pentas Astro X MPL berkenaan termasuklah Mimi Fly, Bunga Isme, Layla Sania, Wanie Kayrie, penampilan istimewa dari alumni Big Stage Alpha iaitu Que, Awienit dan Qarl G, Firdaus Rahmat, Shahrol Kamal, Lucadrari, Isaac Voo dan ramai lagi.

Dalam pada itu, Aisha Retno turut serta menyertai kemeriahan finale Liga Profesional Mobile Legends Bang Bang Malaysia 2025 (MPLMY) musim ke-15 yang menyaksikan pertembungan di antara Selangor Red Giants (SRG.OG) dan Homebois.

Dengan penuh cemerlang, SRG.OG penuh bergaya menewaskan Homebois 4-0 pada aksi Best of Seven. Tambah manis lagi, ini merupakan kemenangan hatrik SRG.OG sejak menjuarai liga berkenaan sejak musim ke-13.

Jika diimbas pada tahun lalu, SRG.OG tampil unggul menjadi pasukan pertama dari Malaysia yang menjuarai MSC selepas menewaskan AP Bren dari Filipina dengan keputusan 4-2.

Kejayaan itu bukan sahaja mengakhiri kemarau kejuaraan antarabangsa selama tujuh tahun untuk negara, malah menyemarakkan kembali semangat arena MLBB tempatan.

Ternyata, MPLMP musim ke-15 terus membuka peluang kepada atlet muda untuk mencipta nama dan memajukan industri permainan video serta teknologi di Malaysia. Dengan kerjasama antara Astro dan MPL Malaysia ini, dunia e-Sukan negara dijangka terus berkembang dan menjadi sektor penting dalam ekonomi negara pada masa akan datang.

Foto: ASTRO Malaysia

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ