
Personaliti popular dan penstrim dalam talian dari Amerika Syarikat, IShowSpeed baru-baru ini mencuri perhatian warga internet apabila menyuarakan hasrat untuk berpuasa sepanjang bulan Ramadan. Kenyataan tersebut diluahkan secara spontan ketika beliau sedang bersiaran langsung, sekaligus mengundang pelbagai reaksi daripada jutaan pengikutnya di seluruh dunia.
Menerusi sebuah video siaran langsung, IShowSpeed atau nama sebenar Darren Jason Watkins Jr. (21) dilihat berbual santai bersama adiknya sebelum secara terbuka menyatakan niatnya untuk menunaikan ibadah puasa. Momen berkenaan secara pantas tular di media sosial, terutamanya dalam kalangan peminat beragama Islam yang rata-ratanya teruja dengan keterbukaan figura internet itu.
“Ramadan akan datang, bro. Aku nak mula berpuasa,” katanya bersungguh-sungguh.
“Macam mana Mohamed Salah boleh bermain bola sepak ketika Ramadan? Dia kena ajar aku kemahiran itu,” tanya beliau dalam nada ingin tahu.

Tidak hanya itu, Speed juga mengajak adiknya untuk turut serta dan bertanyakan sama ada dia bersedia untuk berpuasa. Beliau kemudian menjelaskan bahawa sepanjang tempoh tersebut, mereka tidak boleh makan dan minum sehingga waktu matahari terbenam.
Pada masa yang sama, ajakan itu disambut positif oleh adik beliau yang bersetuju untuk menyahut cabaran tersebut. Speed kemudian menerangkan bahawa ibadah puasa dijalankan selama sebulan penuh dan mendedahkan bahawa beliau pernah mencuba untuk berpuasa sepenuhnya pada tahun 2023. Pengakuan tersebut sekaligus menunjukkan bahawa minatnya terhadap Ramadan bukanlah sesuatu yang baharu.
BACA: Patah Balik Ke Malaysia! IShowSpeed Buat Kejutan Tonton Perlawanan JDT! Siap Jumpa TMJ!
Dalam siaran sama, Speed dilihat benar-benar ingin memahami aspek fizikal dan mental ketika berpuasa, terutamanya bagaimana pemain bola sepak Liverpool dan juga atlet Muslim ternama seperti Mohamed Salah mampu mengekalkan prestasi tinggi di atas padang walaupun menahan lapar dan dahaga. Sikap ingin belajar itu dipuji ramai yang melihatnya sebagai satu bentuk penghormatan terhadap amalan agama lain.

Sementara itu, melihat reaksi pengikutnya, khususnya yang beragama Islam, kebanyakannya positif dan menyokong. Ruangan komen dibanjiri dengan kata-kata galakan, tip berpuasa serta penjelasan mengenai kepentingan Ramadan dari sudut spiritual.
Selain itu, ada juga yang berkongsi pengalaman peribadi serta mendoakan agar Speed dipermudahkan sekiranya benar-benar menunaikan niat tersebut.
Tidak kurang juga yang menyifatkan tindakan Speed sebagai satu langkah kecil tetapi bermakna dalam memupuk kefahaman rentas budaya dan agama. Sebagai figura dengan pengaruh besar dalam kalangan generasi muda, setiap tindakannya sering menjadi perhatian dan berpotensi memberi impak kepada jutaan penonton.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!



















