
Ketegangan di Selat Hormuz Iran kini semakin memuncak apabila Iran dilaporkan memperketat kawalan perkapalan dengan memperkenalkan satu sistem baharu yang disifatkan sebagai “pondok tol secara de facto”.
Langkah ini menyaksikan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) mengambil peranan lebih besar dalam mengawal setiap pergerakan kapal yang ingin melalui laluan strategik tersebut, yang menjadi nadi utama perdagangan minyak dunia.
Di bawah sistem ini, kapal tidak lagi boleh bergerak bebas seperti sebelum ini. Sebaliknya, setiap kapal perlu melalui proses pemeriksaan ketat termasuk mengemukakan maklumat lengkap seperti identiti, pemilikan, jenis kargo, destinasi serta senarai kru sebelum dibenarkan berlayar.
Hanya selepas semua maklumat disahkan, kapal akan diberikan kod pelepasan khas sebelum dibenarkan memasuki laluan yang telah ditetapkan oleh pihak Iran.
Laluan Transit Dikawal Ketat
Menariknya, laluan transit juga telah berubah. Kapal kini diarahkan melalui koridor tertentu dalam perairan Iran berhampiran Pulau Larak, di mana pemeriksaan visual dilakukan oleh pihak tentera laut IRGC.
Malah, dalam beberapa kes, pengendali kapal perlu berhubung dengan perantara yang mempunyai kaitan dengan Iran sebelum pelayaran dimulakan. Proses ini dilihat seperti sistem “permit” tidak rasmi yang perlu dipatuhi bagi memastikan kelulusan transit.
Lebih mengejutkan, terdapat laporan bahawa sesetengah kapal turut membuat bayaran bagi mendapatkan laluan selamat, dengan satu kes melibatkan bayaran mencecah sekitar AS$2 juta.
Pendekatan ini secara tidak langsung mewujudkan satu bentuk kawalan ala “pondok tol” di laluan laut tersebut, walaupun ia tidak diumumkan secara rasmi sebagai sistem tol.
Syarat Ketat Untuk Kelulusan

Dalam masa sama, Iran turut menetapkan bahawa hanya kapal yang tidak mempunyai kaitan dengan Amerika Syarikat atau Israel serta tidak dianggap sebagai ancaman akan diberikan kebenaran untuk melalui selat tersebut.
Langkah ini menjadikan Selat Hormuz Iran sebagai salah satu laluan paling sensitif dari sudut geopolitik pada masa ini.
Situasi ini berlaku ketika konflik serantau semakin memuncak, menyebabkan trafik kapal di Selat Hormuz merosot dengan ketara. Banyak syarikat perkapalan antarabangsa kini memilih untuk mengelak laluan tersebut berikutan risiko keselamatan yang tinggi, termasuk ancaman serangan dron dan periuk api laut.
Akibatnya, rantaian bekalan global khususnya sektor tenaga berdepan tekanan besar apabila salah satu laluan minyak paling penting dunia kini berada di bawah kawalan ketat Iran.
Perkembangan di Selat Hormuz Iran ini bukan sahaja memberi kesan kepada negara-negara di rantau Timur Tengah, malah turut memberi impak kepada ekonomi global secara keseluruhan, termasuk harga minyak dan kestabilan pasaran tenaga.
Sumber : Harian Metro
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!













