
Dua pelajar berusia 16 tahun didakwa diarahkan membersihkan tompokan darah di lokasi tempat Allahyarham Zara Qairina Mahathir ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu.
Perkara itu dimaklumkan oleh pengawal keselamatan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Mustapha, Limauan, Linah Mansoding, 65, ketika memberi keterangan di Mahkamah Koroner hari ini.
Menurutnya, arahan tersebut dipercayai datang daripada warden utama sekolah, Ustaz Azhari, selepas ambulans membawa Zara Qairina ke hospital.
“Ada darah keluar dari kaki Zara. Mereka membersihkan kawasan tempat Zara dialihkan selepas ambulans beredar.
“Seorang pengawal keselamatan lelaki turut membantu dengan menyalakan lampu suluh untuk mereka.
“Bagaimanapun, kesan darah itu yang sudah menjadi hitam masih boleh dilihat sehingga sekarang,” katanya.
Linah yang menjadi saksi keenam prosiding inkues itu turut menjelaskan bahawa tompokan darah di lokasi asal penemuan Zara Qairina berhampiran longkang hanya hilang selepas hujan lebat.
Sebelum itu, Linah juga memberitahu beliau nampak dua pelajar, seorang rakan sekelas serta Ustaz Azhari memindahkan tubuh remaja berusia 13 tahun tersebut.
Ketika itu, Zara Qairina tidak memakai tudung, sebahagian pakaian atasnya terbuka, dan tiada kasut atau selipar kelihatan di sekitar kawasan kejadian.
“Saya nampak darah mengalir dari tengkuk dan kaki kirinya, dengan tulang yang terkeluar.
“Saya juga sempat dengar bunyi dia mencungap semasa cuba dikejutkan, sementara tunggu ambulans yang hanya tiba selepas sejam,” jelas Linah.
Beliau menambah, kejadian itu berlaku dari lokasi penemuan Zara sehingga ke kawasan hadapan rumah seorang lagi warden berhampiran pintu keluar sekolah.
Dalam prosiding itu, Linah turut mendedahkan bahawa Ustaz Azhari pernah memintanya memadam gambar yang sempat diambil ketika Zara Qairina pertama kali ditemui.
“Beliau minta saya padam kerana bimbang ia akan tersebar jika pelajar lain meminjam telefon saya,” katanya.
Namun, gambar tersebut telahpun dikemukakan sebagai salah satu bahan bukti dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina yang dijadual berlangsung selama 17 hari.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Harian Metro