Berita

Inkues Zara Qairina: Saksi Dedah Arwah Pernah Luah Hasrat “Terjun Dari Tingkat 3”

Share

Perbicaraan inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir terus membuka kisah baharu apabila seorang saksi kanak-kanak mendedahkan perbualan mengejutkan antara dirinya dan arwah.

Menurut peguam Datuk Ram Singh yang mewakili saksi tersebut, saksi kelapan itu mengaku pernah mendengar Zara bertanya kepadanya, “Bagaimana kalau saya terjun dari tingkat 3? Kau sedih kah?”

Saksi kemudian menegur, “Kenapa kamu cakap begitu? Tidak bagus,” sebelum Zara hanya mendiamkan diri.

Kejadian itu dikatakan berlaku sekitar April 2025, ketika hanya mereka berdua berada di hadapan bilik asrama.

“Saksi berkata Zara melihat ke bawah dari koridor asrama dengan keadaan murung,” jelas Ram kepada media selepas prosiding.

Dalam keterangannya, saksi juga memberitahu dia tidak pasti sama ada Zara mempunyai konflik dengan pelajar lain. Malah, dia sendiri tidak pernah bergaduh dengan arwah.

“Saksi tidak pernah nampak Zara dimarahi, diganggu atau disentuh secara tidak senonoh oleh sesiapa sepanjang di asrama atau sekolah,” tambah Ram.

Selain itu, saksi turut memaklumkan bahawa Zara gemar menulis diari pada waktu petang dan malam, namun dia tidak pasti berapa jumlah buku diari yang dimiliki arwah kerana tidak pernah membacanya.

Saksi yang tinggal sebilik dengan Zara juga sempat berkongsi bahawa arwah lebih selesa tidur di atas karpet di lantai bilik berbanding di atas tilam.

Menyentuh kejadian malam 15 Julai lalu, saksi mendedahkan bahawa Zara dipanggil oleh seorang senior ke bilik sebelah berhubung kehilangan barang di dorm.

Selepas kembali, arwah dilihat menangis sambil menjerit, “Aku nda curi bah, sial!”

“Selepas itu Zara terus baring di lantai sambil menangis di depan almari. Keadaan Zara kelihatan terganggu.

“Saksi menjelaskan ini kali pertama melihat Zara menjerit dan menangis begitu,” kata Ram.

Tambah beliau, saksi berkenaan turut menegaskan bahawa arwah tidak pernah mengadu tentang masalah diri, konflik dengan sesiapa, mahupun tekanan hidup di asrama.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: Metro Online

Published by
Fath