Dalam dunia yang semakin dikuasai oleh media sosial, setiap gerak-geri selebriti menjadi perhatian dan kadangkala, sasaran. Pengacara dan pelakon terkenal, Uyaina Arshad, akhirnya tampil membuka mulut setelah menjadi mangsa kritikan dan kutukan keterlaluan segelintir netizen.

Bila diam tidak lagi menjadi pilihan

Menerusi satu perkongsian di platform Threads, Uyaina atau nama penuhnya Saidatul Naseha Uyaina Arshad, 33, mendedahkan beberapa tangkap layar komen negatif yang dilemparkan terhadap dirinya. Walaupun sebelum ini memilih untuk berdiam diri dan tidak membaca komen-komen buruk, kali ini Uyaina nekad untuk bersuara.

“Saya tidak mengendahkan komen-komen negatif, terutama di dalam bidang ini.
Tapi baru-baru ini, saya dapat mesej di Instagram mengatakan ada orang mengata tentang saya. Petty-nya,”

jelas Uyaina.

Apa yang lebih mengejutkan, netizen tersebut bukan sahaja mengkritik penampilan Uyaina secara terbuka, malah turut mengajak orang lain untuk sama-sama memburukkan dirinya secara berjemaah.

Buli siber bukan satu jenaka

Uyaina turut menegaskan bahawa budaya mengecam orang lain secara terbuka bukan satu perkara yang normal, malah ia adalah bentuk buli siber yang perlu dihentikan.

“Sejak bila masyarakat kita seronok mengutuk dan mengata orang berjemaah macam ni?
Adakah perkara ini okay? Perangai macam ini diterima ke di zaman 2025 ni?”

Lebih menyedihkan, komen-komen tersebut bukan datang dari ruang lingkup profesional, sebaliknya menyerang secara peribadi ia sesuatu yang sepatutnya tidak dijadikan bahan gurauan atau content untuk hiburan semata-mata.

“Kalau boleh diperbaiki, saya perbaiki…”

Sebagai figura awam, Uyaina mengakui terbuka untuk menerima teguran jika ia membina. Namun, apabila komen tersebut bersifat serangan peribadi dan menjatuhkan maruah, beliau tidak teragak-agak untuk melabelnya sebagai buli siber yang keterlaluan.

“Mana-mana komen yang boleh saya perbaiki diri, saya akan cuba perbaiki.
Tetapi sekiranya yang serang bersifat peribadi, itu adalah buli siber dan perkara itu tidak okay.”

Sebelum ini, tular satu hantaran di Threads daripada seorang individu yang mengaku tidak senang melihat Uyaina di kaca TV. Malangnya, ramai netizen lain turut menyertai perbincangan tersebut, melemparkan pelbagai komen tentang keperibadian Uyaina yang akhirnya mencetuskan gelombang body shaming dan karakter assassination.

Mesej buat remaja di luar sana

Remaja ingin mengingatkan bahawa komen di media sosial bukan sekadar “pendapat peribadi” yang tidak memberi kesan. Kata-kata ada kuasa, dan dalam kes Uyaina, ia membuktikan bagaimana sesetengah individu boleh terkesan secara emosi apabila menjadi sasaran netizen jahat.

✨ Kita mungkin tak mampu kawal mulut orang lain, tapi kita mampu kawal apa yang kita tulis dan kongsi di media sosial.

Remaja sokong Uyaina dan sesiapa sahaja yang berani bersuara menentang buli siber. Dunia ini dah cukup mencabar, jangan tambah beban pada orang lain hanya kerana kita nak kelihatan lucu atau relevan.

Sumber: InstagramThreads